Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

November 02, 2011

Bab 1-1: Dan Mimpi Pun Bersatu

 “Anne!” Rita berbisik keras. “Baik kita patah balik. Kalau mereka tahu, mati kita!” Muka Rita berkerut-kerut menahan serangan nyamuk. Berkeruk-keruk dia duduk di belakang Anne yang sedang meneropong ke sebuah kawasan perkhemahan.

“Yalah, Anne. Aku pun takutlah. Bebudak army tu bukan boleh dibuat main. Mampus kita nanti,” Malini juga bersetuju dengan pendapat Rita. Rancangan mereka hendak menyerang hendap khemah budak-budak maktab tentera itu memang satu kesilapan sejak awal lagi.

Namun Anne begitu bijak bermain kata-kata pujukan hingga mereka terumpan. Nah! Sekarang Rita dan Malini sudah menyesal. Kalau tidur lagi bagus daripada diserang nyamuk dan ketakutan begini. Rita menoleh ke belakang. Takut kalau mereka pula yang diserang hendap. Maklumlah yang hendak mereka lawan itu budak-budak sekolah tentera yang sememangnya pakar dalam hal ehwal membaca gerak-geri musuh.

“Kalau kita ajak Tapa, Yoe, Ganu dan Jusoh kan bagus. Taklah takut sangat macam ni,” ujar Malini sambil memegang bakul yang sarat berisi belon kecil yang diisi dengan pewarna merah. Belon tersebut akan dijadikan senjata untuk dilontarkan kepada musuh-musuh mereka kelak.

“Ha ah! Betul tu,” Kepala Rita terangguk-angguk mengiakan kata-kata Malini. Kenapalah dia begitu lemah pendirian hingga boleh dipujuk rayu oleh Anne yang nakal itu?

“Sshhh... Senyaplah! Nanti mereka dengar!” Marah Anne dengan geram. Perhatiannya masih ditumpukan kepada kawasan perkhemahan pelajar-pelajar Maktab Tentera Diraja itu. Anne rasa ada sesuatu yang tidak kena. Kenapa tiba-tiba saja kawasan itu jadi lengang dan senyap? Sewaktu dia tiba setengah jam yang lalu, masih ada ramai pelajar yang berkeliaran dan berbual-bual di keliling unggun api.

Kini sedikit demi sedikit bilangan mereka berkurangan. Hanya tinggal dua orang sahaja yang masih berbual-bual di situ. Anne segera meneropong ke arah khemah-khemah mereka yang berbentuk seperti kubah. Nampak seperti tidak berpenghuni. Ke mana mereka semua menghilang? Anne mula rasa curiga. Entah-entah....

“Hm... apa ni? Rancangan serang hendap?” Anne pantas bangun dan berpaling. Manakala Rita dan Malini sudah menjerit terperanjat. Di hadapan mereka, tujuh orang pelajar Maktab Tentera Diraja sedang mengepung laluan mereka untuk kembali ke khemah.

Anne memerhatikan mereka satu persatu. Renungannya tajam penuh waspada. Anne cuba mengenali siapakah ketua mereka. Jika dia tahu siapa, mudahlah baginya untuk menumpaskan kumpulan itu.

“Belon air?” Salah seorang daripada mereka tunduk dan mengambil sebiji belon dari bakul. “Nak ambush ya?” Pelajar berseragam tentera itu melambung-lambung belon itu sambil merenung ketiga-tiga orang pelajar perempuan di hadapan mereka. Dua daripada mereka kelihatan begitu takut. Tetapi yang seorang itu memandang mereka dengan pandangan yang sedia menyahut cabaran.

Tengku Iskandar tersenyum mengejek. Dengan pantas dia melemparkan belon merah itu ke arah gadis-gadis itu. Anne dan Rita sempat mengelak. Dan belon itu terkena Malini. Habis bajunya dikotori pewarna merah. Malini terus menjerit ketakutan.

Anne merenung pelajar yang telah memulakan pergaduhan itu. Tengku Iskandar pula hanya tersenyum sinis menyambut renungan tajam daripada Anne.

