Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

July 23, 2013

Vampira 2: The Prolog

8 Disember 1824
Malam sungguh gelap tanpa kehadiran sang rembulan. Sekawan kelawar yang muncul tiba-tiba berterbangan menambahkan kemisterian malam. Angin dingin bertiup kencang; membekukan suasana malam. Kilat menari-nari di kaki langit. Guruh berdentuman di langit yang kelabu. Dedaun layu berguguran ke atas bumi yang basah. Pokok-pokok besar di sepanjang jalan kelihatan seperti gergasi yang berbaris.

Seorang gadis berjalan sendirian merentasi kepekatan malam di pinggir hutan. Skarf yang menutupi rambutnya menggerbang ditiup angin kencang. Segera jari-jemarinya mencengkam ikatan skarf merah di leher; hadiah pemberian neneknya. Tanpa mempedulikan angin yang sejuk membeku dan tempias hujan malam, si gadis melangkah pulang. Langsung tidak mempedulikan bahaya serangan haiwan liar dan ancaman lain yang tidak diduga.

Langkahnya semakin laju sebaik sahaja tiba di selekoh sempadan hutan. Si gadis sudah tidak sabar hendak tiba di rumah. Ibunya sedang sakit dan kepulangannya ini membawa ubat. Kakinya mula sakit. Dia sudah berjalan lebih daripada tiga batu dan sejak pagi tadi, dia tidak menjamah apa-apa. Namun begitu, kepenatan dan rasa lapar langsung tidak menahan dirinya daripada menyelamatkan ibu. Dia mesti sampai ke rumah. Ibu amat memerlukannya.

Tiba-tiba, alam yang yang tadinya seperti diamuk badai menjadi senyap dan sepi. Angin berhenti bertiup. Kilat dan guruh sudah tidak memancar dan berbunyi. Kelawar sudah tidak kelihatan. Sang bulan yang bersembunyi, muncul perlahan-lahan di sebalik tempat persembunyiannya, menerangi hutam yang kelam. Langkah si gadis terhenti. Pelik! Dia memerhati sekeliling. Ada sesuatu yang dapat dirasakan olehnya, satu kehadiran. Adakah ia binatang buas? Tidak, nalurinya mengatakan yang kehadiran itu sedang memerhatikannya dari satu arah. Tanpa berfikir dua akali, si gadis memaksa kakinya yang sakit untuk berlari sekuat-kuat hati. Dia hanya berada semester sahaja dari rumah lading yang pertama apabila kehadiran itu berdiri di hadapannya. Strigoi! Dia tidak berupaya menjerit. Kakinya sudah terpateri. Dia sedang menghampirinya. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh si gadis apabila kesakitan mengaburi dirinya. Tiada apa-apa lagi yang boleh dilakukan olehnya….

8 Disember 1997
Hujan turun mencurah-curah di luar sana dan cuaca sangat sejuk. Dia tidak boleh melelapkan mata kerana bunyi hujan di luar kabinnya begitu kuat. Lantas dia bangun dari katil yang selesa dan duduk di hadapan tempat api. Perlahan-lahan, haba tempat api memanaskan tubuhnya. Dia mencapai novel Anne Rice, The Vampire Lestat dan mula membaca. Malangnya dia tidak dapat menumpukan perhatian kerana fikirannya sedang memikirkan sesuatuy. Sesuatu yang amat penting, yang telah membawanya mengelilingi separuh dunia untuk sampai ke situ. 

Fikirannya hanya tertumpu kepada si dia. Kali terakhir mereka berjumpa ialah lapan tahun lalu sewaktu dia masih di bersekolah menengah rendah. Pada masa itu dia tidak memahami apa-apa langsung tentang si dia. Dia hanya mengenali si dia sebagai kawan yang sering muncul saat dia dalam kesusahan. Sekarang, dia dilanda masalah lagi dan perlukan bantuan si dia. Kalaulah boleh dia menyeru si dia…tetapi bagaimana?

