Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

July 13, 2013

Srikandi vs Arjuna Bab 4

“ABANG tak patut buat Ena macam ni!”

“Tindakan awak tu hanya pentingkan diri sendiri. Awak tak pedulikan
anak-anak!”

“Selama ni Ena dah banyak berkorban untuk abang. Hidup Ena sengsara. Ena selalu dipaksa melakukan perkara yang Ena tak suka!”

“Kenapa dulu awak tak cakap apa-apa? Kenapa setuju sahaja bila ayah awak kahwinkan awak dengan abang?”

Suara orang bertengkar menguasai seluruh rumah besar itu. Dia menggosok-gosok pelupuk matanya dengan belakang tangan. Selimut ditolak ke tepi. Perlahan-lahan dia menghampiri pintu. Apabila pintu di kuak sedikit, suara ayah dan ibunya jelas kedengaran. Dia terus memasang telinga dengan seribu kekeliruan.

“...Ena dah bagi abang anak. Apa lagi yang abang mahu? Tak puas lagi?”

 “Jangan jadi macam binatang. Lepas beranak, tinggalkan anak. Awak tak kasihan pada Han dan Lynn?”

“Ena lebih kasihankan diri Ena ni. Cepat! Sign surat ni! Ena dah tak tahan hidup dengan abang lagi!”

“Abang tak akan benarkan awak ikut jantan tu!”

“Abang tak ada hak nak larang Ena. Ena tetap nak kahwin dengan dia. Lagipun kami dah pernah bersama!”
“Isteri derhaka! Aaargh!!!”

Dia segera berlari mendapatkan ayahnya yang sedang memegang dadanya menahan sakit.

“Ayah!” Dia tahu sakit ayah datang lagi. “Ibu...ayah sakit. Tolong ambil ubat,” rayunya sambil mata bulatnya memandang ibu yang berdiri di kepala tangga. Ada beg besar di kaki ibu.

“Biar dia mampus. Senang aku ambil semua harta-harta dalam rumah ni!”

Dia tidak percaya dengan kata-kata ibu. Sewaktu ibu mengangkat beg, dia lari meninggalkan ayah yang sedang berpaut pada kekisi tangga.

“Ibu...ibu nak pergi mana? Ayah sakit!” Dia memeluk kaki ibu sekuat-kuat hatinya.
“Han, tepi! Ibu dah tak mahu Han dan adik lagi!”

Dia terduduk dek ditolak oleh ibu. Dia menangis sambil merangkak mendapatkan ayah yang masih kesakitan.

“Ayah....” Tangisnya hiba. “Ibu nak pergi...” Dia teresak-esak. “Nanti Han dengan adik tak ada ibu....”
“Biarkan dia pergi....” Ayah mengetap gigi. “Perempuan curang!”

Dalam keadaan yang tidak berdaya, ayah berusaha mencapai sebiji pasu bunga kecil yang terletak di atas meja hiasan yang berdekatan. Pasu bunga kecil itu dibaling ke arah ibu yang baru menuruni tangga untuk ke ruang bawah. Pasu bunga itu hinggap di belakang tubuh ibu. Ibu menjerit lalu jatuh berguling dari atas tangga. Dia berlari pula mendapatkan ibu. Langkahnya terhenti di kepala tangga. Dia lihat ibu kaku terbaring berlumuran darah di bawah sana.

“Ayah....” Sebaik sahaja dia menoleh ke arah ayahnya, dia lihat ayah juga sudah terbaring tidak bergerak.

ZAIHAN menekup wajahnya dengan kedua-dua belah tangan. Nafasnya ditarik dalam-dalam; memenuhkan rongga paru-parunya dengan udara segar di kawasan yang terletak di tanah tinggi itu. Dari tempat dia berdiri, dia dapat lihat pemandangan kota yang berbalam-balam di celah-celah pokok-pokok hutan simpan. Sudah seminggu dia mengurungkan diri di rumah. Banyak perkara yang difikirkannya. Banyak kekesalan yang timbul berganti dengan keinsafan. Betapa selama ini dia sudah jauh terpesong dengan pemahamannya yang sempit.

