Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

November 24, 2012

Tolong Pikat Hatinya @ Kisah Ryan Episod 6


“AKU dah sampai. Kau kat mana?” Zara berjalan pantas menuju ke lobi Hotel One World.
                “Ambil kunci di kaunter check-in. Bilik 515.”
                Zara mengatur langkah menuju ke kaunter. Selepas mengambil kad kunci, dia menghampiri lif. Pintu bilik 515 dibuka. Serta-merta bulu romanya meremang. Episod hitam yang berlaku lapan tahun lalu menyapa fikirannya. Zara memejamkan matanya dan menarik nafas dalam-dalam. Peristiwa lama tidak boleh mencederakan dia lagi. Yang sudah, biarkan berlalu. Dia memujuk hatinya.
                Sepasang gaun biru malam terletak elok di atas katil. Di atas ambal sepasang kasut sama warna masih elok di dalam kotak. Satu set barang perhiasan mutiara dan clutch bag diletakkan di atas meja. Zara harap kesemua itu bukan milik Nurjia. Dia tidak akan sanggup hendak memakainya.
                Zara menjeling jam tangan. Lagi 10 minit majlis hendak bermula. Dengan segera dia masuk ke dalam bilik mandi. Sekejap lagi tentu Ryan mencarinya.
                Loceng pintu dibunyikan. Zara baru selesai mengenakan zip gaun di tubuhnya. Dengan berkaki ayam, dia membuka pintu. Ryan terpacak di hadapannya lengkap bersut hitam.
                “Aku belum siap lagi.” Zara meninggalkan pintu yang ditahan oleh Ryan.
                “Ambillah masa selama mana yang kau perlukan. Majlis tu diadakan di sini. Di Jasmine Junior Ballroom.” Ryan duduk di atas katil. Dia meneliti penampilan Zara. Tubuh gadis yang langsing dan tinggi itu amat sesuai dengan gaun yang baru dipilihnya tadi.
                “Kalau macam tu, tak payah aku kelam-kabut macam kena kejar Along.” Zara mengeluarkan perapi tanpa bilas dari beg soleknya. Dengan menggunakan perapi segera itu, rambutnya yang sedikit kusut tadi begitu mudah diratakan. Guna jari pun boleh. Zara masih ingat akan tag line iklan yang mempromosikan salah satu produk penjagaan rambut. Apabila Zara ingin menyanggulkan rambutnya, Ryan menghalang.
                “Biarkan saja. Lagi cantik.” Ryan suka melihat rambut Zara yang beralun lembut seperti sutera. Ia mengingatkannya kepada rambut Nurjia. Wajah Ryan menjadi tegang. Kenapa perlu lagi dia mengenang wanita itu? Buat hatinya terseksa sahaja.
                “Tolong aku.” Zara menghulurkan rantai mutiara kepada Ryan.
                Lamunan singkat Ryan terganggu. Segera dia mencapai rantai mutiara dari tangan Zara dan membantu memakaikannya ke leher gadis itu. “Kau memang selalu aturkan pakaian untuk Nurjia?”
                Soalan yang keluar dari bibir Zara mengejutkan Ryan. Sebelum ini tidak pernah Zara menyebut nama bekas isterinya itu. Ryan tidak menjawab. Zara berpaling memandang ke wajahnya.
                “Alamak! Maaf. Aku tak bermaksud nak ungkit kisah lama kau.” Zara rasa serba-salah. Segera dia menjauhi Ryan dan menghampiri cermin. Wajahnya disolekkan nipis sahaja malam itu. Kemudian haruman Ralph Lauren Romance disemburkan ke tubuhnya. “Okey, siap!” Zara menyarungkan kasut tumit dua inci, menjadikan dia sama tinggi dengan Ryan. Zara menyulam tali clutch bag, yang senada dengan warna gaun, dengan jari-jemarinya.
                Dia melangkah menghampiri pintu. Ryan mengekorinya tanpa sepatah kata. Menyesal benar Zara kerana keceloparan mulutnya berkata-kata tadi. Dia sudah merompak kegembiraan Ryan dengan kata-kata lancangnya. “Janganlah buat muka macam ni. Bersalah aku rasa. Aku janji...lepas ni aku tak akan sentuh hal peribadi kau lagi.”
                Ryan tersenyum memandang Zara. Dia yang bersalah sebenarnya kerana sensitif tidak tentu fasal. Zara berasa lega melihat senyuman Ryan. Pintu lif terbuka dan mereka melangkah masuk.
                “Kenapa kau ajak aku? Tak ajak rakan-rakan perempuan kau yang lain?” Zara terlupa sesuatu. Sepatutnya dia perlu menjarakkan diri daripada Ryan seandainya dia mahu mengalihkan perhatian orang terhadapnya. Mungkin Zara perlukan teman bicara, maka sebab itu dia menerima ajakan Ryan tadi.
                “Aku ajak sebab kau neutral. Antara kita tak ada perasaan cinta. Aku selesa berkawan dengan kau kerana kau tak harapkan apa-apa daripada aku. Kalau aku ajak Zana, Helen ataupun Mirna, mereka pasti salah anggap sesuatu dan mengharapkan balasan cinta. Aku tak boleh ambil risiko.”
                “Sama juga dengan aku.” Zara berbisik perlahan. Kalau dia keluar dengan Rezman, pasti lelaki itu menganggap hubungan mereka ada harapan untuk berkembang. Kau tak boleh menerima cinta sesiapa, Zara. Cinta adalah terlarang buat kau. Suara hati mula mengingatkan dirinya.
                Mereka melangkah masuk ke Jasmine Junior Ballroom. Majlis cocktail itu sudah mula meriah dengan kehadiran tetamu yang semakin ramai.
                “Ryan!” Hazman tersenyum memandang Ryan. “Sampai juga kau. Dah habis berkabung nampaknya.” Hazman menjeling ke arah Zara. “Siapa? Pengganti Nurjia?”
                Ryan hanya tersenyum. Dia menoleh ke arah Zara. “Zara, Hazman. Teman sekuliah semasa di Princeton. Dia baru balik. Buat majlis ni sebab nak kumpulkan kawan-kawan lama.”
                Hazmin menghulurkan tangan. Zara menyambutnya kerana tidak mahu mengecilkan hati lelaki itu. “Ini isteri aku, Erra. Kami nikah di States.” Zara dan Erra bersalaman. Manakala Ryan hanya menganggukkan kepalanya. “Nanti kita berbual panjang. Jemput menjamu selera.” Hazman mempersilakan mereka menikmati jamuan.
                Zara sememangnya sudah lapar. Dia menghampiri meja bankuet yang penuh dengan hidangan tapas. Ada bruschetta, kurma yang digulung dengan hirisan daging lembu, orly ikan, kepingan ayam bersalut sos bawang putih, kepak ayam, croquettes udang, piza french baguette, calamare marinara, ayam condonblue, spanish omlette dan pelbagai lagi.
                “Laparnya. Aku rasa boleh makan kesemuanya!” Zara mencapai pinggan.
                “Ambilkan aku punya sekali. Kita kongsi. Kau nak minum apa?”
                “Apa-apa yang halal,” pesan Zara. Dia sudah mula memenuhkan pinggan dengan makanan.
                “Sudah tentu semuanya halal.” Sudah pasti Zara menyangka lelaki seperti Hazman yang sudah biasa tinggal di luar negara biasa minum arak. Hakikatnya, Hazman amat menjaga kelakuannya supaya tidak melanggar hukum halal dan haram.
                Zara membawa dua pinggan penuh berisi makanan menghampiri sebuah meja yang kosong. Ryan duduk di sebelahnya sambil meletakkan dua gelas blue heaven. “Air apa ni?” Zara merenung air berwarna biru itu. Di dalam gelas panjang itu turut terkandung ketulan kiub kecil berwarna putih jernih.
                “Minum saja. Kalau kau mabuk, untung besar aku malam ni.” Ryan mengusik.
                “Eh, miang juga kau ni ya!” Zara menampar bahu Ryan.
                Terasa sengal bahu Ryan akibat ditampar oleh Zara.
                Mereka menikmati makanan sambil berbual-bual santai. Ryan memperkenalkan setiap orang yang lalu di mejanya dengan cerita-cerita lucu; kenangan mereka sewaktu belajar dahulu. Ada antara mereka yang singgah dan bertanyakan khabar. Beberapa kali juga mereka salah anggap mengatakan Zara itu Nurjia.
                Ramai juga yang tidak tahu Ryan sudah berpisah dengan Nurjia, fikir Zara. Mujur Ryan hanya berwajah selamba setiap kali mereka menyebut nama Nurjia di hadapannya. Kerlipan lampu kamera memeranjatkan Zara. Lekas-lekas dia menyembunyikan wajah di belakang Ryan. Zara mulai cuak. Jantungnya berdegup pantas.
                “Kenapa ni?” Ryan terkejut dengan tindakan Zara. Dia cuba memandang ke belakang. Tetapi tangan Zara begitu kuat memegang bahunya supaya dia tidak menoleh.
                “Pemalunya teman you, Encik Ryan,” tegur jurugambar yang baru merakamkan gambar mereka tadi.
                Ryan sekadar tersenyum.
                “Suruh dia padam gambar tu. Tolong!” Zara bersuara.
                “Kenapa?” Ryan berasa hairan.
                “Aku pakai susuk. Menjadi pantang larang kalau gambar aku diambil. Nanti bukan wajah aku yang keluar, tapi wajah hantu susuk.”
                Tergelak besar Ryan mendengar alasan Zara.
                “Tolonglah, Ryan. Suruh dia padam gambar aku!” Zara merayu.
                “Jim, padam gambar tu. Nanti Tan Sri tengok, dia tak suka.” Ryan menggamit jurukamera tadi.
                “Laa...tak kan Tan Sri marah? Ni bukan prom night.” Jim nampaknya tidak berpuas hati.
                “Tolong, Jim. Do me a favor,” pinta Ryan lagi.
                “Okey!” Dengan berat hati Jim mencari gambar-gambar yang baru diambilnya tadi.
                “Tunggu!” Tiba-tiba Ryan menghalang. Dia bangun dan menghampiri Jim. Ryan berbisik sesuatu ke telinga Jim. Lelaki itu mengangguk dan tersenyum sebelum beredar.
                “Dah padam?” Bulat mata Zara merenung Ryan yang duduk kembali di tempatnya.
                “Dah. Kau kenapa? Tak akan bergambar dengan aku pun takut?”
                “Kan aku dah kata. Aku pakai susuk...”
                “Merepek!” Ryan memotong kata-kata Zara. Dia menyambung gelak. “You are hilarious, honey!”
                “Ei...apa honey, honey? Aku bukan honey kau!” Zara memberikan amaran.
                Ryan masih tergelak.
                “Ryan? Zara?” Suara Rezman menyebabkan Ryan berhenti gelak.
                “Woo...semput aku.” Dia menekan perutnya yang terasa kejang tadi. Ryan berdiri. “Aku ingat kau tak datang. Tadi kata malas.” Ryan terkejut melihat Rezman datang bersama Dena. Buat pertama kali setelah sekian lama tidak bertemu, Ryan bersemuka dengan Dena.
                “Memang aku malas. Tadi Hazman telefon aku setiap minit. Dah macam ceti nak kutip hutang.” Rezman duduk di sisi Zara. Sedikit pun dia tidak mempedulikan Dena di sisinya.
                “Kenapa tak jawab panggilan aku tadi?” Rezman merenung Zara yang kelihatan begitu jelita malam itu.
                “Baru nak jawab bateri aku dah ‘kong’,” bohong Zara. Dia memandang  ke arah wanita di sisi Rezman. Sejak tadi dia perasan yang wanita itu tidak lepas-lepas memandang Ryan. Siapa dia?
                “Siapa yang telefon dulu? Aku ataupun Ryan?” Rezman masih tidak berpuas hati. Dia amat pasti Zara sengaja tidak mahu menjawab panggilannya tadi.
                “Penting sangat ke?” Zara berasa tidak selesa.
                “Zara, ini isteri Rezman, Dena.” Ryan segera mencelah. Dia tidak selesa dengan renungan Dena yang seperti mengharapkan kasihnya.
                “Oh?” Segera Zara menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Dena. “Saya Zara. Akhirnya dapat juga saya bertemu dengan puan. Bertuah kau sebab dapat isteri secantik Puan Dena, Rez.” Zara sengaja berkata begitu kerana mahu Rezman sedar status dirinya sebenar.
                Sambutan tangan Dena begitu dingin dan cepat. Seolah-olah dia tidak sudi menyentuh tangan Zara. Zara rasa serba salah. Tentu Dena sudah tahu mengenai cubaan Rezman hendak memikat dirinya. Dia harus lakukan sesuatu bagi mengelakkan salah sangka itu daripada berterusan. Rasa tidak sedap duduk pula. Mungkin dia boleh lakukan sesuatu bagi mengusir perasaan janggal itu. Lantas Zara berdiri.
                “Ryan sayang. Nak menari tak?” soalnya spontan.
                “Boleh. Apa salahnya. Aku sangka kau tak mahu ajak.” Wajah Ryan yang nampak terkejut hanya terpamer buat beberapa saat sebelum dia tersenyum lalu menarik tangan Zara. Mereka menuju ke lantai tarian menyertai rakan-rakan yang sudah pun menari mengikut rentak perlahan.
                “Maafkan aku sangat-sangat.” Zara meletakkan dahinya di atas bahu Ryan buat seketika. “Aku terpaksa lakukannya. Nampaknya isteri Rez dah pandang aku semacam. Aku tak mahu dia anggap aku mahu merampas suami dia.”
                Ryan terkedu. Sebenarnya dia juga harus meminta maaf kerana telah menggunakan Zara demi kepentingan peribadinya. Lagipun Zara tidak perlu berasa takut kerana Dena bukan marah kepadanya. Sebaliknya sasaran Dena adalah diri Ryan sendiri.
                “Tak mengapa. Aku faham. Kalau kau nak kita berlakon malam ni, aku boleh bantu.”
                “Tentu Rez tak suka, kan?”
                Ryan memandang ke arah meja yang diduduki oleh Rezman dan Dena. Kedua-dua mereka memandang dia dan Zara dengan renungan tidak puas hati. “Nampaknya begitulah.” Kini Rezman dan Dena sama-sama berkongsi perasaan jengkel. Rezman pasti marah kepadanya. Dena sudah tentu bengang dengan Zara.
                Esok Ryan akan bertemu Rezman. Dia tidak mahu Rezman menyangka yang dia sengaja mahu memikat Zara.
                Sekali lagi lampu kamera menyala. Kali ini bukan Jim yang mengambil gambar. Sebaliknya seorang jurugambar yang tidak Ryan kenali. Zara terpaksa menyembunyikan wajahnya dengan menundukkan kepalanya ke dada Ryan.
                “Nanti aku jadi hantu susuk!” Zara menarik tubuh Ryan supaya membelakangi jurugambar yang begitu galak mengambil gambar mereka.
                Ryan tersenyum lucu. Dia meletakkan sebelah tangannya di atas bahu Zara bagi melindungi wajah gadis itu. Sebaik sahaja jurugambar itu beredar, Zara cepat-cepat mengalihkan kepalanya dari dada Ryan. Malu pula rasanya. Namun dia segera membuat wajah selamba, tanpa segaris perasaan.
                “Mujur aku tak bertukar!” Zara membetulkan rambutnya.
                “Kau ingat kau Ultraman? Boleh bertukar?” Ryan senyum mengusik.
                “Bertukar jadi Ultraman tu, kira okeylah juga kalau nak dibandingkan bertukar jadi hantu susuk.”
                “Ada-ada saja kau ni.” Ryan masih tersenyum.
                “Sebenarnya aku masih lapar lagi. Tadi tak puas makan,” adu Zara. Perutnya sudah berbunyi-bunyi lagi.
                “Okey. Nak duduk tempat tadi?”
                “Boleh. Dengan syarat, teruskan lakonan.” Zara memang tidak mahu mencari gaduh dengan Dena. Ribut pula nanti jika berlaku aksi tarik-tarik rambut di majlis itu.
                Ryan dan Zara bergandingan kembali ke meja mereka. Zara segera mengambil tempat Ryan. Dia tidak mahu duduk di sisi Rezman.
                “Encik Rez, kenapa tak ajak isteri you menari?” Sengaja Zara berkata demikian.
                “Aku nak menari dengan kau, boleh?” Sebaliknya lain pula yang dituturkan oleh Rezman. Semakin galak matanya memandang Zara yang nampak serba salah.
                “Ajaklah isteri you menari dulu.” Zara menyembunyikan perasaan serba salah yang dirasainya dengan senyuman. Dia sempat menjeling wajah Dena yang masam mencuka. Sudah pasti wanita itu sedang marah kepadanya.
                “I tak kisah kalau you nak menari dengan Rez.” Dena memandang Zara.
                Zara terpaku. Dia hilang kata-kata. Dena sengaja berkata demikian kerana hendak menyindir dia?
                Rezman sudah pun tersenyum kemenangan. Zara semakin tidak selesa. Apakah jenis permainan ini? Dena isteri jenis apa hingga boleh mengizinkan suaminya berseronok dengan wanita lain?               

