Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

August 27, 2013

What If....Kerana Dia Cinta~Bab 3

MAKCIK Hajar merenung wajah Gia, serba salah dia hendak menurut kehendak wanita muda itu lagi. Selama ini  dia dan keluarganya sudah banyak bersubahat demi melindungi satu kebenaran. Walaupun tahu tindakan yang mereka lakukan itu salah, rayuan Gia yang begitu bersungguh-sungguh telah menyentuh hati mereka sekeluarga. Dengan niat untuk membantu, mereka bersepakat bersekongkol menjayakan satu penipuan.

“Betul Gia nak teruskan juga niat tu?” Entah berapa kali Makcik Hajar bertanyakan soalan yang hampir sama semenjak Gia menyatakan hasrat untuk ke luar negara menyambung pelajarannya. Makcik Hajar bukan mahu menghalang cita-cita Gia, cuma dia risau akan kebajikan Gia dan Jiha.

“Saya dah buat keputusan dan saya tak akan berganjak. Saya tetap akan ke sana dengan Jiha.”

“Tinggalkanlah Jiha di sini. Dia masih kecil. Baru saja keluar dari hospital. Makcik khuatir kalau perjalanan jauh dan cuaca sejuk di tempat itu akan menjejaskan kesihatan dia.”

Gia tersenyum. “Makcik jangan bimbang. Saya tahu apa yang saya lakukan. Lagipun saya dah banyak menyusahkan makcik sekeluarga. Cukuplah sampai di sini saja saya membebankan makcik sekeluarga.”

Makcik Hajar menggeleng kepala. “Kamu tak pernah menyusahkan makcik. Kamu, makcik dah anggap macam anak makcik sendiri. Makcik tak ada masalah nak jaga Jiha. Noriah pun ada. Boleh dia bantu makcik jaga Jiha.”

“Tak mengapalah, makcik. Saya hargai pelawaan makcik itu. Tapi biarlah kali ini saya berdikari. Sampai bila saya nak bergantung harapan kepada orang lain.”

Walaupun berat hati Makcik Hajar dan Pakcik Bakar mahu melepaskan Gia, mereka terpaksa akur dengan kehendak Gia. Mereka sekeluarga menghantar Gia dan Jiha hingga ke KLIA. Hanya doa sahaja dapat dikirimkan kepada Gia dan Jiha.

SUDAH dua tahun peristiwa itu berlaku. Ryan sudah semakin dapat menyesuaikan diri hidup tanpa Gia di sisi. Sungguhpun di hatinya, Gia masih tetap kukuh bertahkta, dia redha menghadapi kehidupan yang sudah hilang seri warna dan manisnya. Fikiran dan jiwanya dipusatkan seratus peratus kepada cita-cita mengembangkan lagi empayar perniagaan yang bakal diwarisinya kelak.

Bukan tidak ada, malah ramai rakan perniagaan mahupun kenalan yang cuba mendekati dirinya. Kesemua lamaran cinta itu Ryan tepis dengan hormat. Dia sekadar mahu berkawan, tidak lebih dari itu. Entah mengapa, jauh di sudut hatinya dia masih mengharapkan sesuatu yang mustahil. Hatinya masih gagal dipujuk. Hatinya masih mengharap. Biarpun dia tahu kemungkinan dia akan menduda ke akhir hayat, dia tetap mengharap dan berdoa.

Sudah banyak kali Ryan melancarkan usaha mencari Gia. Sudah puas dia mengupah penyiasat profesional bagi mengesan kedudukan bekas isterinya. Biarlah orang menuduhnya sebagai gila talak. Dia menyesal kerana melepaskan Gia begitu sahaja tanpa cuba memujuk bekas isterinya itu. Sebaliknya dia begitu emosional kerana melayan perasaan kecewa dan sedih atas kehilangan anak mereka. Ryan sedar jika dia bersungguh-sungguh dahulu, sudah tentu Gia tidak akan terlepas daripada ikatan perkahwinan mereka. Selepas dia sedar bahawa meratapi kesedihan itu tidak mendatangkan apa-apa, barulah Ryan dapat berfikir dengan waras. Lantas dia menggandakan usaha mencari Gia.