Dia terlalu obsesi dengan kisah lalu hingga membutakan fikirannya daripada realiti. Akibatnya, seorang gadis tidak berdosa yang menjadi mangsa kebutaannya. Adakah kerana pertumpahan darah telah menutup pintu hatinya, maka pertumpahan darah juga yang berjaya membuka semua hatinya yang kaku beku itu?

Selama ini dia menganggap apa yang dilakukannya adalah betul. Malah dia rasa berhak melakukannya. Dia seperti mendapat mandat menghukum semua perempuan yang ada di muka bumi itu. Akibat terlalu mengikutkan nafsu amarah yang tidak bertepi, nyaris satu nyawa hampir terkorban.

 Masih belum terlambat untuk mengubah keadaan, bisik hatinya memujuk. Ya, masih belum terlambat untuknya mengubah sikap. Sebagai langkah pertama, dia perlu memohon maaf kepada gadis itu.

SUDAH tiga hari Ridd terlantar di katil wad ICU. Selama itulah dia tidak sedarkan diri. Keadaannya yang agak kritikal kerana banyak kehilangan darah sewaktu mula-mula dia dimasukkan ke situ sudah stabil. Menurut kata doktor hari ini Ridd akan dipindahkan ke wad biasa. Keadaannya sudah bertambah baik cuma dia masih belum sedarkan diri.

Ramai yang menanti dan berharap supaya Ridd segera sedar. Masing-masing ingin tahu apakah sebenarnya yang terjadi pada hari itu. Zaihan langsung tidak memberikan apa-apa komen. Dan sekarang dia telah menghilangkan diri. Tiada siapa tahu di mana dia berada.

Deja berjalan ke hulu ke hilir di luar bilik Ridd. Elliot sedang enak mengunyah donat. Manakala Sheba pula sedang sibuk bermain permainan komputer.

“Apa sebenarnya yang berlaku, hah?” Sudah sejuta kali Deja mengutarakan persoalan yang sama tanpa rasa letih. “Entah-entah Si BHK tu tolak Ridd kot?” Spekulasi Deja menarik perhatian mereka. Masing-masing berhenti daripada melakukan aktiviti peribadi.

“Woi! Tak baik main tuduh-tuduh.” Elliot bersuara. Mulutnya masih penuh dengan donat. Sampai kembung kedua-dua belah pipinya.

 “Habis apa lagi?” Deja terhenyak di antara Sheba dengan Elliot. Berkerut dahinya memikirkan hal itu.

Dia masih ingat lagi akan hal itu. Mereka semua terkejut mendengar laungan meminta bantuan daripada Zaihan. Dan yang paling memeranjatkan ialah melihat Zaihan memangku Ridd yang berlumuran darah di dalam jurang berbatu tersebut. Waktu itu dia menyangka yang Ridd diserang oleh harimau dan gadis itu tidak ada harapan untuk hidup apabila melihatkan darah yang banyak keluar. Pucat juga muka Deja melihatnya. Semasa dalam perjalanan menuju ke hospital, Zaihan langsung tidak bercakap. Bila ditanya, Zaihan hanya membisu. Wajahnya yang dahulu sentiasa serius itu kelihatan suram dan diselubungi kekesalan. Walaupun Deja tidak tahu apa yang telah berlaku, dia dapat mengagak ada sesuatu yang telah berlaku antara mereka sebelum kemalangan itu.

Pintu bilik Ridd terbuka. Ketiga-tiga orang gadis itu melompat bangun. Ibu bapa Ridd, Kapten Abdul Halim dan Puan Atasha muncul di balik pintu dengan wajah ceria.

 “Rida sudah sedar. Dia mahu jumpa kamu semua,” beritahu Puan Atasha dengan senyuman yang masih terlekat di bibirnya.

Tiga sekawan itu bagaikan mahu menjerit, tetapi terpaksa ditahan. Maklumlah depan orang tua. Nanti dikata anak dara tidak bersopan pula. Ketiga-tiga mereka menyerbu masuk macam anggota SWAT. Deja dengan persoalannya, Elliot mengendong donatnya dan Sheba mengepit laptop.

“Selamat pagi, Sleeping Beauty!” Elliot menghempaskan dirinya di atas katil, di hujung kaki Ridd. Bergegar katil seketika. Tambahan pula Deja dan Sheba turut menyempit sama.

“Woi! Runtuhlah katil aku.” Suara Ridd lemah sahaja namun dia nampak normal dan sihat pada pandangan mereka.

