Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

November 16, 2011

Bab 1-2: Dan Mimpi Pun Bersatu


Rita terjun dari tebing dan berlari ke arah Anne yang sedang menyarung harness ke pinggangnya untuk acara mendaki sebentar lagi. “Anne, engkau tahu tak...budak yang kita serang malam tu, kerabat dirajalah!” ujar Rita yang tercungap-cungap menahan lelah.

“Peduli apa aku. Kerabat dirajalah yang telah menyusahkan Tun Fatimah dan Dang Anum. Lagilah seronok aku balas dendam,” Anne mengemaskan tali keselamatan yang meliliti pinggangnya.

Rita hanya menggeleng kepala melihat keangkuhan Anne. “Tengku tu tengah siasat siapa engkau. Hati-hatilah sikit,” pesan Rita.

Anne hanya tersengih sebelum mula mendaki sebaik saja menerima isyarat daripada Komander Omar. Anne akan memastikan bahawa kumpulannya akan menang dalam acara pendakian itu.

Dia mendaki dengan penuh hati-hati. Anne menggunakan seluruh kepakarannya untuk mengimbangi badannya. Dan sekali gus mencengkam batu-batu yang akan membantunya naik ke puncak. Tubuh badannya yang kecil memudahkan dia untuk meninggalkan peserta-peserta lain jauh di belakang.

Sewaktu dia tiba di puncak, dia terkejut melihat Tengku Iskandar menantinya. Tanpa mempedulikan pemuda berseragam tentera itu, Anne terus menuju ke arah urus setia yang menanti.

“Tahniah. Awak menang lagi.” Tengku Iskandar menghulurkan tangannya.

Tetapi Anne hanya buat tak tahu. Dia menanggalkan harness yang baru digunakannya tadi. Tengku Iskandar tersenyum sinis. Nampaknya Anne bukanlah semudah yang disangka.

“Anne!” Dari jauh kelihatan Hakim melambai. Anne membalas lambaian abangnya itu. Tanpa menghiraukan Tengku Iskandar, Anne menuju ke arah Hakim.

“Tak berjaya nampak,” tegur Tengku Farid ketika dia berpapasan dengan Tengku Iskandar sebentar kemudian. “Sudahlah tu, Iskandar. Dah dekat seminggu kita cuba. Tapi dia buat tak tahu saja,”

Tengku Iskandar tersenyum sinis.  “Kalau engkau nak mengalah, mengalahlah engkau sorang-sorang. Aku tetap nak dapatkan dia.” Tengku Iskandar menyimpul azam.

Tengku Farid merenung wajah sepupunya yang serius itu. “Engkau sungguh-sungguh ke ni?” Sangkanya Tengku Iskandar hanya main-main sewaktu dia mencabar dulu. Tapi nampaknya tengku mahkota itu serius rupanya.

“Engkau perlu ingat status engkau. Engkau tak boleh buat sesuka hati. Kita ada protokol yang mengikat kelakuan kita.” Tengku Farid mengingatkan Tengku Iskandar.

“Aku tak peduli dengan itu semua. Dan engkau jangan cuba nak halang aku.” Tengku Iskandar terus menghilang di sebalik tabir khemahnya.

“Tengku Farid, nampak Tengku  Iskandar tak? Saya dah berjaya dapatkan alamat dan nombor telefon budak tu. E-mel pun ada.”

Tengku Farid memandang Khairil dan kemudian memandang khemah Tengku Iskandar. Dia menggeleng kepala. Nahaslah engkau kalau bonda permaisuri tahu, fikir Tengku Farid lalu mengambil kertas yang dibawa oleh Khairil.

“Nah!” Tengku Farid melemparkan kertas itu ke muka Tengku Iskandar. “Aku dah bagi amaran pada engkau. Tapi engkau tak mahu dengar. Risikonya engkau tanggung sendiri.”

Tengku Iskandar tersenyum puas melihat isi kandungan kertas itu. Sekarang Anne Zulaikha tidak boleh bersembunyi daripadanya lagi.

***

“Anne!”  Malini dan Rita menghampiri Anne yang sedang enak mengisi tembolok dengan pelbagai jenis hidangan laut. Sewaktu rakan-rakannya tiba, dia sedang khusyuk meratah udang galah.

“Anne, makanlah sopan sikit. Gelojoh sangatlah engkau ni,” tegur Malini. Perangai Anne macam budak kecil. Comot sana comot sini.

“Tengku handsome tu sejak tadi lagi asyik pandang arah engkau. Sopanlah sikit.” Rita pula yang membebel.

Anne memandang Rita silih berganti. Sudah bengkak telinganya mendengar bebelan mereka sejak seminggu yang lalu. Sikit-sikit tengku. Tengku tu tengoklah, tengku tu pandanglah. Asyik tengku, tengku, tengku. Pening kepalanya. Sana sini orang asyik bercerita tentang tengku itu. Naik bosan dia mendengarnya.

“Ya Allah...adik aku ni. Mengapa comot sangat?” Hakim mencapai sehelai tisu dan mula membersihkan wajah dan tangan Anne yang comot dengan sisa makanan. “Macam budak kecik. Anne kan dah besar. Dah enam belas tahun pun perangai macam enam tahun.” Kali ini giliran abang pula yang membebel. Bosan Anne dibuatnya.