Namun semua usaha itu tidak berhasil. Seolah-olah jejak Gia lesap seperti debu-debu yang berterbangan. Nampaknya kali ini Gia memang merajuk terus lantas menyembunyikan dirinya sehingga tidak dapat langsung dikesan. Akhirnya Ryan terpaksa mengalah. Dia akan biarkan takdir sendiri melakarkan jalan hidupnya.

HEY, hot shot!”

Ryan tersentak daripada lamunan. Lekas-lekas dia membetulkan posisi duduknya. Ryan menegakkan badannya dan terus pura-pura sibuk menatap skrin rata komputer di atas mejanya.

Jeslina tersenyum sinis. Jarang dia melihat Ryan termenung begitu panjang dan jauh sehingga tidak sedar yang ada orang lain sudah masuk ke bilik pejabatnya. Entah apa yang bermain di fikirannya ketika itu.

“Tahniah. Share kita naik lagi lima puluh sen hari ni.” Jeslina duduk di hadapan meja Ryan. “What’s next?”

Ryan memandang Jeslina, pegawai muda itu baru setahun lebih dilantik menyandang jawatan Investment Director di syarikatnya. Sementelah, Jeslina turut memegang lima peratus saham dalam syarikat itu. Jeslina ialah antara orang kepercayaan Tan Sri Mukriz. Pengerusi Millenium Corp itu sendiri yang mempelawa Jeslina menyertai syarikat mereka. Tambahan pula Jeslina ialah anak kepada rakan lama Tan Sri Mukriz.

“Itu tugas kau seterusnya. Bukankah kau dilantik untuk tujuan itu?” Ryan mematikan suis komputer. Hari sudah petang. Dia sudah tiada perasaan untuk berlama-lama di pejabat itu. Seharian dia cuba menahan perasaan, menetapkan hati agar masuk ke pejabat dan membuat kerja seperti biasa. Tetapi nampaknya, usaha itu hanya setakat pukul lima petang.

“Dah nak balik?” Jeslina terkejut melihat Ryan yang sedang bersiap-siap seperti hendak pulang. Selalunya Ryan akan meninggalkan bilik pejabatnya hampir lewat tengah malam.

Enough for today. Esok kita dah nak berangkat.” Ryan mencapai briefcase miliknya yang telah dimuatkan dengan beberapa dokumen penting.

Jeslina tersenyum. Sungguhpun Ryan cuba menyembunyikan kegusaran fikirannya, dia dapat mengesan ada sesuatu yang tidak kena pada lelaki itu. Mereka telah berkawan lama, semenjak sekolah rendah lagi. Keakraban mereka terputus apabila Jeslina melanjutkan pelajaran di luar negara dan bekerja di sana beberapa tahun sebelum mengambil keputusan pulang ke tanah air.

See you tomorrow, Ryan. Jangan biarkan bayang-bayang lama terus mengejar kau.”

Langkah Ryan terhenti seketika. Dia mengetap gigi. Wajahnya tegang seketika. Tanpa mempedulikan sindiran Jeslina, Ryan meneruskan langkah.

Jeslina tersenyum kemenangan. Dengan Ryan dia memang selalu inginkan kemenangan. Sejak kecil dia memang selalu berlumba apa-apa sahaja dengan Ryan; baik kedudukan dalam kelas sehingga ke acara sukan di padang. Jeslina sentiasa mahu menang. Adil ataupun tidak, itu perkara nombor dua.

Jeslina memandang kalendar pada organizer miliknya. 28 haribulan. Dia tersenyum sinis. Patutlah Ryan nampak murung dan tidak bersemangat hari ini. Rupa-rupanya dia masih terkenang akan tarikh perkahwinannya dahulu. Kelakarnya, ejek Jeslina. Dia tidak faham kenapa Ryan begitu  setia dengan bekas isterinya. Seolah-olah di hatinya sudah tiada ruang lagi untuk orang lain hadir.


Namun Jeslina tidak akan membiarkan keadaan itu berterusan. Jika orang lain boleh mengalah dan kalah, dia tidak akan gagal. Jeslina tidak pernah gagal, tidak sesekali. Dia akan buktikan yang dia berupaya menundukkan hati sekeras kerikil itu.

No comments:

Post a Comment