“We all ingat engkau dah tak nak bangun lagi,” seloroh Sheba.

Ridd sekadar tersengih. Betapa rindunya mereka dengan sengihan cute itu.

“Aku tak akan tinggalkan korang tanpa wasiatlah.” Ridd membalas gurauan Sheba.

“So...apa sebenarnya?” Wajah Deja serius.

Ridd memandang wajah setiap rakannya. Nampaknya semua dengan menanti jawapannya. Memang sudah diduga. “Aku jatuh.” Ringkas sahaja jawapan Ridd. Ketiga-tiga mereka bertukar pandang.

“Alah...lupakan sahajalah.” Elliot bersuara memecahkan ketegangan yang sudah mahu terbina. “Engkau nak donat?” Dia menyuakan donat yang bersalut coklat itu ke muka Ridd.

“Eyaaakkkk! Aku mana boleh makan benda-benda macam tu lagi.” Ridd menolak tangan Elliot.
“Entah hapa-hapalah engko ni.” Sheba menggeleng kepala.

“Woi! Meh kita nyanyikan lagu untuk Ridd.” Deja memberikan cadangan.

“Tak mahu!” Pantas Ridd menutup telinga. Namun suara katak, guruh dan ribut itu tetap juga berkumandang mencucuk lubang telinganya.

Yes! Dia sudah kembali. Alhamdulillah. Tuhan masih memberikannya peluang melihat dunia lagi. Ridd sudah hampir sembuh 100 peratus. Dia telah kembali menghadiri kelas yang telah lama ditinggalkan dan juga menyambung misi yang terbengkalai gara-gara kecuaiannya membaca gerak-geri musuh.

SEMENJAK keluar dari hospital, Ridd masih belum bersua muka dengan Zaihan. Malah bayang-bayangnya juga tidak kelihatan. Mana dia pergi? Ada perhitungan terakhir yang belum sudah. Ridd ada janji yang belum dimeterai.

“Hei, si BHK tu masih dingin beku lagi ke?” soal Ridd pada satu petang sewaktu dia dan rakan-rakannya sedang lepak di Dataran Siswa.

 “Entah.” Elliot mengangkat bahu. “Aku dah lama tak nampak dia.”

Berkerut dahi Ridd memikirkan kata-kata itu. Zaihan menghilangkan diri? Kenapa? Agaknya dia tidak mahu jumpa aku sebab aku tahu rahsia dia? Menurut kata Hafeez, dia seorang pendendam. Dia berdendam
dengan aku agaknya. Entah-entah dia sudah pindah ‘U’? Eh! Mana boleh senang-senang pindah ‘U’. Ingat sekolah ke?

“Hello, sis!” Keempat-empat mereka mengangkat kepala serentak. Seorang pelajar junior berkaca mata bingkai tebal dan memegang tiga kuntum mawar merah berdiri terketar-ketar di hadapan mereka.

“Apa engkau nak?” Sheba memulakan aksi brutalnya. Makin kecut si nerd itu nampaknya.

“Er...ya...yan...”

“Apa ya...yan...cakap pun tak betul!” Tiba-tiba Elliot menyergah. Suka dia melihat pelajar junior itu pucat lesi.

“Cuba cakap baik-baik. Kenapa? Apa hal datang sini?” Garangnya bunyi suara Elliot. Budak nerd itu menelan air liur.

“Yang mana satu sister Zarida? Ini ada hadiah untuk dia.”

Deja menuding ke arah Ridd yang duduk di sebelah kirinya. Lantas bunga bertukar tangan.

“Brother senior tu bagi.” Pelajar itu menunjuk ke satu arah sebelum lintang-pukang cabut lari. Dengan tiga kuntum tangkai mawar tergenggam erat, Ridd memandang ke arah yang ditunjukkan tadi. Hah?

Seorang pelajar lelaki berkemeja merun dan berjeans hitam sedang menuju ke arah mereka. Degupan jantung Ridd bak seiring paluan rebana. Ish...macam Joe Black aje. Itulah tanggapan pertama yang muncul sebaik sahaja pemuda kacak itu berdiri di hadapannya.

“Selamat pulang, Zarida.” Dia tersenyum.

