Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

August 04, 2013

Kasih Pun Bersatu~Bab 1

**Novel ketiga saya bersama Kaki Novel. Dah tiada di pasaran. Akan datang dalam bentuk e-book***


Dhiyapura.
Beberapa bulan selepas pemberontakan Tengku Khalid dipatahkan.

RUBIAH mengintai keluar tingkap sewaktu pramugari pesawat peribadi yang dinaikinya mengumumkan bahawa mereka sudah memasuki ruang udara kerajaan Dhiyapura.

"Kita sekarang sudah memasuki ruang udara kerajaan Dhiyapura. Jika anda mengintai ke luar sekarang, anda dapat melihat Istana Agung dari utara." Rubiah tersenyum mendengar kalimah itu. Seakan-akan filem The Princess Diaries pula cara pramugari itu berkata-kata.

"Look out the window, princess. Welcome to Genovia."

Agaknya begitulah skrip yang dilafazkan oleh pengawal peribadi Princess Mia yang masih diingati oleh Rubiah. Tapi dalam kisah ini, bukan dia puterinya. Tetapi Ayrin Zatasha. Rubiah benar-benar tidak menyangka bahawa sahabat baiknya itu bukan calang-calang orang. Sejak upacara pemahkotaan sebulan yang lalu, wajah Ayrin sentiasa menghiasi dada akhbar dan majalah dalam dan luar negara. Populariti Ayrin di rantau Asia Tenggara ini setanding dengan Putera William di benua Eropah. Begitu bangga Rubiah dapat mengenali Ayrin. Pada pertemuan singkat mereka sewaktu Ayrin menyampaikan jemputan itu, Rubiah dapati Ayrin sedikit pun tidak berubah sikapnya. Dia masih ramah dan periang seperti dahulu. Pangkat dan darjat yang ada pada dirinya langsung tidak mengubah keperibadiannya.

MAJLIS yang dirancang berlangsung dengan penuh gemilang. Tetamu-tetamu diraikan dengan penuh kehormatan. Perjumpaan dalam kalangan kerabat al-Muttaqi buat pertama kalinya berjaya mengumpul ke semua ahli keluarga yang sudah lama terpisah. Bak sembilang pulang ke lubuk.

Rubiah senyum-senyum apabila mendapati sejak dari tadi perhatian Ayrin hanya tertumpu pada Zarul yang sedang berbual-bual bersama-sama sepupu-sepupu yang baharu dikenalinya dalam majlis itu. Lantas Rubiah segera menyiku Ayrin. "Pandang-pandang pula. Pergilah dekat kalau sayang sangat!" Usikan Rubiah membuatkan wajah Ayrin merah padam.

"Kenapa pula engkau kata begitu?" Dia menafikan tuduhan itu. Sebenarnya ada perkara lain yang sedang bermain di fikirannya ketika itu mengenai Zarul.

"Sejak dari tadi aku tengok engkau asyik-asyik pandang Zarul. Takut ke kalau orang lain pikat dia?" Rubiah masih tersenyum-senyum.

"Bee...." Nada suara Ayrin berubah; seolah-olah memberikan amaran kepada Rubiah supaya jangan silap faham. "Aku dengan dia...tak boleh ada apa-apa hubungan. Kami sepupu, Bee."

Dahi Rubiah berkerut. Dia tidak faham. "Apa salahnya. Engkau boleh kahwin dengan dialah. Kalau dia pak cik atau abang tiri dengan engkau, baru tak boleh kahwin."

"Engkau tak faham!" Ayrin meletakkan gelas di tangannya di atas meja sebelum beredar keluar dari pintu sisi dewan menuju ke taman diraja. Rubiah yang agak terkejut dengan reaksi Ayrin pantas mengekori jejak rakan baiknya yang jelas sedang bersedih.

"Ay...maaflah kalau aku salah cakap. "Apa masalahnya, Ay? Cubalah cerita pada aku. Kalau aku tak boleh tolong selesaikan...sekurang-kurangnya aku boleh jadi pendengar yang baik." Ayrin melepaskan keluhan berat sebelum menjawab pertanyaan itu.

"Bee...aku memang suka Zarul. Tapi suka-suka macam tu saja. Tak lah sampai nak jatuh cinta dengan dia. Aku sayang dia macam kawan. Macam aku sayang engkau."

"Jadi...apa masalahnya sekarang? Aku tak faham."

"Masalahnya Zarul. Sejak kebelakangan ni...aku tengok dia lain macam saja. Dia dah tak mesra macam dulu. Selalu saja dia mengelak daripada berjumpa atau bertembung dengan aku. Aku tak faham kenapa dia buat macam tu."

"Engkau nak aku tanyakan pada dia?" Ayrin segera berpaling menghadap Rubiah. Wajahnya serius.

"Tak payah! Aku tak mahu dia fikir yang bukan-bukan pula fasal aku. Nanti aku yang malu."

"Apa salahnya aku tanya. Dia tak akan fikir yang bukan-bukan kalau aku kata engkau risaukan dia. Dia tentu faham." Rubiah memujuk.

"Entahlah, Bee. Aku rasa macam kehilangan pula bila dia semakin menjauhi aku." Ayrin melemparkan pandangan ke dalam air kolam yang beriak tenang. Kesepian dan kedinginan Zarul benar-benar buat dia berasa sedih. "Bee...boleh tak aku minta sesuatu daripada engkau?"