“Macam mana aku nak seru vampira kalau aku sendiri tak tau caranya.” Dia merungut sendirian. “Darien! Di mana kau? Aku perlukan kau!” Dia berharap moga doanya dimakbulkan. “Darien!” Jeritannya memenuhi ruang yang sunyi itu. Sunyi? Tiba-tiba, dia berana sesuatu yang aneh. Kenapa sunyi sangat ni? Mana bunyi hujan dan guruh tadi?

Kemudian dia mula menyedari sesuatu. Tuhanku! Dia mula panik. Jangan dia lagi. Aku tak mahu dia di sini. Perlahan-lahan sambil berhati-hati, dia berpaling ke belakang untuk memastikan sama ada tekaannya. Dia bersyukur kerana ia bukan seperti yang disangka. Doanya sudah termakbul. Dia melompat bangun dan tersenyum lebar. 

“Aku tahu kau pasti datang. Aku dah agak dah!” Dia memandang ke arah seorang lelaki berbadan tinggi yang memakai baju hitam dan seluar jean, yang berdiri di hadapannya. “Eh, mana baju Dracula yang selalu kau pakai? Hantar dobi ke?”

Walaupun riak wajah si gadis begitu gembira meenyambutnya, wajah kacak si vampira kelihatan tidak beremosi seperti patung lilin. Dia melipat kedua-dua belah tangan ke dada dan merenung ke dalam mata si gadis; cuba membaca fikirannya. “Apa yang dah kau lakukan kali ni, gadis cilik?” Suaranya perlahan tetapi bernada tegas. Walaupun tahu apa yang terjadi, dia tetap mahu mendengarnya daripada mulut si gadis.

July 19, 2013

Bab 3-2: Dan Mimpi Pun Bersatu






“ENGKAU dah gila, Iskandar? Nanti mati kena bunuh dengan ayahanda?” herdik Tengku Farid apabila mengetahui tentang perkara itu. Ketika itu semua pendaki telah tidur dan hari sudah larut malam.
“Orang gila tak akan berbuat begitu, Farid. Lagipun aku dah tak peduli lagi. Apa yang penting bagi aku ialah Anne. Aku tak mahu kehilangan dia lagi.”
“Tapi Iskandar...engkau harus fikir tentang tanggungjawab engkau sebagai putera mahkota. Engkau tak boleh abaikan tugas engkau....”
 “Aku tak abaikan tugas aku dengan menikahi Anne. Aku tetap akan jadi Sultan dan jalankan tanggungjawab aku. Cuma siapa permaisuri aku... itu hak aku untuk menentukannya. Kalau mereka tak mahu terima... then go to hell!”
Tengku Farid menggeleng kepala. Sikap degil Tengku Iskandar masih tidak berubah. Apa yang dia mahu, itu yang dia buat. Malah kepulangannya juga dibuat tanpa pengetahuan istana. Jika musuh tahu dia berada di situ tanpa kawalan rapi, habislah tamat Dinasti al-Muttaqi.  Tapi Tengku Farid sebagai pengiring dan pengawal peribadi tengku mahkota tidak akan membenarkan sesiapa pun mencederakan bakal pemerintah kerajaan itu kerana esok dia akan pastikan Tengku Iskandar pulang ke England sebaik saja mereka keluar dari hutan itu.