Fuh! Bisa tercabut jantung melihatnya. Patutlah senyuman dia mahal. Rupa-rupanya takut ada yang mati keras, sempat hati Ridd membuat komen.

“Boleh aku bercakap dengan engkau sebentar?” pintanya tanpa mempedulikan rakan-rakan Ridd yang sedang menjadi penonton bisu.

“Er...aku laparlah.” Elliot melompat turun dari benteng batu. “Siapa nak ikut?”

“Aku!” Deja segera beredar mengekori Elliot.

“Aku...aku ada date dengan computer lab.” Sheba juga berlalu pergi; meninggalkan Ridd dan Zaihan di situ.

Ridd termangu, hampir panik. Hampeh punya kawan. Ditinggalkannya aku sorang-sorang kat sini dengan si BHK ni!

Perlahan-lahan Ridd turun dari benteng rendah yang memisahkannya dengan air pancuran tujuh tingkat itu. Dia rasa tidak selesa pula duduk begitu di hadapan Zaihan. Eh, sejak bila pula?

“Apa yang engkau nak cakapkan?” Ridd memberi amaran kepada dirinya supaya berjaga-jaga. Zaihan tidak pernah bersikap begini baik kepadanya. Dan mungkin dia ada muslihat. Hendak balas dendamlah ni. Dia perlu sentiasa bersedia.

“Aku dah fikirkan masak-masak mengenai apa yang engkau cakapkan hari tu.” Zaihan memulakan bicara. “Mungkin apa yang engkau kata tu betul. Maafkan aku kerana menyusahkan engkau.”

Ridd tidak berupaya mengawal ekspresi wajahnya daripada mempamerkan rasa terkejut. Dahinya berkerut memikirkan satu perkataan yang baru disebut oleh Zaihan.

“Mungkin aku betul? Apa maksud engkau dengan ‘mungkin’?” Dia inginkan penjelasan. Ada keraguan pula di jiwa lelaki ini untuk menerima kebenaran. Ingatkan misi sudah selesai.

“Mungkin.” Zaihan mengulangi perkataan itu. Dia menghela nafas panjang. “Aku perlu berhati-hati setiap kali menerima kehadiran perempuan dalam hidup aku. Aku mahu pastikan mereka bukan perempuan yang salah.” Penjelasan itu membuatkan Ridd tercengang.

 “Hipokrit!” Entah bagaimana perkataan itu terkeluar dari bibirnya tanpa disedari. Rupa-rupanya pemuda ini masih lagi mempunyai perasaan prejudis di dalam jiwanya.

“Aku tak mahu membuat kesilapan yang sama, Zarida. Jangan salah sangka,” bidas Zaihan. Dia nyata mahu membela dirinya. Luka lama yang telah bernanah amat sukar diubati. Dan akan mengambil masa yang lama. Sementara menunggu lukanya pulih sepenuhnya, dia tidak mahu ada luka lain yang menambah bebannya.

 “Baguslah macam tu.” Ridd mencapai beg sandangnya. “By the way, engkau tak perlu minta maaf. No hard feelings. Aku yang jatuh sendiri.” Dia berpaling untuk beredar. Beberapa tapak, langkahnya terhenti. Ridd menoleh ke arah Zaihan.

“Thanks for the roses. Cuba-cubalah menerima realiti sebenar kehidupan. Kalau tak cuba, bagaimana mahu teruskan hidup.” Ridd terus menyusun langkah menuju ke biliknya. Elliot, Deja dan Sheba rupa-rupanya telah menanti di sana. Alasan yang diberikan tadi hanyalah alasan palsu. Ceh!

Zaihan memerhatikan Ridd sehingga dia hilang daripada pandangan. “Aku akan mulakannya dengan engkau, sebagai permulaan. Biar engkau rasa pula bagaimana hati engkau disentuh  oleh lelaki, Zarida!” Zaihan tersenyum puas. Sekarang dia mahu melihat sejauh mana kejujuran Zarida terhadapnya. Jika dia tiada muslihat, maknanya dia seorang yang jujur mahu membantunya dan bukan kerana balas dendam. Lagipun dia juga ada misinya yang tersendiri iaitu menumbangkan perasaan gadis yang selama ini dikenali sebagai SDBC--Si Dingin Beku yang Comel!



No comments:

Post a Comment