November 17, 2012

Tolong Pikat Hatinya @ Kisah Ryan Episod 5

ZARA mencapai sehelai Metro Khakis berwarna hitam dan dipadankan dengan  blaus butang hadapan berwarna baby pink. Pakaian yang dipakainya ini sudah pasti tidak menghantar apa-apa isyarat kepada Rezman. Setengah jam kemudian, loceng pintu apartmennya berbunyi. Zara membuka pintu. Rezman begitu segak memakai baju t Polo Sport berwarna merah hati yang dipadankan dengan jean biru pudar.

“Santai,” komen Rezman sewaktu meneliti penampilannya.

Zara tersenyum sambil mengunci gril. Rezman memandang kiri dan ke kanan. Dia nampak kurang selesa berada di situ.

Kenapa?” Zara menyembunyikan senyuman. Butang lif ditekan.

“Dah lama kau tinggal kat sini?”

Rezman memang kurang selesa berada di kawasan rumah Zara. Mengapa gadis secantik Zara boleh tinggal di flat yang nampak lama dan kurang dijaga kebersihannya? Lifnya pun sudah berbunyi-bunyi ibarat lori sampah DBKL. Pada mulanya dia hendak mendaki tangga sahaja tadi memandangkan rumah Zara hanya terletak di tingkat lima. Tetapi bau hancing dan tahi kucing menghalangnya berbuat demikian. Dia hampir muntah tadi.

“Sejak dua tahun lalu. Kenapa? Kau rasa tak selesa? Ini saja yang aku mampu.” Zara lebih suka berterus-terang.

“Lebih baik kau duduk di kondo saja. Lepas kau terima tawaran Ryan nanti, sudah tentu kau mampu hidup senang sikit.” Rezman menyeluk saku dan mengeluarkan kunci kereta. Sebiji punat kecil ditekan. Kemudian Rezman memulas pemegang pintu Nissan Murano miliknya.

“Entahlah. Aku rasa tak bersemangat nak terima jawatan tu. Ryan paksa aku supaya terima. Dia tu memang suka paksa orang, eh?”

Rezman tergelak mendengar komen Zara mengenai Ryan. “He always gets his own way of pushing people.” Enjin kereta dihidupkan.

“Kita nak ke mana?”

“Ristorante L’Opera, Bukit Bintang.”

“Boleh aku tanya sesuatu?”

“Ya?” Rezman menoleh seketika ke arah Zara.

“Isteri kau tak kisah ke?”

Rezman tersenyum. “Dia tak kisah. Lagipun dia berhutang dengan aku.”

“Maksud kau?” Dahi Zara berkerut memandang Rezman. Tidak pernah dia mendengar ada isteri yang rela suaminya berpelesiran dengan wanita lain di belakangnya.

“Mungkin lain kali aku ceritakan pada kau. Tenang-tenang saja. Dena tak akan buat bising. Kami saling memahami.”

“Maknanya kau pun merelakan dia berseronok dengan lelaki lain?” Zara cuba memahami maksud yang disampaikan oleh Rezman.

“Mmm....tak. Dia dah terlebih berseronok. Sekarang masanya untuk dia duduk saja di rumah sambil buat bodoh.”

Apabila Zara ingin menyuarakan bantahan, Rezman menggeleng. “Aku tak mahu cakap fasal dia lagi, boleh? Tujuan kita keluar malam ni sebab nak kenal antara satu sama lain, kan?”

Keadaan malam minggu di Bintang Walk benar-benar sesak ketika mereka tiba. Agak payah juga Rezman hendak mendapatkan tempat letak kereta di bawah Piccolo Hotel. Selepas beberapa kali berpusing-pusing, akhirnya mereka berjaya mendapat tempat. Mujur Rezman sudah membuat tempahan awal. Jadi tidak perlu mereka menunggu giliran mendapatkan tempat makan pula.

Telefon bimbit Zara berbunyi menandakan ada mesej baharu masuk sebaik sahaja pelayan selesai mengambil pesanan mereka. Zara tersenyum membaca pesanan ringkas yang terpamer pada skrin telefon bimbitnya.

“Siapa hantar?” Rezman memandang dengan curiga. Dia berasa cemburu pula melihat Zara tersenyum manis selepas membaca pesanan ringkas yang baru diterimanya.

“Ryan.” Senyuman masih lekat di bibir Zara.

“Bak sini handphone tu!” Pantas tangan Rezman merampas telefon bimbit Samsung dari tangan Zara.

If Rez cross the line, text ‘HELP’ to me.” Rezman membaca perlahan. Wajahnya berkerut, tidak puas hati.

“Dia ingat dia siapa? Pengawal peribadi kau? Ingat aku ni apa? Penyumbaleweng?” Buat pertama kali dalam persahabatan mereka, Rezman rasa marah kepada Ryan.

“Jangan marah Ryan. Dia tak bersalah. Dia cuma mahu bagi keyakinan pada aku.” Zara tidak mahu Rezman dan Ryan saling bermusuhan kerana dirinya.