HANYA tinggal sepuluh minit sebelum bas bertolak ke ibu kota. Rakan-rakan Anne semua sudah mengambil tempat masing-masing. Hanya tinggal Badrul dan Yusuf sahaja yang masih belum naik. Mereka berdua masih berbincang dengan Anne di tepi pintu bas.
"Jangan beritahu sesiapa apa yang berlaku. Kalau ada orang tanya, katakan saja aku balik kampung. Dan tolong suruh Nida hantarkan assignment Dr Firdaus esok," pinta Anne sungguh-sungguh.
Badrul memandang Anne dengan tidak puas hati. Dia masih tidak faham tentang apa yang telah berlaku sejak tiga hari yang lalu.
"Anne, apa sebenarnya yang telah berlaku ni? Siapa Iskandar tu? Nampak macam kenal aje." Badrul mula curiga.
Wajah Iskandar terasa seperti sangat familiar. Cuma dia tidak ingat di mana dia pernah melihat wajah pemuda itu.
"Dia tu... kawan lama aku." Anne cuba membuat helah. "Macam inilah... nanti bila aku balik, aku janji akan ceritakan segala-galanya pada kamu semua. Cuma sekarang, jangan beritahu sesiapa. Ini perkara penting.”
Yusuf melepaskan keluhan berat. "Aku tahu kau suka buat perkara pelik, Anne. Tapi kali ni aku rasa inilah klimaks kepelikan tindakan kau. Walau apa pun aku harap kau selamat. Bila sampai aje di kolej nanti, contact kami cepat," pesan Yusuf sungguh-sungguh.
 Anne tersenyum  lega atas sokongan Yusuf itu. "Thanks guys! You're my best friends!"
"Hmm...yalah tu." Badrul tersenyum sinis.
"Jaga diri baik-baik," ujarnya sebelum melangkah masuk ke dalam perut bas.
Anne melambai tangan ke arah rakan-rakannya sebaik saja bas mula bergerak. Dia harap rakan-rakannya sudi bekerjasama.
"Anne."
Anne menoleh ke arah Tengku Iskandar yang tiba-tiba muncul di belakangnya.
"Mari kita pergi."
Tengku Iskandar menghulurkan tangannya. Anne tersenyum sebelum menyambut tangan lelaki itu. Kedua-dua mereka berjalan ke arah sebuah kereta yang sedang menanti.
Entah kenapa Anne rasa bimbang tiba-tiba. Degup jantungnya bertambah pantas tanpa sebab. Dia gementar tanpa alasan. Buat seketika dia tidak pasti dengan keputusannya sendiri. Keraguan mula bermaharajalela di hatinya.
"Iskandar, kita tak boleh nikah!"
            Tengku Iskandar dan Tengku Farid menoleh pantas ke arah Anne.
           "Kenapa?"
            Wajah Tengku Iskandar tampak bimbang. Anne ragu-ragu seketika sebelum menjawab.
           "Anne?"
          "Abang Hakim..."
            Anne tidak dapat meneruskan kata-katanya. Sebenarnya dia cuba untuk mencari alasan yang lebih kukuh untuk menunda pernikahan mereka. Kata-kata Tengku Farid semalam masih terpahat kukuh di mindanya. Perbuatan mereka itu boleh membahayakan keselamatan Tengku Iskandar. Anne tidak mahu apa-apa yang buruk berlaku kepada Tengku Iskandar. Oleh itu dia harus memujuk Tengku Iskandar agar segera pulang ke England dan mereka boleh bernikah setelah dia dan Tengku Iskandar tamat pengajian kelak.
"Kenapa dengan Hakim?" Tengku Iskandar tidak puas hati dengan penjelasan Anne. Anne nampak begitu ragu-ragu.
 "Saya perlukan abang Hakim sebagai wali."
Tergelak Tengku Iskandar mendengar alasan Anne itu.
"Apa susah. Kita nikah saja di US. Jumpa Hakim di sana." 
Tengku Iskandar terus mencapai telefon selularnya dan menghubungi Khairil di lapangan terbang.
"Khairil, siapkan jet. Kita ke UCLA. Jumpa Hakim!"
Anne dan Tengku Farid saling bertukar pandang. Tengku Farid hanya menggeleng kepala.
"Aku tak fikir rancangan engkau ni bijak, Iskandar. Engkau akan dapat susah nanti." Buat kali terakhir dia memberi amaran. Namun Tengku Iskandar hanya pekakkan telinga sahaja.
Anne menyandarkan kepalanya pada kusyen kereta. Dia memejamkan matanya. Bermacam-macam persoalan menerjah dinding fikirannya. Kalaulah mama tahu apa yang dilakukannya ini, tentu mama akan mengamuk. Dan kalau atuk masih hidup, tentu dia juga akan membantah. Hanya tinggal nenek sebagai tempat untuk dia mengadu nanti. Anne pasti nenek akan mengerti tentang tindakan yang diambilnya itu. Lagipun hanya nenek saja yang tahu perhubungannya dengan Tengku Iskandar selain daripada Hakim. Mama terlalu sibuk dengan tugasnya sebagai kurator muzium. Jadi dia tidak mahu mengganggu mama dengan kisahnya. Biarlah nenek pujuk mama nanti. Cuma yang Anne bimbangkan sekarang ialah reaksi abang. Semenjak Tengku Iskandar ke England, perhubungan abang dengan Tengku Iskandar tidak berapa baik.
Abanglah yang telah membakar segala surat-surat yang dikirimkan untuknya dari London. Abang jugalah yang mengangkat telefon setiap kali Tengku Iskandar ingin bercakap dengannya. Tetapi kali ini Anne berharap benar agar abang menghalang pernikahan ini daripada berlaku. Bukan dia tidak sayangkan Tengku Iskandar, tetapi dia tidak suka idea kahwin lari seperti ini.
Macamlah dia tidak ada ibu bapa dan adat. Namun Anne tahu kedegilan dan kesungguhan Tengku Iskandar yang tidak boleh dihalang itu. Walau apa pun usaha Anne dan Tengku Farid, Tengku Iskandar tidak akan berganjak daripada keputusannya. Kini hanya tinggal abang saja sebagai penentu. Seandainya abang menolak, Tengku Iskandar terpaksa akur. Itulah yang diharapkan oleh Anne.
Bagi Anne perkahwinan di usia sebegitu terlalu awal baginya. Umurnya baru dua puluh tiga tahun. Tengku Iskandar pula hanya setahun tua daripadanya. Dalam usia begini Anne tidak pasti yang, dia mampu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik. Apatah lagi sebagai isteri kepada seorang putera mahkota. Walaupun Anne telah mengenali Tengku Iskandar hampir lapan tahun, perhubungan mereka tidaklah seakrab pasangan kekasih yang lain. Percintaan mereka bermula sewaktu Anne masih di tingkatan empat. Pertemuan mereka dilakukan secara rahsia dan selalu dalam keadaan yang tergesa-gesa. Dan ketika Anne sibuk ingin menghadapi SPM, Tengku Iskandar telah terbang ke England untuk menyambung pelajaran. Perhubungan mereka terhenti setakat itu sahaja. Kini setelah hampir lima tahun, Tengku Iskandar kembali dan terus melamarnya.  Gila!
Baru Anne sedar kini. Sebenarnya dia masih belum mengenali sedalam-dalamnya keperibadian Tengku Iskandar. Begitu juga dengan Tengku Iskandar. Bagaimana kalau perkahwinan mereka nanti tidak bahagia lantaran tidak menemui sebarang kesesuaian? Sudahlah kahwin tanpa restu kedua-dua ibu bapa. Bagaimana hendak mendapat berkat? Pening kepala Anne memikirkannya. Persoalannya sekarang, adakah benar dia ingin hidup bersama dengan Tengku Iskandar, tengku mahkota pewaris tunggal kerajaan Dhiyapura yang bakal menjadi sultan?