"Apa dia? Kalau boleh aku beri, aku beri."

"Emm...nak tak kalau aku lantik engkau jadi pengiring utama aku?" Bulat mata Rubiah mendengar tawaran yang jarang-jarang diberikan kepada orang luar terutamanya yang bukan berdarah raja.

"Engkau main-main ke...serius ni?"

"Aku serius. Aku rasa aku lebih selesa dengan engkau berbanding sepupu-sepupu aku yang baru aku kenal tu."

"Aku setuju!" jerit Rubiah dengan gembira. Melonjak-lonjak dia kegembiraan. Ayrin juga menjerit bersama dengan Rubiah, ibarat pasukan sorak yang baru menyelesaikan rutin mereka.

"Tapi...." Tiba-tiba kegembiraan Rubiah terhenti. Di baru terjaga daripada mimpi yang indah. "Bagaimana dengan keluarga aku? Aku tak sanggup nak tinggalkan mereka." Wajah Rubiah muram.

Ayrin tersenyum. Lantas dia menggenggam jari-jemari Rubiah yang tembam. "Aku buat tawaran ni bukan sebab aku pentingkan diri sendiri semata-mata. Aku dah fikirkan masak-masak supaya kita sama-sama untung. Kontrak ayah engkau dengan Petronas tamat tak lama lagi, kan? Apa kata kalau ayah engkau terima tawaran Petrodhiya? Sebenarnya...ayah aku dah setuju memandangkan mereka memang menghargai kepakaran bidang kejuruteraan biokimia."

"Engkau memang layak jadi Puteri Dhiyapura. Muda lagi dah pandai berunding. Aku setuju." Rubiah menghulurkan tangannya. Dan tangannya itu disambut oleh Ayrin dengan hati yang lapang.

"Kita akan jadi sahabat sehingga ke akhir hayat!" Rubiah berjanji dengan semangat yang berkobar-kobar. Ayrin hanya tersengih mendengar pujian itu.

SEKOLAH Tinggi Dar al-Hannan bukan seperti yang dibayangkan oleh Ayrin. Malah lebih hebat daripada Millenium Perdana. Rubiah dan Ayrin diletakkan di dalam kelas tingkatan lima yang sama. Di sekolah ini, identiti Ayrin memang bukan lagi rahsia. Atas permintaan Ayrin, dia mahu dilayan seperti orang lain. Dia tidak mahu layanan istimewa daripada sesiapa. Di sekolah, dia Ayrin Zatasha, bukan Tengku Ayrin Zatasha al-Muttaqi.

Pada hari pertama melaporkan diri, Ayrin dan Rubiah sudah mula menjadi perhatian ramai pelajar. Masing-masing ingin mengenali dengan lebih rapat Puteri Mahkota kerajaan Dhiyapura dan ingin mengetahui sejauh mana kehebatannya dalam pelajaran dan aktiviti kokurikulum.

Sewaktu mengisi borang persatuan, Ayrin menandakan hampir kesemua aktiviti – memanah, lawan pedang, karate-do, silat, bola tampar, kadet tentera, kelab catur, kelab fotografi dan sudah tentu pasukan sorak.

Terbeliak mata Rubiah melihat pilihan yang ditandakan oleh Ayrin.“Engkau dah gila ke? Cukup ke masa engkau? Tak penat ke?”

Ayrin cuma tersengih, membariskan giginya yang putih tersusun cantik. “Bila lagi aku nak jadi gila, Bee. Inilah masanya aku balas dendam. Aku dah tak ada perintah berkurung lagi. Aku boleh balik bila-bila masa aku suka.”

“Hi girls!” Tiba-tiba tubuh Ayrin dipeluk dari belakang. Terkejut dia dibuatnya. Ayrin segera menoleh. Sepupunya, Shauna tersengih memandangnya. Tidak lama selepas itu Jeffrey, abang kembar Shauna juga menghampirinya. Shauna dan Jeffrey ialah anak kepada Tengku Farid dan Molina.

“Uuu...fencing. Nice. Kita sepasukan nanti,” kata Shauna dengan gembira sewaktu terlihat pilihan Ayrin.

“Bee...awak pilih apa?” Shauna mengintai kertas di tangan Rubiah. “Archery, chess, journalist club...interesting.”

Ayrin memberikan isyarat kepala kepada Jeffrey, tanda dia ingin tahu apakah pilihan Jeffrey.

“Fencing and basketball,” jawab Jeffrey sambil bersandar pada meja.

“Fencing juga? Aktiviti wajib korang ke tu?” tanya Rubiah kehairanan.

“Yup!” Ayrin, Shauna dan Jeffrey menjawab serentak.

****


6 comments:

  1. Aiii dlm kasih pn bsatu ada ke n3 nie..xbpe nk igat jln cite nya..hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. ni versi original uncut. sblm editor edit...ada bab ni. lepas epilog :D

      Delete
  2. nape tukar bentuk ebook?
    hardcopy takde ke kak

    ReplyDelete
  3. Sis mcm mna nk beli e-book utk novel kasih pun bersatu

    ReplyDelete
  4. Macam mana nak beli buku ni..

    ReplyDelete
  5. Macam mana nak beli buku ni..

    ReplyDelete