“Keyakinan untuk apa?” Rezman merenung Zara. Hatinya masih panas.

"Aku tak suka ada hubungan dengan lelaki yang dah beristeri. Walaupun isteri kau tak kisah. Aku yang rasa tak selesa. Jadi, boleh kita berkawan saja?”

“Semua ni kerana Ryan, kan?” Hati Rezman kembali berapi.

“Ryan tak ada kena-mengena dalam hal ni!” Suara Zara mula meninggi. “Dia masih dengan cinta gilanya pada Nurjia. Aku dengan dia sekadar kawan rapat. Itu saja. Eh, kenapa pula aku kena jelaskan semua ni pada kau? Ini hidup aku!” Zara kurang selesa dengan tindakan Rezman yang seperti ingin mencampuri urusannya.

“Okey. Kalau bukan Ryan, mungkin ada orang lain?” Rezman masih enggan berputus asa. Dia tidak dapat menerima sebab Zara menolak dirinya.

“Tak ada sesiapa,” jawab Zara dengan bosan.

“Mustahil!”

Renungan tajam Rezman melekat pada wajah Zara yang selamba. Gadis secantik ini tidak mempunyai teman istimewa? Di mana silapnya? Adakah dia jenis yang suka berfoya-foya seperti Dena yang menunggu peluang keemasan hendak menjerat ikan emas?

“Terpulang pada kau.” Zara berpeluk tubuh. Perutnya yang tadi agak lapar, sudah menjadi kenyang sebaik sahaja hidangan dibawa ke hadapan matanya.

“Makan,” ujarnya sepatah sebelum menyuapkan kepingan salmon ke mulutnya. Begitu selamba Zara menikmati makanannya tanpa mempedulikan Rezman. Walaupun seleranya hampir hilang, rezeki yang terhidang tidak perlu dibazirkan.

Rezman mengurut dahinya perlahan-lahan. Buat pertama kalinya dia berhadapan dengan gadis yang jinak-jinak merpati. Zara begitu selamba. Seolah-olah dia tidak takut apa-apa. Malah gadis itu langsung tidak menunjukkan minat kepadanya. Tidak cukup kacak dan bergayakah dia di mata gadis itu? Ataupun dia tidak cukup kaya seperti Ryan?

Makan malam itu tidak seperti yang Rezman harapkan. Ia hambar dan cepat berakhir. Moodnya hendak berseronok dengan Zara hilang apabila gadis itu tidak menunjukkan apa-apa reaksi yang memberangsangkan terhadapnya. Selepas menghantar Zara pulang,  Rezman terus menuju ke Goddezz Coutûre Club. Dia perlu menghiburkan dirinya yang kecewa. Mungkin Ginnie ataupun Julie sudi menghiburkan hatinya malam itu.

SEBAIK sahaja tiba di rumah, telefon bimbitnya berbunyi. Dia tersenyum sambil mengangkat telefon. Nama Ryan berkelip-kelip pada skrin telefonnya.

“Aku selamat sampai di rumah dalam keadaan baik!” Belum sempat Ryan bersuara, Zara terlebih dahulu menyatakan keadaannya.

“Awalnya? Keluar tiga jam saja?” Suara Ryan kedengaran terkejut.

“Dia tu membosankan aku. Lain kali kalau dia ajak keluar, kau ikut sekali tau.”

“Dia tak cuba....”

“Langsung tak ada peluang. Lagipun aku rasa kau dah kacau mood dia awal-awal lagi.”

“Maksud kau?”

“Mesej kau dia baca. Dia syak yang kita ada hubungan. Kuat cemburulah sahabat baik kau tu.”

Ryan tergelak. “Langsung tak macam dia. Kau dah berjaya ubah Rez. Tahniah!”

“Hmmm...tak ada maknanya. Aku masih tak menyukai dia. Suruh dia berhenti kejar aku, boleh tak? Aku tak mahu dituduh merampas suami orang.”

Ryan tersenyum. Kalaulah Zara tahu hakikat sebenar di sebalik perkahwinan antara Rezman dengan Dena, mungkin dia boleh berikan peluang. Tetapi Ryan tidak mahu masuk campur dalam hal itu. Hanya Rezman sahaja yang berhak menceritakan kisah rumah tangganya.


TELEFON bimbit Zara berbunyi. Nama Rezman berkelip-kelip. Zara membiarkan panggilan itu tidak berjawab. Dia tidak ada mood hendak berbual dengan sesiapa ketika itu. Belum pun sampai lima minit, telefon berbunyi lagi. Zara menjeling telefonnya yang terlekat di dash board. Kali ini nama Ryan pula terpapar. Perlukah Zara menjawab panggilan lelaki itu? Lambat-lambat dia menekan butang kawalan pada wayar hands free di lehernya.

“Tadi Rez...sekarang kau. Apa hal?” Seperti biasa, belum sempat Ryan bersuara, dia sudah menyembur kata-kata dahulu.

“Oh...dia ada buat panggilan tadi?” Ryan kedengaran terkejut.

“Hmm.... Korang ni ada hubungan psikik ke?”

Zara terdengar Ryan tergelak. “Dia cakap apa pada kau?”

“Aku tak angkat. Tengah memandu ni.”

“Tapi kenapa panggilan aku kau angkat?” Ryan berasa curiga.

“Sebab kau tak jatuh cinta pada aku.” Selamba Zara bersuara.

Sekali lagi Ryan tergelak. “Pasti Rez sedang kecewa kerana kau tak menerima cintanya.”

“Kalau dia bujang, aku boleh menimbangkan perasaan dia. Malangnya dia sudah beristeri. Aku tak mahu jadi perampas.” Zara tidak mahu menjadi seperti Miriya, perosak rumah tangga mummy dan daddy.

“Kau lapang malam ni?”

“Kenapa?” Soalan dijawab dengan soalan.

“Ikut aku pergi majlis koktel. Aku malas nak pergi sendirian. Nanti banyak pula yang tanya bukan-bukan.” Sebenarnya Ryan tidak mahu sesiapa pun bertanya kepadanya mengenai Nurjia. Dia sedang berusaha memadamkan nama wanita itu di hatinya.

“Aku ada di luar KL. Takut tak sempat. Majlis tu mula pukul berapa?”

“8.30 malam.”

“Hmm...tak sempat kut.”

“Agak-agak pukul berapa kau boleh sampai KL?”

“Pukul 8 dah boleh sampai. Tapi aku kenalah balik rumah, mandi, bersiap, bersolek....” Zara membiarkan ayatnya tergantung.

“Boleh tak kau terus ke One World Hotel?” Ryan menyuruh.

“Apa? Kau nak suruh aku....”

“Aku akan siapkan segala-galanya untuk kau. Yang penting kau datang, okey. Jumpa di sana!” Talian dimatikan.

Aku belum setuju lagi dia dah letak? Zara tidak puas hati. Suka-suka saja Ryan membuat rancangan untuknya. Dia ingat aku siapa?



November 10, 2012

Tolong Pikat Hatinya @ Kisah Ryan - Episod 4


REZMAN sudah pun menempah meja di The Gulai House. Dia tersenyum menyambut ketibaan Ryan dan Zara.

“Aku nak pergi ladies kejap!” Belum sempat duduk, Zara sudah meminta diri sebentar.

“Apa hal? Tiba-tiba ajak makan?” Ryan bertanya.

“Lama tak jumpa kau dan...Zara.” Rezman tersenyum. “Aku dah buat pesanan. Korang tiba lewat sangat.”

“Kau nak jumpa aku ataupun nak jumpa Zara?” soalan sinis Ryan disambut oleh Rezman dengan senyuman lebar.

“Aku memang nak jumpa Zara. Cuma dia tu payah sikitlah, bro. Dah banyak kali dia tolak pelawaan aku. Jadi aku gunakan kau.”

Ryan menggeleng kepala. Jika tidak kerana Rezman ialah sahabat baiknya yang sudah banyak kali menyelamatkan dirinya, sudah  lama dia menumbuk wajah lelaki mata keranjang itu.

“Tentulah dia menolak. Kau kan dah ada bini!” Ryan menekan sedikit perkataan ‘bini’ dengan harapan Rezman sedar diri.

“Tu bini tahanan.”

“Sampai bila kau nak buat Dena macam tu?” Suara Ryan mula serius; mempersoalkan kehidupan berumah tangga sahabatnya. Perkahwinan antara Rezman dengan Dena berpunca daripada dirinya juga. Secara tidak langsung, Ryan rasa bertanggungjawab.

“Sampai hati aku puas. Dia dah banyak buat hidup kita merana!” Kata-kata Rezman bersulam dendam.

Ryan mengeluh berat. Dia sudah lama memaafkan Dena atas segala perbuatannya. Namun dia gagal memujuk Rezman berbuat perkara yang sama. “Selagi Dena masih bersama kau, aku jamin, kau tak akan dapat Zara. Dia bukan gadis mata duitan yang mudah kau pikat begitu saja.”

Rezman tersenyum nakal. “Semua perempuan suka duit, Ryan. Dah kaya pun mahu lagi kaya. Kau rapat dengan Zara. Tentu kau tahu apa yang dia mahukan daripada lelaki.”

Ryan menggeleng kepala. “Kau ingat, aku bapak ayam? Aku tak akan khianati kepercayaan dia. Kalau kau nak Zara, kau usahalah sendiri. Aku tak mahu campur.”

Tergelak Rezman mendengar kata-kata Ryan. Macamlah dia jahat sangat. “Aku harap kau memang tak ada hati pada Zara. Kalau ada, aku tak teragak-agak bunuh kau!” Wajah Rezman serius.

“Aku memang tak ada hati dengan dia. Kami cuma bersahabat. Lagipun hati aku....” Ryan membiarkan ayatnya tidak bersambung.

“Kau masih mengharapkan kasih Gia?” Rezman menggeleng kesal. “Hentikanlah, bro! Usah seksa perasaan kau lagi. Dia dah pergi daripada hidup kau. Entah kat mana dia sekarang ni. Kau pun gagal kesan dia, kan?” Kali ini Rezman pula rasa simpati terhadap Ryan yang masih mengharap kasih yang tidak pasti.

“Aku masih tak dapat lupakan dia. Aku terlalu cintakan dia!”

Langkah Zara terhenti di sisi Ryan. “Alamak! Syahdunya!” Dia terus duduk di antara Ryan dengan Rezman.

“Terharu aku  mendengarnya!” Zara menarik wajah sedih.

Rezman sudah ketawa besar. Suka benar dia dengan lawak Zara yang selamba. Hatinya semakin terpaut.

“Zara!” Renungan tajam Ryan menikam wajah Zara yang masih selamba.

“Maaf, bos. Jangan pecat saya!” Nada suara Zara mendatar, tanpa perasaan.

Semakin kuat pula ketawa Rezman. Entah apa yang lucu, Zara sendiri tidak tahu. Adakah Rezman sengaja buat begitu semata-mata mahu menarik perhatiannya?

“Encik Rez...apa khabar isteri encik yang cantik jelita tu?” Pertanyaan Zara menyebabkan tawa Rezman ternoktah.