“Apa lagi geng...Serang!” Tengku Iskandar memberi arahan. Dengan pantas Anne dan Rita mengeluarkan perisai masing-masing.

“Rita! Back up!” Anne mengeluarkan arahan sambil cuba mengelak daripada diserang dengan senjata sendiri.

Kelam kabut Rita meniup wisel senyaring-nyaringnya. Tidak lama kemudian sekumpulan pelajar perempuan tiba dengan senjata yang sama tetapi berwarna hijau. Anne tersenyum puas memandang Tengku Iskandar.
“Rasakan tamparan wanita,” Dia ketawa nakal. “Serang!” jeritnya kemudian.

“Tengku, undur...mereka terlalu ramai!” Khairil memberi amaran. Namun belum sempat dia melarikan diri, sebiji belon hijau mengena tepat ke wajahnya.

Tengku Farid cuba menahan geram. Dia memandang gadis berambut panjang itu dengan rasa tidak puas hati. Tengku Farid menepuk bahu Tengku Iskandar dan membuat isyarat ke arah Anne. Tengku Iskandar mengangguk tanda mengerti. Kedua-dua orang pemuda itu menuju ke arah Anne tanpa mempedulikan lontaran belon-belon hijau ke arah mereka.

“Anne! Jaga-jaga!” Syifa memberi amaran apabila terlihat kemaraan dua orang pelajar Maktab Tentera itu.

“Hah?” Anne segera menoleh. Dia lihat Tengku Farid dan Tengku Iskandar sedang menuju ke arahnya. Tanpa membuang masa, Anne terus mencapai beberapa biji belon dan melemparkannya ke arah mereka. Namun tindakan Anne langsung tidak menghalang kemaraan kedua-dua pemuda itu. Sebaliknya Tengku Farid dan Tengku Iskandar menghunuskan pedang mereka!

Anne tersenyum mengejek seraya mengeluarkan pedangnya juga. Maka pertempuran antara mereka bertiga tidak boleh dielakkan lagi. Rita terkejut melihat apa yang berlaku. Malangnya dia tidak boleh menghalangnya. Anne sendiri yang mencari nahas. Biarlah dia sendiri yang menyelesaikannya.

Teruk juga Anne hendak menangkis serangan Tengku Iskandar dan Tengku Farid. Mana adil dua lawan satu, fikirnya marah. Namun dia tidak gentar. Semangatnya semakin kental untuk menewaskan kedua-dua orang seterunya itu. Dia hampir berjaya menjatuhkan pedang Tengku Farid apabila tiba-tiba siren berbunyi nyaring.

“Berhenti semua!” Arahan Komander Omar menghentikan peperangan kecil itu. “Balik ke khemah kamu semula. Pertempuran hanya akan bermula esok. Bukan malam ni. Pergi balik tidur!”

Tengku Iskandar menyarung pedangnya. Nafasnya turun naik menahan penat. Dia merenung Anne yang juga sedang menyimpan pedangnya. “Kita jumpa esok,” cabarnya lalu beredar. Tengku Farid mengekorinya sebentar kemudian.

Anne tersenyum megah. Rakan-rakannya yang lain bersorak sambil pulang ke khemah.

***

“Khairil, siasat siapa budak perempuan tu!” arah Tengku Iskandar sewaktu mereka tiba di kawasan khemah. “Baik, tengku!” Khairil beredar untuk menjalankan tugasnya. Tengku Iskandar melepaskan penat sambil berbaring di dalam sleeping bag tanpa mempedulikan pakaiannya yang berlumuran pewarna hijau dan merah. Tengku Farid menyertainya kemudian.

“Kita bet. Siapa dapat budak perempuan tu, dia menang.” Tengku Farid memulakan cabaran.

“Kalau aku dapat dia, Jaguar 1954 engkau milik aku. Kalau aku kalah, engkau ambillah Ferrari tu.” Tengku Iskandar memejamkan matanya. Wajah nakal Anne bermain-main di kepalanya. Dan kalau aku menang, engkau akan jadi permaisuri aku. Tengku Iskandar tersenyum puas.


No comments:

Post a Comment