"TAK boleh!"
"Kenapa tak boleh?" Tengku Iskandar mencengkam kedua-dua belah bahunya. Anne menggeleng kepala.
"Iskandar, saya belum tamat belajar lagi. Boleh tak kita tunda perkara ini pada tahun depan?" Anne cuba juga untuk memujuk Tengku Iskandar agar membatalkan niatnya. Walaupun dia tahu usahanya hanya sia-sia tapi dia harus mencuba.
"Saya sudah tak peduli fasal itu semua, Anne. Itu tak penting. Awak lebih penting buat masa ini!"
"Iskandar!" Anne menepis  tangan Tengku Iskandar dari bahunya.
“Awak ingat perkara ni main-main ke? Awak nak malukan keluarga awak? Nak malukan keluarga saya?" Anne menentang renungan tajam Tengku Iskandar.
 "Hal itu jangan awak risaukan. Saya akan uruskan segala-­galanya dengan baik. Tak ada sesiapa yang akan malu. Trust me!"
"Tengku, jet sudah tiba," lapor Khairil yang muncul di sebalik pintu bilik menunggu VVIP.
"Mari!"
Tengku Iskandar mencengkam pergelangan tangan Anne dan menariknya keluar dari bilik itu.  Anne hanya sempat memandang ke arah Tengku Farid yang hanya mampu menjongkit bahu.