Ryan pula yang tergelak. “Giliran kau pula yang kena. Bagus sangatlah tu!”

“Baik-baik saja. Dia dah setuju benarkan aku kahwin satu lagi. Zara, nak jadi isteri kedua aku tak?” Wajah Rezman serius memandang Zara.

Zara tersenyum, seolah-olah mengejek. “Terima kasih kerana buat tawaran. Aku masih belum bersedia nak bergelar nombor dua.” Wajahnya serius. “Bila boleh makan ni? Aku lapar giler!” Zara memberikan renungan amaran kepada Ryan menunjukkan dia tidak selesa dengan kata-kata Rezman.

Rezman yang menyedari dia sudah melampau, terasa menyesal kerana mengeruhkan suasana. Dia tahu Zara sudah berkecil hati dengan kata-katanya sebentar tadi. “Maafkan aku. Aku tak bermaksud nak hina kau. Selama ni kau tak pernah beri aku peluang untuk mengenali kau dengan lebih dekat.” Nada suara Rezman bertukar perlahan tetapi tegas.

Ryan sendiri terkejut mendengarnya. Buat pertama kali dia mendengar Rezman mengeluarkan kata-kata itu di hadapan seorang gadis. Adakah benar Rezman sudah menemui cinta?

Zara rasa serba salah. Memang selama ini dia sengaja mengelak daripada bertemu dengan Rezman. Selalunya kalau Rezman mengajak berjumpa, dia pasti mengheret Ryan bersama. Disebabkan dia selalu sahaja mengelak pelawaan lelaki itu, Rezman sudah menggunakan taktik baharu iaitu menggunakan Ryan bagi mengundangnya. Kasihan Ryan ditarik ke hulu ke hilir seperti roda.

“Boleh aku minta diri dulu?” Ryan bangun perlahan-lahan. Rasanya misi sudah selesai.

“Tunggu!” Zara menarik tangan Ryan dengan kuat sehingga memaksa lelaki itu duduk semula di tempatnya. Ryan sungguh terkejut dengan tindakan Zara. Selama ini tidak pernah Zara memegang tangannya.

Menyedari akan kesilapannya, Zara segera melepaskan tangan Ryan. Wajahnya berubah merah. Dia memaki hamun dirinya berkali-kali. Tubuhnya terasa kegelian. Dia bukan jijik kerana memegang Ryan sebaliknya dia jijik dengan dirinya sendiri. Kau tak layak sentuh dia! Suara kecil itu menjerit di kepalanya. Kau tu kotor tahu tak? Zara semakin dihimpit perasaan. Wajahnya bungkam.

“Aku nak pergi ladies sekejap.” Dia terus bangun meninggalkan kedua-dua lelaki itu.

“Tengok...apa kau dah buat?” Ryan berpeluk tubuh memandang Rezman. “Aku tak pernah tengok muka dia berubah sampai macam tu. Kau benar-benar serius mahukan Zara?”

“Aku serius tahap gila-gila. Kalau kau dah temui cinta menerusi Gia, aku pun dah jumpa cinta aku menerusi Zara.” Rezman membuat pengakuan ikhlas.

Dahi Ryan berkerut. “Kau tak begitu mengenali dia. Bagaimana kau tafsirkan perasaan tu sebagai cinta? Entah-entah nafsu.” Dia merenung Rezman. Wajah lelaki itu nampak tidak bersemangat. Seolah-olah yang berada di hadapannya itu bukan Rezman. “Apa yang kau suka pada Zara? Dena lebih seksi daripada dia, lebih menggoda.”

“Entah. Aku pun tak tahu. Tapi pertama kali aku pandang muka dia masa pelancaran Teratak Suri, hati aku dah terpikat. Aku tak boleh jelaskan. Buat pertama kalinya, aku hilang kata-kata depan seorang gadis. Tentu ada sesuatu mengenai dia, kan?” Selalunya laju sahaja Rezman menuturkan kalimah-kalimah memikat yang membuatkan ramai wanita tunduk di kakinya. Tetapi apabila berhadapan dengan Zara, lidahnya jadi kelu. Semua kata-kata yang terkeluar tidak kena. Lain yang mahu disampaikan, lain yang terkeluar dari bibirnya.

“Yup. Something definitely going on. Perhaps you have meet love.”

“Tolong aku, bro! Yakinkan dia supaya keluar dengan aku. Sekali aje. Lepas aku luahkan isi hati aku padanya, aku janji tak akan kacau dia lagi seandainya dia menolak.” Rezman  merayu.

Bulat mata Ryan merenung Rezman. “Fuh, kau dah berubah.”

Rezman tersenyum pasrah. “Kalau cinta Gia buat kau tungging terbalik, sama juga dengan aku. Kau tentu faham apa yang aku rasai sekarang ni.”

Tidak sempat Ryan hendak membalas, datang pelayan meletakkan hidangan yang dipesan oleh Rezman ke atas meja. Ketika itu juga Zara muncul. Wajahnya ceria.

“Laparnya! Jom makan!” Dengan selamba dia terus menyuap nasi ke mulut tanpa mempedulikan renungan Rezman dan Ryan. Mereka tentu pelik dengan perubahan sikapnya yang mendadak.
Lantak koranglah. Aku dah lapar. Zara terus makan dengan penuh selera.

ZARA bersandar lesu di atas sofa. Tubuhnya terasa keletihan sungguhpun dia tidak membuat apa-apa kerja hari itu. Separuh masa pejabatnya dihabiskan dengan makan tengah hari yang amat panjang bersama Rezman dan Ryan. Lelaki R&R − rehat dan rawat. Siapa pula yang rehat, siapa pula yang rawat? Dia tergelak sendirian.

Zara, kau tak boleh terlibat dengan mana-mana lelaki lagi. Hentikan sebelum terlewat. Kau nak lari lagi lepas ni? Suara hati mula menjerit. Zara mengurut dahinya. Dia sudah berjanji pada diri sendiri, ini destinasi terakhir. Tiada lagi perpindahan, tiada lagi persinggahan. Dia sudah puas berlari dan bersembunyi. Sudah sampai masanya dia hentikan segala-galanya. Zara perlu ada hidup yang sempurna.

RUANG biliknya dipenuhi kotak-kotak coklat berbagai jenama dan perisa. Dia baru saja masuk ke pejabat tengah hari itu selepas menguruskan acara promosi hartanah Millenium Group di Karnival Hartanah bertempat di PICC.  Zara menarik kad yang terlekat di atas salah satu kotak coklat.

“Forgive me.” Dia membaca. Tiada tanda tangan mahupun nama pengirim. Zara menarik lagi sekeping kad. “Maafkan aku.” Juga seperti tadi, tiada nama pengirim. Dia menarik sekeping lagi. “Gomen nasai.”

Seterusnya, “Lo siento.” “Je suis désolé.” Kesemua ucapan yang tertera di atas kad ialah huluran maaf dalam pelbagai bahasa. Pengirimnya tidak lain tidak bukan semestinya Rezman.

Telefon bimbitnya berbunyi. Zara memandang skrin. Nombor yang tidak dikenali terpapar. Jika pembekal ataupun kontraktor yang menelefon, sudah tentu mereka menggunakan nombor telefon bimbit yang diberikan oleh Millenium Group. Ini nombor peribadinya. Siapa pula yang memanggil?

“Helo?” Dia tertanya-tanya.

“Kau dah terima maaf aku?” Suara Rezman bergema di hujung talian.

“Macam  mana kau boleh dapat nombor ni?” Zara berasa marah.

“Aku paksa Ryan. Kau jangan marah dia.”

Zara mengeluh berat. Nombor peribadinya sudah berpindah tangan. Selama ini hanya Ryan sahaja yang tahu nombor itu. Dia benar-benar tidak berpuas hati. Sudah malas rasanya menukar nombor berkali-kali.

“Zara, berikan aku peluang untuk mengenali kau. Jumpa aku sekali saja. Lepas tu, kalau kau tak suka aku, aku tak akan ganggu kau lagi.”

“Sekali saja?” Dia menduga.

“Iya. Sekali saja.” Sedaya upaya Rezman  mahu  meyakinkan Zara.

“Okey.” Akhirnya dia memberikan keputusan, memberikan Rezman peluang meluahkan isi hatinya dan memberikan dirinya peluang menikmati kehidupan yang sempurna. Moga berbaloi tindakannya ini.
“Malam esok aku jemput kau jam 8.30 malam. Jumpa esok!”

Sebaik sahaja talian dimatikan, Zara mencapai telefon di atas mejanya. Nombor sambungan terus Ryan didail.

“Ya, ada apa Zara?”

Zara dapat merasakan yang Ryan sedang tersenyum. “Aku nak bunuh kau!” Zara mengetap gigi.

Ryan tergelak. “Berilah dia peluang. Kasihan aku tengok dia sampai melutut nak minta nombor kau. Tak pernah aku tengok Rez macam ni. Kau dah berjaya tundukkan dia.” Ryan kagum. Entah apa jampi yang dikenakan oleh Zara, hati Rezman yang keras itu akhirnya berjaya dilembutkan.

“Ryan, berterus-teranglah pada aku. Apa Rez nak dengan aku? Dia nak tidur dengan aku?”

Sikap Zara yang terlalu berterus-terang itu mengagumkan Ryan. Zara tidak pernah berselindung ataupun berpura-pura di hadapannya. Jika dia kata tidak suka, bermakna memang dia tidak suka.

“Aku tak fikir begitu, Zara. Kau tak perlu bimbang. Rez bukan jenis yang suka memaksa. Kalau kau tak mahu, dia tak akan cuba. Memang dia kaki perempuan tapi dia tak berniat serong.”

“Kalau kau dah kata begitu...baiklah. Aku hargai jaminan yang kau berikan.”

Zara meletakkan telefon. Dia mengeluh berat memandang kotak-kotak coklat yang memenuhi biliknya. Hatinya berdebar-debar. Benarkah tindakannya kali ini? Dia bukan takut kepada Rezman. Sebaliknya dia takut kepada dirinya sendiri.

November 03, 2012

Tolong Pikat Hatinya @ Kisah Ryan - Episod 3




“BAGI aku lima minit. Aku baru selesai bermesyuarat dengan pembekal.” Zara meletakkan telefon. Dia membuka kot pendek dan melemparkannya ke atas kerusi. Tangannya pantas mencapai tisu basah dan mengelap jari-jemarinya. Hari ini sudah ramai yang ditemuinya. Dia bersalaman dengan mereka. Entah apa pula jenis kuman yang sudah berpindah ke kulitnya yang mulus itu.

Tisu basah yang sudah bertukar warna kelabu itu dicampakkan ke dalam bakul sampah. Sehelai lagi ditarik. Dia akan terus menarik tisu sehinggalah tisu itu tidak bertukar warna. Sesudah berpuas hati, Zara membuka laci mengeluarkan bedak kompak. Wajahnya disapu nipis dengan bedak sebelum bibirnya dioleskan dengan sedikit gincu Revlon Super Lustrous berwarna Kiss Me Coral.