Hakim mengeluh melihat sikap adiknya yang tiba-tiba buat perangai nakalnya. Tentu ada sesuatu yang membuatkan adiknya bersikap sedemikian. Dan Hakim tahu apa penyebabnya. Lantas dia memandang ke arah budak-budak Maktab Tentera. Kelihatan Tengku Iskandar sedang memandang ke arah mereka. Betullah tekaannya. Anne buat perangai sebab tak mahu menjadi perhatian kerabat diraja itu.
Tetapi malangnya Anne tidak berjaya menghalang apa yang berlaku. Hakim menggeleng sekali lagi mengenangkan perkara itu. Nampaknya Tun Fatimah sudah bertemu dengan lawannya. Bolehlah Luke Skywalker menghilangkan diri.

***

Perkhemahan selama sepuluh hari yang disertai oleh dua puluh buah sekolah di sekitar ibu kota akhirnya tamat juga. Orang yang paling lega sekali ialah Anne. Kalau dahulu dia beria-ia hendak ke situ, kini dialah orang yang pertama meninggalkan tempat itu.

Dia sudah tidak larat hendak mendengar cerita-cerita tentang tengku itu lagi. Dia sudah bosan dengan tingkah laku tengku yang perasan bagus itu. Mentang-mentanglah dia ada kedudukan dan pangkat, senang saja hendak mempermainkan orang biasa. Anne betul-betul meluat dengan sikap orang berdarah raja seperti itu.

Anne juga meluat melihat telatah pelajar-pelajar perempuan yang terhegeh-hegeh hendak memikat tengku yang tidak tahu untung itu. Tergedik-gedik. Tak tahu malu. Huh!

Anne berpaling. Dia terlanggar sesuatu yang besar di hadapannya. Dengan pantas Anne mendongak memandang orang yang dilanggarnya. Tengku Iskandar tersenyum memandang Anne.

“Tepilah! Saya nak lalu!” jerkah Anne dengan garang. Kedua-dua belah tangannya sudah perit memegang beg pakaiannya yang berat.

“Mari saya tolong.” Tanpa diminta Tengku Iskandar mengambil sebuah beg sukan Puma dari tangan Anne. Anne ingin membantah tetapi segera dipintasi oleh Tengku Iskandar.

“Bas sekolah awak yang warna silver tu kan? Yang ada tulis Sekolah Menengah Sri Intan Emas. Hmm...kaya sekolah awak ya. Sudahlah ada intan. Lepas tu ada emas lagi.”

Hampir meledak tawa Anne mendengarnya. Namun Anne cuba menahan rasa lucu. Pandai juga tengku ni melawak. “Terima kasih,” ucap Anne. Suaranya sengaja dikeraskan.

Tengku Iskandar selesai memasukkan kedua-dua buah beg Anne di tempat letak barang. Kalaulah mama tahu Anne telah berjaya membuli putera mahkota mengangkat begnya, tentu mama akan terkejut, fikir Anne dengan seronok.

Tengku Iskandar memandang Anne yang pura-pura sibuk memandang ke sana ke mari. Entah apalah yang dicarinya. Ketika itu hanya mereka berdua sahaja yang berada di kawasan letak kenderaan. Peserta-peserta yang lain masih berada di dewan makan. Anne yang begitu bersungguh-sungguh hendak pulang langsung tidak singgah ke dewan. Tengku Iskandar telah melihatnya meninggalkan kawasan perkhemahan lantas mengekori jejaknya.

Tengku Iskandar bersandar senang pada badan bas. Dia suka melihat telatah Anne yang bagaikan tidak tentu arah itu. Pasti dia sedang mencari rakan-rakannya atau abangnya.

“Awak tunggu siapa pula ni?” soal Anne apabila dia lihat Tengku Iskandar masih di situ.

 “Saya tunggu awak,” jawab Tengku Iskandar dengan selamba.

Terkejut badak Anne mendengarnya. Dahinya berkerut memandang pemuda kacak berseragam Maktab Tentera berwarna biru gelap itu.

Belum sempat Tengku Iskandar atau Anne bersuara, Khairil datang mengganggu.

“Tengku, kereta dah sampai,” beritahu Khairil. “Bonda Tengku sudah menanti.”

Tengku Iskandar mengeluh geram. Ada saja yang menghalang. Dia lantas mengeluarkan sekeping kad dari saku seluarnya dan dihulurkan kepada gadis berskirt dan berblazer kelabu gelap itu.

“Call saya. Kalau tak saya akan call awak.” Kad bertukar tangan. Tengku Iskandar tersenyum lagi sebelum beredar.

Anne memandang pemergian Tengku Iskandar tanpa sebarang perasaan dan kemudian memandang kad berwarna hitam di tangannya. Dia meneliti tulisan emas yang tertera:

TENGKU ISKANDAR SYAH TENGKU FIRMANSHAH AL-MUTTAQI
G5.5, Kolej Perwira
Royal Military College
Kem Sungai Waja
012-2234045
putera_ken@istana.gov.dh

Anak raja ni main-main agaknya. Anne angkat bahu sebelum menyelitkan kad itu ke dalam saku blazernya. Tak ada masa aku nak layan. Bukannya betul sangat, getus Anne lalu masuk ke dalam perut bas berhawa dingin yang masih kosong. Tun Fatimah tidak akan sesekali terpedaya dengan umpan keturunan diraja lagi. Sejarah lama tidak akan berulang. Anne akan pastikannya.

No comments:

Post a Comment