Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

November 23, 2011

Bab 1-3: Dan Mimpi Pun Bersatu



Anne berjalan ke hulu ke hilir. Hatinya resah tidak menentu. Fikirannya kusut seketika. Baru sebentar tadi Tengku Iskandar menelefonnya. Pemuda itu ingin bertemu dengannya. Katanya hal penting. Suara Tengku Iskandar berbunyi cemas. Anne terus dijangkiti perasaan bimbang. Entah-entah Permaisuri sudah tahu tentang hubungan mereka.

Takut Anne memikirkannya. Jika benar, dia tidak tahu bagaimana harus dia hidup tanpa Tengku Iskandar. Bunyi hon kereta di hadapan rumah mengejutkan Anne daripada lamunannya. Tengku Iskandar sudah tiba. Anne yang masih berseragam sekolah segera berlari turun ke bawah. Tanpa pengetahuan mama atau abang, Anne menyelinap keluar. Kereta Mercedez hitam bercermin gelap telah menantinya di hadapan pagar rumah.
Sebaik saja pintu dibuka, Anne terus masuk dan kereta itu bergerak meninggalkan kawasan perumahan tersebut.

“Apa yang cemas sangat ni, Iskandar?” Anne memandang ke arah Tengku Iskandar.

Tengku Iskandar tidak segera menjawab. Dia menggenggam erat jari jemari Anne. Wajahnya nampak sugul.

 “Iskandar, kenapa ni?” Anne semakin bimbang. Kebisuan Tengku Iskandar merisaukannya.

“Anne....” Akhirnya Tengku Iskandar bersuara juga setelah dia berjaya membuat Anne gundah gulana.
“...selepas ni kita tak boleh bertemu lagi. Maksud saya...berjumpa selalu begini.”

Anne terasa degup jantungnya terhenti seketika. Mukanya pucat tidak berdarah. Perkara yang paling ditakutinya telah berlaku. Amaran Rita dan Malini yang tidak dipedulikan dahulu sudah menjadi realiti. Perhubungannya dengan Tengku Iskandar tidak akan ke mana-mana. Bak kata pepatah dulu-dulu enggang dan pipit tidak akan terbang seiring.

“Ini semua bukan kehendak saya. Saya pun tak tahu apa-apa. Cuma yang saya tahu, petang ni saya akan berangkat ke England untuk sambung pelajaran di sana. Tapi itu tidak bermakna saya tidak mahu jumpa awak lagi, Anne. Hanya jarak dan masa yang memisahkan kita. Tapi hati saya tetap dekat dengan awak. Please Anne, trust me!”

Tengku Iskandar mengemaskan lagi genggaman tangannya. Dia bimbang melihat Anne seperti kehilangan punca. Anne kelihatan keliru.

“Berapa lama awak di sana?” Mampu juga Anne bersuara akhirnya. Namun dia tunduk memandang skirtnya. Air mata yang ingin mengalir segera ditahan.

 “Lima tahun,” Agak payah Tengku Iskandar hendak meluahkannya. “Tapi saya akan selalu pulang bila ada peluang. Saya harap awak akan tunggu kepulangan saya.”

Bermacam janji yang ditabur oleh Tengku Iskandar. Namun Anne seolah-olah pasrah mendengarnya. Segala yang diharapkannya sudah hancur berkecai. Kebahagiaan yang dinantikannya telah lenyap begitu saja. Kali ini Anne mengaku kalah. Tengku Iskandar bukan miliknya lagi dan perkara itu tidak akan mungkin terjadi. Tidak kini, tidak selamanya.

Pada akhir pertemuan, Tengku Iskandar menghadiahkan seutas rantai emas. Ada nama yang tertulis di atasnya: Anne Iskandar. Bagi Anne itu bukan hadiah daripada Tengku Iskandar. Sebaliknya rantai dan kalung itu merupakan tanda selamat tinggal.

Anne pasrah menghadapi takdir yang terentang di hadapannya. Dia harus belajar melupakan Tengku Iskandar untuk selama-lamanya. Mustahil bagi orang kebanyakan sepertinya ingin bergandingan dengan putera mahkota yang bakal menjadi sultan kelak. Air dengan minyak tidak akan bersatu. Bumi dan langit tidak akan bertemu.

No comments:

Post a Comment