Zara mencapai organizer. Terburu-buru dia melangkah keluar dari bilik pejabatnya. Tingkat 22  menjadi destinasinya. Pasti Pengarah Urusan Millenium Group sudah lama menantinya.

“Maaf, lambat sikit!” Zara menarik kerusi di hadapan meja.

Ryan mengangkat kepala sebaik sahaja haruman Escada Incredible Me tercium dek hidungnya. Tersungging senyuman di bibir lelaki itu. “Baru habis mesyuarat?” Ryan meletakkan fail laporan yang baru diterimanya daripada Jabatan Pemasaran.

“Yup.” Sepatah jawapan Zara. Organizer di hadapannya dibuka, menandakan dia bersedia menunggu arahan.

“Kau dah fikirkan tawaran aku hari tu?” Sebaliknya lain pula yang keluar dari mulut Ryan.

Zara bersandar pada kerusi. Nafasnya ditarik dalam-dalam. “Bukan aku nak menolak...tapi ada orang lain lagi yang layak. Aku bukan seperti Jeslina. Aku tak pandai dalam hal pelaburan. Aku cuma suka buat program promosi...macam yang aku buat sekarang ni.”

“Maknanya kau dah berpuas hati dengan tahap kerjaya kau sekarang? Tak mahu meningkatkan diri?” Ryan seperti mencabar.

Zara tersenyum, menyembunyikan perasaan sedih di hatinya. “Aku baru saja setahun lebih di sini. Masih belum puas buat event. Tunggu setahun lagi, boleh?”

“Tunggu setahun lagi?” Suara Ryan berbaur curiga. “Zara, aku dah tengok resume kau. Selalunya genap saja dua tahun, kau akan tukar kerja. Milennium ni tempat kerja kau yang ketiga, kan?”

Zara menggeleng kepala. “Kau silap. Aku tak pernah kerja melebihi dua tahun. Kiranya Milennium ni aku berjaya bertahan sampai hari ni. Yang lain tu paling lama pun setahun.” Zara membetulkan fakta.

Ryan menjeling jam di pergelangan tangannya. Sudah hampir 12.30 tengah hari. “Jom makan!” Dia bangun.
Zara mengetap bibir. Hatinya berat hendak menerima pelawaan Ryan lagi. Sudah beberapa kali Ryan mengajaknya keluar makan bersama. Kalau tidak makan tengah hari, pasti lelaki itu mengajaknya keluar makan malam. Namun semuanya berjaya di tepis sejak kebelakangan ini.

“Marilah. Kau masih nak menolak lagi? Apa pula alasannya kali ni?” Suara Ryan sudah tidak semesra tadi.

Lambat-lambat Zara bangun. Bagaimana dia hendak menolak kali ini? Alasan apa yang sepatutnya diberikan? Dia sudah kehabisan alasan. Sebaik-baiknya berterus-terang sahaja. Itu jalan yang paling selamat.

“Aku kurang selesalah, Ryan. Dah jadi buah mulut orang. Aku sedang tertunggu-tunggu seruan Tan Sri untuk menghadap dia.” Zara menyuarakan kegusaran hatinya.

Dia menerima jawatan sebagai eksekutif acara kononnya hendak menyembunyikan diri daripada aura-aura perhatian di syarikat besar itu. Malang sekali apabila persahabatannya dengan Ryan selama ini sudah meletakkan dia di puncak perhatian semua manusia di Millenium Group. Gosip sudah tersebar mengatakan dia bakal mengganti tempat Nurjia Amani. Itupun setelah kegagalan Jeslina dahulu. Zara tidak mahu!

Dahulu Ryan rapat dengan Jeslina. Entah apa yang berlaku, tiba-tiba sahaja wanita itu meletakkan jawatan secara mengejut. Menyesal betul dia rapat dengan Ryan. Selama ini dia tidak berniat apa-apa. Dia datang ke Millenium Group hanya untuk mencari nafkah dan pengalaman. Perkenalannya dengan Ryan bermula sewaktu dia mengendalikan acara pelancaran Prima Idaman Square, projek pertama yang perlu dikendalikan olehnya. Kebetulan, ketuanya Puan Haryani cuti bersalin. Dia terpaksa memangku jawatan sebagai pengurus acara. Tugas pertama itu benar-benar mencabar kemampuannya. Sebelum itu, dia hanya kenal nama-nama orang atasannya. Disebabkan kesibukan, dia tidak sempat menghafal wajah mereka.

Sewaktu dia sedang sibuk memantau persiapan acara, Ryan datang melihat-lihat. Penampilan lelaki itu yang agak santai membuatkan dia menyangka Ryan salah seorang kontraktor yang diupah oleh syarikat. Dengan selamba dia mengarahkan Ryan membantunya memasang bunting di beberapa lokasi. Anehnya lelaki itu hanya menurut kata tanpa bantahan. Malah Ryan turut bergaul dengan pekerja bawahan lain dengan gaya yang selamba. Cuma dia tersedar kesilapannya apabila dia terdengar mereka memanggilnya Encik Rayyan. Pada waktu itu, barulah dia sedar yang dia sudah melakukan kesilapan yang amat besar.

Berkali-kali dia meminta maaf. Ryan setuju menerima permohonan maaf asalnya dia sanggup menemani lelaki itu makan tengah hari. Dari situ, persahabatan ‘aneh’ mereka bermula. Aneh kerana mereka selalu berjumpa secara sembunyi-sembunyi. Cuma sejak kebelakangan ini sahaja Ryan berani mengajaknya keluar pada waktu pejabat dan di hadapan pekerja lain.

“Kenapa kau takut dengan ayah? Apa dia boleh buat?” Ryan tersenyum lucu memandang Zara yang nampak begitu risau.

Zara mengetap bibirnya lagi. “Bodoh betullah. Berita ni mesti dah sampai ke pengetahuan Tan Sri. Dia pun macam orang lain juga. Mesti dia anggap yang bukan-bukan. Padahal tak ada apa-apa!”

Ryan tersenyum lucu. Sikap Zara yang selamba itulah yang menarik perhatiannya hendak berkawan dengan gadis itu. “Kau kata aku bodoh? Nak kena pecat?” Ryan mengacah.

“Aku bukan kata kau bodoh. Aku cuma kata semua ni bodoh. Bisik-bisik orang di belakang aku dah semakin kuat.” Zara menjelaskan maksud kata-kata kasarnya tadi. “Kalau pangkat aku pengurus tak apalah aku rapat dengan kau. Ni cuma eksekutif aje. Mesti orang anggap yang bukan-bukan.” Usah berpura-pura baik, Zara.  Usah tipu diri sendiri. Suara halus itu menjerit di kepala Zara hingga mengubah roman wajahnya.

“Sebab tu aku nak tawarkan pada kau jawatan Jeslina. Tapi kau jual mahal pula.” Ryan berpeluk tubuh memandang gadis di hadapannya. Wajah Zara jadi pucat tiba-tiba.

“Okeylah aku terima dengan berat hati!” Akhirnya Zara mengalah. “Tapi janganlah jadikan sebab tu bagi merapatkan hubungan kita. Kau tau yang aku memang tak ada hati pada kau.”

Ryan senyum lagi. Sikap Zara yang berterus-terang ini juga yang menyebabkan Ryan seronok berkawan dengannya. “Bagus. Sekarang kita saling memahami. Aku pun tak ada hati pada kau. Kita hanya teman, tapi mesra.”

Pecah ketawa Zara sebaik sahaja mendengar kata-kata Ryan yang terakhir. “TTM!” Dia terus menyambung ketawa hingga perut terasa senak. “Fuh. So unladylike of me laughing out loud like that in front of a gentleman!” Zara kembali serius.

Ini faktor ketiga yang membuatkan Ryan suka berkawan dengan Zara. “Boleh pergi sekarang? Aku dah lapar!” Ryan mengajak.

“Kau pergi dulu. Aku jumpa kau di sana.” Zara masih keberatan hendak keluar bergandingan dengan Ryan.

“Kau tau ke aku  nak ke mana?” Sinis soalan Ryan.

“Kau nak ke mana?” Zara membalas dengan  soalan  juga.

“Carcosa!”

“Waktu macam ni? Jalan sesak gilalah sekarang!” Lemah lutut Zara hendak memandu meredah kesesakan lalu lintas menuju ke Taman Tasik Perdana. “Satu  jam  mana sempat!”

“Aku dah beritahu Haryani yang kau masuk lambat sikit petang ni. Lagipun Rez dah tunggu kita. Kalau kau  tak mahu memandu, ikut saja aku.” Ryan keluar dari biliknya.

Berat kaki Zara mahu mengekori Ryan. Suka hati dia saja nak suruh aku masuk lambat, rungutnya kesal.

“Kak...macam biasa. Bos dera saya.” Zara mempamerkan wajah kurang ceria di hadapan Rumaiyah, pembantu khas Ryan.

Rumaiyah tergelak. “Yelah. Encik Rayyan dah beritahu  tadi. Pergilah.”

Perlahan-lahan Zara melangkah ke arah lif. Ryan sudah pun turun dahulu. Senyuman di bibir Rumaiyah masih belum lekang walaupun sudah beberapa minit perkara itu berlaku. Semenjak kehadiran Zara Elsa dalam hidup Ryan, dia sudah boleh melihat lelaki itu kembali tersenyum. Sikapnya sudah tidak serius macam dahulu. Sungguhpun dia masih mementingkan kerja, Ryan sudah semakin tahu bertenang dan tidak terlalu impulsif seperti dahulu. Sebelum ini pun sudah banyak gadis yang cuba meraih perhatian Ryan termasuk Cik Jeslina. Namun semuanya kecundang. Adakah Zara bakal pengganti tempat Nurjia di hati Ryan? Rumaiyah hanya mampu menghimpun jari memanjatkan doa buat kebahagiaan ketua yang banyak berbudi itu.

October 27, 2012

Tolong Pikat Hatinya @ Kisah Ryan - Episod 2



SEJAK pulang dari London, sikap Ryan masih tidak berubah. Malah Jeslina lihat dia sering dilihat termenung panjang. Sudah lama perkara itu berlalu, nampaknya ia benar-benar mendatangkan kesan yang begitu mendalam di jiwa lelaki itu. Jeslina ingin benar mengenali bekas isteri Ryan yang telah berjaya menghuru-harakan perasaan lelaki itu. Semenjak dia mengenai Ryan, Jeslina faham benar dengan sikap Ryan yang mementingkan cita-cita dan impiannya yang hanya dibatasi oleh langit.

Ryan tidak pernah peduli dengan mana-mana gadis yang datang menyembah ke kakinya. Dia hanya selesa berkawan, bukan bercinta. Setahu Jeslina, Ryan tidak pernah jatuh cinta ataupun menyukai mana-mana gadis. Degil sungguh hatinya mahu menerima cinta. Hatta perkahwinannya dengan Nurjia juga bukan atas nama cinta. Semuanya kerana kepentingan impian dan cita-citanya. Malang sekali impian dan cita-cita itu sendiri yang memusnahkannya dan meletakkan dia dalam jerat cinta yang tidak berpenghujung. Ryan seolah-olah telah disumpah oleh cinta yang sekian lama dikhianati dan dipandang sepi olehnya. Sama ada Nurjia yang hebat kerana berjaya menundukkan Ryan ataupun cinta sendiri telah datang membalas dendam terhadap lelaki itu.

