Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

December 24, 2013

What If....Kerana Dia Cinta~Bab 5




LAPANGAN Terbang Heathrow tidak pernah sunyi daripada kunjungan pengguna perkhidmatan udara yang dikatakan pengangkutan paling selamat di dunia. Ryan baru sahaja tiba di situ bersama Jeslina. Selepas mengambil bagasi, Jeslina meminta Ryan menantinya seketika. Dia perlu ke bilik air untuk menyolekkan wajah. Tandas di dalam pesawat baginya terlalu sempit untuk digunakan.

Sementara menanti Jeslina, Ryan sempat membeli surat khabar The London Post. Sambil berdiri menongkat siku di atas troli bagasi, Ryan menatap lembaran akhbar itu. Halaman pertama yang diselaknya, tentulah halaman perniagaan. Lagipun dia ke kota besar itu atas urusan perniagaan.

Tumpuan Ryan terganggu apabila dia terdengar seseorang melaungkan satu nama yang suatu ketika dahulu begitu akrab dalam hidupnya. Ryan tercari-cari suara itu di celah-celah kehingaran lapangan terbang antarabangsa itu. Surat khabar di tangan di letakkan di atas bagasi. Suara itu bergema lagi. Kali ini semakin jelas kerana dia sudah mula menumpukan sepenuh perhatian mencari puncanya.

“Gia! Saya di sini!”

Ryan dapat mengesan pemilik suara itu. Dia lihat seorang gadis berkulit cerah yang baru melangkah masuk keluar dari balai ketibaan sedang melambai-lambai ke satu arah. Walaupun nama ‘Gia’ itu bukan milik abadi seorang insan, Ryan tetap mahu mencari siapakah pemilik nama itu. Nama ‘Gia’ memang sudah berhantu dalam jiwanya. Dia memang tidak boleh melupakan nama itu selama-lamanya.

Degup jantung Ryan bergerak dua kali lebih pantas tatkala terpandang seorang wanita berambut ikal panjang mendekati gadis berkulit cerah itu. Mereka berdakapan seketika sambil bertanyakan khabar. Walaupun wanita itu membelakanginya, Ryan yakin dia tidak salah pandang. Langkah kakinya diatur semakin deras menghampiri kedua-dua wanita itu.

Dengan yakin, dia menegur.

“Gia?”

Kedua-dua orang gadis itu menoleh. Wajah kedua-duanya nampak hairan. Ryan terpegun memandang wanita bernama ‘Gia’ itu. Wajahnya memang seiras dengan Gia miliknya. Cuma yang berbeza ialah kaca mata berbingkai hitam ala 60-an dan skarf panjang yang diikat di kepala.

Yes, sir? Can we help you?” ‘Gia’ bersuara. Loghatnya pekat orang tempatan.

Ryan jadi ragu-ragu seketika. Benarkah ini Nurjia Amani? Kenapa wanita ini langsung tidak menunjukkan apa-apa reaksi terhadapnya.

I’m sorry. I thought you were someone else. Someone that I know once.” Ryan agak hampa kerana telahannya meleset.

That’s okay.” Gadis berkulit cerah itu tersenyum. “Ayuh, Gia. Nggak sabar aku mahu pulang dan cubit-cubit sama anak kamu. Tentu dia sudah semakin gedi, ya.”

Kedua-dua wanita itu berlalu pergi sambil menyorong troli bagasi tanpa sedikit pun menoleh ke arah Ryan. Ryan mengeluh hampa. Jelas sekali wanita itu bukan Gia. Dia tentu isteri dan ibu seseorang berdasarkan perbualan kedua-dua mereka tadi.

Ryan memandang kedua-dua orang wanita itu sehinggalah mereka hilang di celah-celah ribuan manusia yang berada di terminal antarabangsa itu.

KENAPA wajah kau pucat, bah?” Luna kaget memandang wajah Gia sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kereta sewa.

Gia tidak menjawab. Dia segera menghidupkan enjin kereta dengan harapan perjalanan mereka tidak dijejaki oleh sesiapa. Kereta dipandu perlahan keluar dari tempat letak kereta.

“Lelaki tadi. Aku bagai pernah lihat wajahnya. Tapi di mana, ya?” Dahi Luna berkerut cuba mengesan cebisan memori-memori yang mula semakin bercantum membentuk penjelasan.

“Di kamar kamu!” Luna terjerit. “Dia bekas suami kamu! Ya Allah!”

Luna memang tahu kisah hidup Gia. Dia dan Normi yang sudah lama menjadi rakan serumah Gia, memang tahu kisah hidup Gia.

“Mujur dia tak cam sangat. Aku pun rasa bagai nak pengsan tadi. Tapi aku cuba berlakon. Aku harap dia terpedaya.” Gia benar-benar terkejut apabila Ryan menegurnya tadi. Sedaya upaya dia mengawal riak wajahnya agar tidak bertukar. Sengaja dia mengajuk loghat orang tempatan semata-mata mahu mengelirukan Ryan. Jika penyamarannya terbongkar tadi, tidak tahulah apa nasibnya selepas ini.

“Apa dia buat di sini?” Luna masih mahu meneruskan perbualan mengenai Ryan.

“Tentulah atas urusan perniagaan. Dia memang selalu ke luar negara.” Kini Gia harus membuat nota mental agar tidak terjebak dengan kesilapan yang nisbahnya tinggi. Tidak mungkin dia terserempak dengan Ryan hari itu jika dia mendengar nasihat Normi pagi tadi. Selama ini Normi selalu memberikan amaran kepadanya agar tidak muncul di tempat-tempat awam yang berkemungkinan akan mempertemukan dia dengan Ryan secara tidak sengaja.

Sampai sahaja di rumah, kisah Gia terserempak dengan Ryan terus menjadi perbualan hangat antara Luna dan Normi. Mulut Normi sudah kumat-kamit membebel dek kecuaian dan kedegilan Gia.

“Jangan-jangan kau masih ada hati pada dia lagi tak?” Tiba-tiba Normi menduga. “Sebab tu kau sengaja degil tak mahu dengar cakap aku tadi, kan?”

Wajah Gia berubah masam. “Aku dah lama lupakan kisah kami. Walaupun aku pernah ada hati dengan dia suatu ketika dahulu, tapi aku bukannya bodoh nak mengulangi kesilapan yang sama.” Dia bangkit membela dirinya.

Normi tersenyum mengejek. “Hati perempuan ibarat kerak nasi. Mula-mula keras. Tapi lama-lama lembut. Aku faham yang kau mungkin masih menaruh hati pada Ryan. Jika tidak, tentu kau tak akan letak gambar dia di bilik kau. Sepatutnya kalau dah benci, muka dia pun kau tak mau tengok tau!” Normi angkat punggung meninggalkan Gia terkulat-kulat mahu membela diri.

Gia menarik nafas dalam-dalam. Walau apa pun perasaaannya terhadap Ryan ketika itu, jauh di sudut hatinya dia tahu, segala-galanya sudah berbeza. Ruang baginya berpatah balik sudah tiada. Yang ada hanya harapan buat masa hadapan. Dia harus meneruskan hidup bersama Jiha, tidak kira susah ataupun senang. Dia telah membuat pilihan dan dia harus akur dengan takdir yang dia sendiri pilih.