Bukan Jeslina tidak pernah mencuba nasib mempertaruhkan perasaan cintanya kepada Ryan. Dia pernah cuba meluahkannya. Namun belum sempat lima huruf keramat itu diluahkan, ramai gadis lain yang membawa semboyan yang sama telah kecundang di hadapan matanya. Lantas dia belajar daripada kesilapan. Menjadi rakan baik Ryan lebih selamat dan terjamin daripada menjadi pemburu cinta yang langsung tiada tempat dalam hidup lelaki itu. Jika difikirkan dalam-dalam, Ryan memang begitu angkuh dalam soal cinta. Mungkin kini keangkuhannya telah memakan diri sendiri. Dia telah kehilangan wanita pertama yang dicintai olehnya gara-gara penipuan dan perangkap nafsu.

“Mengapa dia terlalu istimewa, Ryan?” Jeslina sudah tidak mampu memendam soalan itu. Dia perlu tahu keistimewaan Nurjia sehingga berjaya membuatkan Ryan seperti berputus asa terhadap cinta.
Ryan agak terkejut mendengar soalan yang dilemparkan oleh Jeslina. Dia tidak perlu bertanya siapakah yang dimaksudkan oleh Jeslina kerana dalam hidupnya, hanya ada satu wanita yang berjaya bertakhta di hatinya sehingga kini.

“Maksud  kau?”

“Walaupun dah lama perkara tu berlalu, aku tengok kau susah sangat nak lupakan dia. Kau dah jadi seorang yang suka termenung. Lepas pulang dari London, kau bertambah teruk. Tumpuan kau pada bisnes dah tak macam dulu. Keseronokan kau telah pudar kerana kau kini sedang berada di awang-awangan bersama kenangan lalu.”

Terangkat kening Ryan mendengar bicara Jeslina yang disampaikan seperti puisi.

“Nurjia semestinya seorang wanita yang amat istimewa di hati kau, kan? Kau terlalu sukar hendak melupakan dia dan mustahil bagi kau untuk menerima orang lain selepas ini.” Jeslina mengawal perasaan kecewa yang hampir-hampir mahu terhambur keluar.

Ryan menarik nafas dalam-dalam. Dia tidak rasa mahu menjawab soalan itu. Bagi dirinya hanya dia seorang sahaja yang memahami apa yang bergolak di jiwanya tatkala itu. Jika diceritakan kepada orang lain pun, bukannya dapat menyelesaikan apa-apa. Dia tidak mahu meraih simpati sesiapa. Apatah lagi mahu berkongsi kedukaan itu dengan rakan sekerja seperti Jeslina. Biarlah hubungannya dengan Jeslina kekal profesional walaupun mereka telah bersahabat semenjak kecil.

“Aku harap bukan rasa bersalah kau terhadap dia yang buat kau menyeksa diri seperti ni.” Jeslina masih berdegil mahu mengaku kalah. Dia mahu Ryan mengaku sesuatu.

“Kenapa mesti aku rasa bersalah?” Suara Ryan mendatar.

Jeslina tersenyum. Berjaya juga dia membuat Ryan berkata sesuatu mengenai perkara itu. Ah, dia sudah semakin hampir mahu mengorek rahsia yang tersimpan di hati lelaki itu.

“Kau kahwini Gia kerana harta. Kau tak pedulikan dia sehingga segala-galanya sudah terlambat. Kau mula jatuh hati pada dia tatkala kau melakukan hubungan dengan orang lain. Kemudian Nurjia kehilangan kandungannya kerana kecewa dengan kecurangan kau. Hari ni, kau telah meletakkan segala kesalahan tu atas bahu kau sendiri sehingga lupa yang segala-galanya berlaku atas nama takdir.”

Wajah Ryan nampak tegang. Jeslina yakin apa yang baru dikatakannya sebentar tadi ada kebenarannya. Sejauh mana ia benar, tidaklah dia tahu.

“Tak payahlah kau risau hal aku, Jes. Aku boleh uruskan hal sendiri. Lagipun setakat hari ni, prestasi kerja aku tak pernah menurun. Kau tak perlu risau apa-apa. Pelaburan kau terjamin.” Tanpa menunggu reaksi selanjutnya daripada Jeslina, Ryan terus melangkah keluar dari bilik pejabatnya sendiri. Hawa di dalam biliknya itu terasa panas tiba-tiba.

RYAN nekad mahu melupakan sejarah silamnya. Lagipun dia sudah tidak tahan mendengar kata-kata sindiran yang selalu dilemparkan oleh Jeslina kepadanya. Kini dia akan menumpukan segala perhatiannya kepada kerja dan cita-citanya sahaja. Dia tidak akan pedulikan lagi perkara lain termasuk cinta.

Pada mulanya Jeslina menerima baik perubahan diri Ryan yang sudah kembali seperti dahulu, seperti sebelum dia berkahwin. Tetapi lama-kelamaan dia berasa hampa apabila mendapati Ryan bersikap tidak sensitif terhadap perkara lain selain urusan perniagaan. Pernah juga Jeslina cuba-cuba meluahkan perasaan hatinya melalui beberapa isyarat. Namun disambut sepi oleh Ryan. Sama ada Ryan sengaja berbuat begitu ataupun memang dia betul-betul tidak faham dengan isyarat yang diberikan.

Jeslina menggigit bibir seketika. Dia terasa lemas dengan keadaan itu. Ketidakpastian selalu membuatkannya tidak senang duduk. Jeslina harus mendapatkan kepastian daripada Ryan. Dia sudah bersedia hendak mendengar keputusan dan pendapat Ryan mengenai luahan perasaannya nanti.

Peluang yang ditunggu oleh Jeslina tiba jua akhirnya apabila mereka dijemput hadir ke satu majlis makan malam yang dianjurkan oleh salah seorang rakan niaga mereka yang menyambut ulang tahun perniagaan mereka. Majlis itu diadakan di Hotel Marriot Putrajaya. Sengaja Jeslina menyuruh Ryan menjemputnya dengan alasan keretanya rosak. Ryan yang tidak banyak soal, hanya menurut. Tepat jam 8.30 malam, dia sudah pun menunggu di perkarangan kondominium  mewah milik Jeslina yang terletak di Mont Kiara.

Sewaktu dalam perjalanan menuju ke Putrajaya, Ryan hanya diam. Jeslina pula semakin berdebar-debar mencari peluang sesuai bagi meluahkan perasaan hatinya yang sudah lama tersimpan. Jeslina tidak pernah takutkan apa-apa sebelum ini. Malah dia digambarkan oleh rakan-rakan seperjuangannya sebagai Wanita Besi yang tidak gentar dengan apa-apa cabaran. Dia garang di meja perundingan perniagaan. Malah dia berani mencabar saingannya. Malangnya apabila menyentuh mengenai hati dan perasaan, jiwa dan semangatnya menjadi kecil. Jeslina jadi takut. Aneh sungguh! Agaknya inilah dilema wanita berjaya sepertinya. Berjaya dalam dunia perniagaan, tetapi kurang berjaya dalam kehidupan mencari cinta.
Memandangkan kedudukannya yang tinggi di syarikat, dia tidak boleh merendahkan cita rasanya ketika memilih teman hidup. Lelaki yang bakal dipilih berkongsi kehidupan dengannya mestilah setanding ataupun lebih tinggi kedudukan daripadanya. Jeslina tidak sesekali memilih lelaki yang berkedudukan lebih rendah. Bukan sahaja dia tidak sudi, malah ahli keluarganya pasti membantah keras. Enggang sama enggang, pipit sama pipit.

Disebabkan Jeslina terlalu sibuk memburu cita-citanya, dia tidak ada masa hendak mencari teman lelaki yang serius. Dia hanya ada banyak kenalan dan rakan bersuka ria selepas waktu pejabat. Dia tiada rakan istimewa. Sewaktu belajar dahulu, dia lebih serius menumpukan perhatian kepada pelajaran daripada terhegeh-hegeh mencari cinta. Kini baru dia tahu kesilapan tersebut telah memakan dirinya sedikit demi sedikit. Tidak salah berkawan rapat asalkan tahu di mana batasannya.

“Kenapa senyap aje malam  ni?”

Jeslina agak tersentak apabila mendengar teguran Ryan. Dia sudah jauh mengelamun sehingga melupakan  rancangannya malam itu.

“Aku sedang fikirkan tentang masa depan aku sebagai seorang wanita.” Jeslina memulakan perbualan yang diharap dapat membuka peluang untuk meluahkan perasaan.

“Lain macam aje?” Ryan senyum sinis. “Sejak bila kau ambil kisah? Selama ni kau hanya fikirkan bisnes semata-mata.”

Kata-kata sinis Ryan menampar perasaan Jeslina. Walaupun terpukul dengan sindiran itu, dia akui memang selama ini dia jarang memikirkan masa depan sendiri. Yang penting baginya ialah wang, cita-cita dan kedudukan. Dia tidak pernah merancang hidupnya ke arah yang satu lagi – iaitu kehidupan berkeluarga.
“Aku kena juga fikirkan hal ni...lambat-laun. Umur pun dah semakin dewasa.” Jeslina tidak mahu menggunakan perkataan ‘tua’. Baginya perkataan itu membawa maksud sesuatu yang keterlaluan. “Aku rasa sudah tiba masanya untuk fikir tentang perkara lain.”

“Contohnya?” Ryan masih tidak dapat menangkap maksud kata-kata Jeslina.

“Sebagai lelaki mungkin kau tak kisah. Tapi aku, walaupun orang kata aku berfikiran terbuka, moden...aku masih perlu memikirkan tentang masa depan aku. Sebagai seorang perempuan, kalau aku tak cari jodoh cepat-cepat, nanti orang kata andalusia pula.”

Meledak ketawa Ryan mendengar kata-kata Jeslina yang dianggapnya lucu. Selama dia mengenali Jeslina, dia tidak pernah terfikir yang suatu hari nanti Jeslina akan berkahwin! Di fikirannya, dia hanya gambarkan Jeslina seperti dirinya – seperti sebelum dia mengenali Nurjia Amani. Dahulu dia hanya pentingkan cita-cita sahaja. Perkara lain ditolak ke tepi dengan begitu sahaja.

“Usah ketawakan aku Ryan. Kau juga seperti aku dulu. Hanya memburu cita-cita tanpa memikirkan apa-apa. Tapi semenjak kau jumpa Gia, pendirian kau berubah. Sama juga seperti aku. Dulu aku tahu fikirkan tentang matlamat mahu mencapai kedudukan tertinggi sebelum umur aku 30 tahun. Sekarang aku dah dapat apa yang aku azamkan. Tibalah masanya bagi aku mencari dan menumpukan perhatian kepada perkara lain. Selepas aku jumpa kau kembali, keutamaan aku berubah.”

Nah! Jeslina sudah berjaya meluahkan perasaannya walau sebaris cuma. Dia harap Ryan dapat menangkap maksud yang disampaikan.

Wajah Ryan berubah serius mendengar bait terakhir ujaran Jeslina. Dia tidak menduga sama sekali Jeslina akan berkata begitu. “Keutamaan kau berubah kerana aku?” Ryan bertanya dengan hati-hati. Ah! Dia tidak mahu lagi terperangkap dengan jerat yang sudah acap kali dilemparkan kepadanya.

“Ya.” Jeslina memberanikan diri membuat pengakuan. Peluang yang dinantikan selama ini akan digunakan dengan sepenuhnya bagi meluahkan perasaan yang selama ini kemas terpendam jauh di lubuk hati.

“Kita dah kenal sejak kecil, Ryan. Dalam hidup aku selama ini belum pernah ada lelaki lain yang boleh rapat dengan hati aku melainkan kau seorang. Hanya kau seorang sahaja lelaki yang benar-benar mengenali aku...selain ayah aku.” Jeslina menarik nafas panjang sebelum menyambung kata-katanya, “masa kita kecil dulu aku pernah cakap yang aku tak akan kahwin dengan kau. Tapi itu kata-kata zaman kanak-kanak yang begitu naif. Sekarang kita dah dewasa. Sebenarnya masa aku dapat tahu kau kahwin dengan Gia dulu, aku agak kecewa. Sebab itu aku tak balik, malah aku sambung kontrak kerja. Aku buat keputusan untuk pulang pun selepas dapat tahu kau dah berpisah.”

Jeslina menoleh ke arah Ryan. Dia lihat wajah lelaki itu serius, seperti sedang memikirkan setiap bait kata-katanya. “Aku bukan nak menangguk di air yang keruh, Ryan. Aku tak pernah mendoakan rumah tangga kau hancur. Selepas aku dapat tahu kau dah kahwin, aku terus padam nama kau daripada cita-cita aku yang seterusnya. Kini kau sudah kembali bujang, tak salah kalau aku kutip balik harapan dan cita-cita yang pernah aku kuburkan dulu.”

Ryan mengetap gigi. Dia rasa serba salah terhadap Jeslina, malah terhadap mana-mana gadis yang pernah mempersembahkan kalimah cinta kepadanya sebelum dan selepas dia bertemu Nurjia. Dia tiada niat hendak menghampakan harapan sesiapa. Sebelum dia menikahi Nurjia, dia memang utamakan cita-cita. Selepas dia kehilangan Nurjia, dia sudah tidak mahu bercinta, melainkan dengan wanita bernama Nurjia Amani. Hatinya benar-benar sudah tertutup rapat untuk orang lain.

“Aku pun tak ada niat nak kecewakan perasaan kau, Jes. Tapi aku benar-benar minta maaf kerana tak mampu nak tunaikan harapan kau.”

Jeslina terasa kepalanya dihempap sesuatu yang berat. Selama ini dia hanya menyaksikan ramai gadis kehampaan dalam cinta. Kini nasib yang sama menimpa dirinya. Sukarnya menerima perasaan ini!
“Cinta kau  masih milik Gia, kan?” Jeslina menahan kekecewaan yang mahu terhambur.

Ryan tidak menjawab. Tidak perlulah dia hendak mendengar kata-kata Jeslina mengenai perasaannya yang melodramatik itu.

Jeslina memejamkan matanya seketika. Walaupun sudah jelas lagi nyata Ryan menolak dirinya, dia tidak akan berundur lagi. Tidak selagi dia belum mencuba sehingga ke titisan kudrat yang terakhir. “Sampai bila kau nak menunggu kasih Gia, Ryan? Gia sudah pergi jauh daripada hidup kau. Lepaskan dia dan jangan nafikan hak orang lain untuk menikmati cinta kau.”

Ryan mengetap gigi. Kulit di atas rahang wajahnya menjadi tegang. “Aku berharap sangat yang aku mampu melakukannya. Tapi tak boleh, Jes. Aku boleh kahwin dengan kau. Tapi hati dan jiwa aku hanya untuk dia seorang. Aku dah kena sumpah, Jes. Cinta aku terhadap Gia telah membekukan perasaan cinta aku terhadap orang lain.”

“Tapi kau masih boleh mencuba.” Jeslina nampak ada sedikit cahaya yang menyinari di hujung jalan yang gelap. “Sewaktu kau kahwin dengan Gia dulu, kau juga tak mencintainya. Tapi lama-kelamaan semangat cinta tu berjaya bercambah di hati kau. Perkara tu tak mustahil boleh berlaku kepada kita.”

Ryan mengusap pelipis kepalanya yang terasa berdenyut-denyut. Berat sungguh permintaan Jeslina. Bagaimana dia harus memahamkan wanita itu yang dia tidak akan menerima sesiapa selepas Nurjia? Sekurang-kurangnya buat masa ini hatinya memang benar-benar telah tertutup untuk bercinta mahupun berkeluarga lagi.

Kereta yang dipandu oleh Ryan bergerak masuk ke perkarangan hotel. Sebelum keluar, Ryan menegaskan pendiriannya sekali lagi.

“Lupakan aku, Jes. Tak ada gunanya kau tunggu lagi. Hati aku dah mati.” Lantas Ryan membuka pintu kereta dan menyerahkan kunci kepada valet.

RYAN termenung memandang surat peletakan jawatan yang baru ditinggalkan oleh Jeslina di atas mejanya pagi itu. Memang Jeslina seorang wanita yang tegas pendirian. Kata-katanya sewaktu dia menghantar wanita itu pulang selepas majlis tersebut masih segar di ingatan Ryan. Jeslina telah mengugut yang dia akan pergi sekiranya Ryan tidak membalas cintanya.

“Aku akan pergi, Ryan...kali ni pergi selama-lamanya!”

“Kau nak lupakan kerjaya dan masa depan kau semata-mata kerana aku menolak cinta kau? Usah berperangai kebudak-budakan, Jes.”

“Dah tak ada apa-apa untuk aku di sini lagi. Kalau aku tak pergi, hati aku akan terseksa Ryan, setiap kali memandang kau. Aku tak cukup kuat untuk menghadapinya.”

Ryan menarik nafas dalam-dalam. Kata-kata Jeslina masih terngiang-ngiang di fikirannya. Dia amat faham perasaan yang dirasakan oleh Jeslina tika itu kerana itulah perasaan yang sama yang dia rasa terhadap Nurjia. Malangnya dia tidak boleh berbuat apa-apa bagi meredakan gejolak perasaan Jeslina yang parah kecewa. Hatinya sendiri masih luka berdarah tidak dirawat, mana mungkin dia merawat hati orang lain.
Dia berasa kesal dengan tindakan Jeslina yang terlalu mengikut perasaan. Dia juga kesal dengan sikapnya yang pernah menurut perasaan suatu ketika dahulu.

October 20, 2012

Tolong Pikat Hatinya @ Kisah Ryan - Episod 1



“HEY, hot shot!”

Ryan tersentak daripada lamunan. Lekas-lekas dia membetulkan posisi duduknya. Ryan menegakkan badannya dan terus pura-pura sibuk menatap skrin rata komputer di atas mejanya.

Jeslina tersenyum sinis. Jarang dia melihat Ryan termenung begitu panjang dan jauh sehingga tidak sedar yang ada orang lain sudah masuk ke bilik pejabatnya. Entah apa yang bermain di fikirannya ketika itu.

“Tahniah. Saham kita naik lagi lima puluh sen hari ni.” Jeslina duduk di hadapan meja Ryan. “Apa rancangan seterusnya?”

Ryan memandang Jeslina, pegawai muda itu baru setahun lebih dilantik menyandang jawatan Pengurus Pembangunan Perniagaan di Millenium Properties. Sementelah, Jeslina turut memegang lima peratus saham dalam syarikat itu. Jeslina ialah antara orang kepercayaan Tan Sri Mukriz. Pengerusi Millenium Group itu sendiri yang mempelawa Jeslina menyertai anak syarikat mereka. Tambahan pula Jeslina ialah anak kepada rakan lama Tan Sri Mukriz.

“Itu tugas kau seterusnya. Bukankah kau dilantik untuk tujuan tu?” Ryan mematikan suis komputer. Hari sudah petang. Dia sudah tiada perasaan untuk berlama-lama di pejabat itu. Seharian dia cuba menahan perasaan, menetapkan hati supaya masuk ke pejabat dan membuat kerja seperti biasa. Tetapi nampaknya, usaha itu hanya setakat pukul enam petang.

“Dah nak balik?” Jeslina terkejut melihat Ryan yang sedang bersiap-siap seperti hendak pulang. Selalunya Ryan akan meninggalkan bilik pejabatnya hampir lewat tengah malam.

“Cukuplah untuk hari ni. Esok kita dah nak berangkat.” Ryan mencapai briefcase miliknya yang telah dimuatkan dengan beberapa dokumen penting.

Jeslina tersenyum. Sungguhpun Ryan cuba menyembunyikan kegusaran fikirannya, dia dapat mengesan ada sesuatu yang tidak kena pada lelaki itu. Mereka telah berkawan lama, semenjak sekolah rendah lagi. Keakraban mereka terputus apabila Jeslina melanjutkan pelajaran di luar negara dan bekerja di sana beberapa tahun sebelum mengambil keputusan pulang ke tanah air.

“Jumpa esok, Ryan. Jangan biarkan bayang-bayang lama terus mengejar kau.”

Langkah Ryan terhenti seketika. Dia mengetap gigi. Kulit wajahnya tegang. Tanpa mempedulikan sindiran Jeslina, Ryan meneruskan langkah.

Jeslina tersenyum kemenangan. Dengan Ryan dia memang selalu inginkan kemenangan. Sejak kecil dia memang selalu berlumba apa-apa sahaja dengan Ryan; baik kedudukan dalam kelas sehingga ke acara sukan di padang. Jeslina sentiasa mahu menang. Adil ataupun tidak, itu perkara nombor dua.

Jeslina memandang kalendar pada organizer miliknya. 28 hari bulan. Dia tersenyum sinis. Patutlah Ryan nampak murung dan tidak bersemangat hari ini. Rupa-rupanya dia masih terkenang akan tarikh perkahwinannya dahulu. Kelakarnya, ejek Jeslina. Dia tidak faham kenapa Ryan begitu  setia dengan bekas isterinya. Seolah-olah di hatinya sudah tiada ruang lagi untuk orang lain hadir.

Namun Jeslina tidak akan membiarkan keadaan itu berterusan. Jika orang lain boleh mengalah dan kalah, dia tidak akan gagal. Jeslina tidak pernah gagal, tidak sesekali. Dia akan buktikan yang dia berupaya menundukkan hati sekeras kerikil itu.

LAPANGAN Terbang Heathrow tidak pernah sunyi daripada kunjungan pengguna perkhidmatan udara yang dikatakan pengangkutan paling selamat di dunia. Ryan baru sahaja tiba di situ bersama Jeslina. Selepas mengambil bagasi, Jeslina meminta Ryan menantinya seketika. Dia perlu ke bilik air untuk menyolekkan wajah. Tandas di dalam pesawat baginya terlalu sempit untuk digunakan.

Sementara menanti Jeslina, Ryan sempat membeli surat khabar The London Post. Sambil berdiri menongkat siku di atas troli bagasi, Ryan menatap lembaran akhbar itu. Halaman pertama yang diselaknya, tentulah halaman perniagaan. Lagipun dia ke kota besar itu atas urusan perniagaan.

Tumpuan Ryan terganggu apabila dia terdengar seseorang melaungkan satu nama yang suatu ketika dahulu begitu akrab dalam hidupnya. Ryan tercari-cari suara itu di celah-celah kehingaran lapangan terbang antarabangsa itu. Surat khabar di tangan diletakkan di atas bagasi. Suara itu bergema lagi. Kali ini semakin jelas kerana dia sudah mula menumpukan sepenuh perhatian mencari puncanya.

“Gia! Saya di sini!”

Ryan dapat mengesan pemilik suara itu. Dia lihat seorang gadis berkulit cerah yang baru melangkah masuk keluar dari balai ketibaan sedang melambai-lambai ke satu arah. Walaupun nama ‘Gia’ itu bukan milik abadi seorang insan, Ryan tetap mahu mencari siapakah pemilik nama itu. Nama ‘Gia’ memang sudah berhantu dalam jiwanya. Dia memang tidak boleh melupakan nama itu selama-lamanya.

Degup jantung Ryan bergerak dua kali lebih pantas tatkala terpandang seorang wanita berambut ikal panjang mendekati gadis berkulit cerah itu. Mereka berdakapan seketika sambil bertanyakan khabar. Walaupun wanita itu membelakanginya, Ryan yakin dia tidak salah pandang. Langkah kakinya diatur semakin deras menghampiri kedua-dua wanita itu.

Dengan yakin, dia menegur.

“Gia?”

Kedua-dua orang gadis itu menoleh. Wajah kedua-duanya nampak hairan. Ryan terpegun memandang wanita bernama ‘Gia’ itu. Wajahnya memang seiras dengan Nurjia miliknya. Cuma yang berbeza ialah kaca mata berbingkai hitam ala 60-an dan skarf panjang yang diikat di kepala.

“Yes, sir? Can we help you?” ‘Nurjia’ bersuara. Loghatnya pekat orang tempatan.

Ryan jadi ragu-ragu seketika. Benarkah ini Nurjia Amani? Kenapa wanita ini langsung tidak menunjukkan apa-apa reaksi terhadapnya.

“I’m sorry. I thought you were someone else. Someone that I once knew.” Ryan agak hampa kerana telahannya meleset.

“That’s okay.” Gadis berkulit cerah itu tersenyum.

“Ayuh, Gia. Nggak sabar aku mahu pulang dan cubit-cubit sama anak kamu. Tentu dia sudah semakin gede, ya.” Rakan wanita yang menyerupai Gia itu bersuara; mengajak mereka lekas beransur dari sisi lelaki asing itu.

Kedua-dua wanita itu berlalu pergi sambil menyorong troli bagasi tanpa sedikit pun menoleh ke arah Ryan. Ryan mengeluh hampa. Jelas sekali wanita itu bukan Nurjia. Ryan memandang kedua-dua orang wanita itu sehinggalah mereka hilang di celah-celah ribuan manusia yang berada di terminal antarabangsa itu. Hatinya dilambung kecewa.



Ini versi mentah yang belum diedit. Versi cetak sudah pasti berbeza. Enjoy :D

October 19, 2012

Fragmen kesinambungan kisah Ryan

Berita baik untuk pembaca Kerana Dia Cinta (2007).

Kesinambungan kisah hidup Ryan sudah pun berada di tangan editor. Jika tiada aral melintang, novel ini akan menemui anda penghujung 2012 nanti.

Fragmen novel ini akan disiarkan dalam bentuk e-novel dalam waktu yang terdekat ini. Tunggu ya :D



May 02, 2012

Manuskrip Vampira

Tajuk kecil sengaja dipadam atas alasan RAHSIA. Hahahah....
Vampira sudah siap ditulis. Sedang dalam proses suntingan kedua. Selepas PBAKL saya akan menyerahkannya kepada editor. Sama-sama kita tunggu berita baik. Moga-moga pihak penerbit sudi menerbitkan kisah ini.

April 15, 2012

Bab 3-1: Dan Mimpi Pun Bersatu


Perlahan-lahan Anne menghirup air koko yang baru dihulurkan kepadanya oleh Tengku Farid sebentar tadi. Selepas mengambil minumannya, Tengku Farid beredar untuk menyertai rakan-rakan Anne yang masih tertanya-tanya siapakah Tengku Iskandar di samping Anne. Anne tahu rakan-rakannya tentu hairan kerana sebelum ini dia tidak pernah menceritakan perihal Tengku Iskandar kepada sesiapa. Bagi diri Anne, Tengku Iskandar hanyalah mimpi indahnya sewaktu dia masih di bangku sekolah. Kewujudan Tengku Iskandar baginya hanya satu legenda yang menyakitkan.

Tengku Iskandar merenung wajah Anne yang telah banyak berubah selari dengan kedewasaannya. Anne bukan lagi gadis nakal yang pernah dikenalinya dahulu. Bagi Tengku Iskandar, gadis yang berada di hadapannya itu ialah seorang gadis bersemangat waja yang perlu direbut cintanya semula.

Hampir lima tahun yang lalu, Tengku Iskandar telah kehilangan cinta Anne yang  begitu sukar diperoleh. Kini sekali lagi dia beradu nasib untuk merebut cinta itu. Untuk mencapai cita-citanya, Tengku Iskandar cuba sedaya upaya untuk menjejak Anne. Akhirnya di puncak gunung itu dia berjaya bertemu dengan cinta pertama dan terakhirnya.

Kali ini dia tidak akan kehilangan Anne lagi walau apa jua risikonya. Dia rela membelakangkan protokol istana hanya kerana Anne. Demi Anne Zulaikha yang amat dikasihinya, Tengku Iskandar rela dihukum ayahanda dan bondanya.

Banyak soalan yang perlu ditanyakan kepada Anne. Namun lidahnya seperti dipaku. Kehilangan Anne selama ini membuatkan dia takut untuk berkata-kata. Dia takut kata-katanya nanti bakal melukakan hati kekasihnya itu. Mungkin kerana dia tidak pandai menyusun kata dahulu, Anne telah berkecil hati dengannya dan lantas menghilangkan diri. Namun dia perlukan jawapan dan kepastian daripada Anne. Dan yang lebih utama, dia mahu tahu adakah Anne masih menyayanginya seperti dahulu.

“Anne, saya nak tahu kenapa awak tak mahu jawab panggilan-panggilan saya atau balas surat-surat saya selama ini. Awak terus menghilangkan diri selepas saya ke Cambridge dulu. Kenapa Anne?” Begitu tenang Tengku Iskandar menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Kalau boleh dia tidak mahu menyinggung perasaan Anne lagi.

Anne tidak terus menjawab. Soalan Tengku Iskandar itu memang telah dijangka dan Anne tahu suatu hari nanti dia harus menjawabnya. Oleh itu dia sudah bersedia dengan jawapan. Telah lama dia membuat keputusan tersebut. Jadi hari ini dia akan meluahkannya.

“Saya lakukan itu semua adalah untuk kebaikan kita. Kalau tidak pun untuk diri saya sendiri,” Anne menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung lagi, “Awak Tengku Mahkota yang bakal menjadi sultan  suatu hari nanti. Saya cuma orang biasa yang tak ada pangkat atau berdarah ‘kuning’. Tak mungkin kita boleh bersama. Awak tahu dan saya juga tahu. Semua orang tahu yang perhubungan kita tidak akan berjaya dan direstui-“

“Hentikan Anne!” Tengku Iskandar memintas kata-kata Anne. Nada suaranya keras. Dia nampaknya tidak bersetuju dengan kata-kata itu. “Jangan jadikan pangkat dan darjat sebagai alasan. Itu semua sudah basi. Sekarang ni zaman dah moden. Pangkat dan darjat sudah tidak penting lagi bagi saya, Anne. Monarki juga tidak akan bertahan lama. Saya tidak pedulikan itu semua. Apa yang penting sekarang ialah kita,”

“Mudah untuk awak berkata-kata, Iskandar. Tapi awak harus ingat yang awak terikat dengan protokol istana. Awak tak boleh buat sesuka hati awak saja. Nanti awak akan dituduh menderhaka kepada Sultan dan Permaisuri,” Anne cuba menguji pendirian Tengku Iskandar. Dia mahu tahu adakah lelaki itu faham tentang apa yang dicakapkannya sebentar tadi. Atau Tengku Iskandar hanya mahu menyedapkan hatinya sahaja.

“Anne, jangan nak bertekak dengan saya fasal protokol istana. Saya dah jelak dengar itu semua. Apa yang saya pentingkan sekarang ialah hidup saya sebagai manusia bukan sebagai putera mahkota mana-mana kerajaan.” Tengku Iskandar merenung wajah Anne. “Sekarang beritahu saya adakah awak masih mencintai saya seperti dulu?”

Serba salah Anne dibuatnya. Sebentar tadi dia begitu pasti dengan keputusannya ingin menolak cinta Tengku Iskandar. Tapi kini pendiriannya kembali goyah. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya sekarang. Jika dia menerima kembali cinta itu bermakna dia akan kecewa lagi sekiranya cinta itu menemui kegagalan. Tetapi seandainya dia menolak, Anne tidak pasti dia boleh mencintai mana-mana lelaki lain selain Tengku Iskandar.

“Saya tak tahu, Iskandar. Tak tahu!” Anne menyembunyikan wajahnya di atas kedua-dua belah tangannya yang diletakkan di atas lututnya. “Saya keliru dan saya takut,” Anne mengangkat kepalanya dan meletakkan dagunya pula di atas tangan. “Saya takut seandainya saya kehilangan awak sekali lagi. Saya dah tak mampu untuk kecewa buat kali kedua. Jadi sebelum perkara buruk itu berlaku-“

“Tidak!” Bantah Tengku Iskandar. “Perkara itu tidak akan berlaku sekali lagi. Saya janji. Maka sebab itu saya mahu awak jadi isteri saya. Kita nikah sebaik saja tiba di Tanah Rata nanti!”

Bulat mata Anne merenung wajah Tengku Iskandar yang serius itu. “Awak dah gila ke Iskandar?” marah Anne. Dia sendiri pun tidak mengerti kenapa suaranya meninggi begitu. Apa yang pasti dia memang terkejut mendengar lamaran itu.

Tiba-tiba Tengku Iskandar ketawa. “Saya tak gila, Anne. Kalau saya gila...tak mungkin saya mahu jadikan awak isteri saya,” Tengku Iskandar tersenyum memandang wajah Anne yang masih terkejut.

*****

BELI novel ini.
Semenanjung : RM 21.00 / Ahli KN : RM 17.00
Sabah Dan Sarawak : RM 24.00 / Ahli KN : RM 20.00