Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

July 06, 2013

Srikandi vs Arjuna Bab 2

KENAPA engkau layan dia macam tu?” Berkerut dahi Hafeez memikirkan kerelevanan sikap Zaihan terhadap Ridd sebentar tadi. Tidak ada sebab mengapa Zaihan harus meninggikan suaranya di khalayak ramai tadi. Lagipun gadis itu langsung tidak melakukan apa-apa kesalahan terhadapnya.

            “Ah! Aku malas nak layan perempuan macam tu. Bukan boleh bagi muka sikit. Mesti nak ambil kesempatan. Pandai-pandai dialah uruskan proposal tu!”

Wajah Zaihan serius. Entah kenapa hatinya terbakar apabila mengingatkan yang dia akan dibantu oleh pelajar perempuan untuk menjayakan kejuaraan tahunan tekwando universiti mereka. Selama ini tidak pernah pun dia menerima pembantu perempuan setiap kali menjalankan tugas-tugas kelab mahupun tugasan di kelas. Dia sendiri yang telah menetapkan standardnya begitu. Namun Fakarudin, Presiden Kelab Tekwando WTC Universiti Wilayah Barat enggan mengambil kira kriteria yang telah digariskannya itu.

            “Engkau tak boleh buat macam ni, Han.” Hafeez cuba menasihati. “Dia assistant engkau. Sepatutnya kamu berdua bekerjasama. Bukan buat hal masing-masing dan kerja sorang-sorang.” Zaihan mengeluh bosan; tidak berpuas hati lantaran Hafeez begitu menentang ‘pantang larangnya’.

            Dia mengalihkan pandangan ke tingkat bawah kafeteria, ke arah budak-budak perempuan itu. “Engkau tengok tu. Perangai tak serupa perempuan. Cara duduk pun tak senonoh. Dressing style jangan cakaplah. Macam kutu tepi jalan!” Kutukan yang terakhir itu khas ditujukan buat Sheba yang, seperti biasa, memakai jaket kulit hitamnya yang selalu dipakai oleh mat-mat motor lumba.

            “Eh! Tak baik engkau kata dia macam tu. Mereka tu semua Okey. Kalau Sheba tahu engkau kutuk dia, alamat berbalut muka engkau.” Hafeez membantah apabila dia tahu siapa yang Zaihan maksudkan.
            Zaihan ketawa mengejek. “Dia mampu buat apa pada aku? Perempuan macam tu nak lawan black belt satu dun macam aku ni? Forget it!” Begitu angkuh Zaihan berkata-kata. Dia terus angkat kaki meninggalkan laluan jambatan yang menghubungkan kafeteria dengan bilik kuliah.

            Hafeez hanya mampu menggeleng kepala. Dia kesal dengan sikap ego dan sombong rakannya itu. Hafeez sudah faham benar dengan sikap Zaihan. Sudah hampir empat tahun mereka kenal. Zaihan memang sukar didekati oleh perempuan dan dia tidak beri sesiapa pun peluang mendekati dirinya dengan mudah. Hanya mereka yang terpilih dan mengerti sahaja boleh tahan dengan sikapnya. Pelajar-pelajar perempuan menggelarnya Buaya Handsome Karat--BHK walaupun Zaihan tidak pernah tunduk pada mana-mana wanita. Dan ramai yang kecewa dengan sikap acuh tak acuh, keras kepala dan panas barannya.


            LANGKAH Elliot terhenti. “Apa fasal engkau duduk di luar ni?” Dia terkejut melihat Deja duduk tersandar di atas lantai di sebelah biliknya sambil memeluk kepala lutut.

“Tak boleh masuk. Si Mortal Kombat tu tengah mengamuk.” Deja memegang kedua-dua belah kepalanya. Hendak ambil buku pun tak dapat. Nyaris lagi kepalanya tidak benjol kena baling kasut dokmat kepunyaannya. Itu baru dinamakan kasut makan tuan.

            “BHK punya angkara?”

Deja mengangguk.

“Teruk betul lelaki tu. Kalau dah benci perempuan, janganlah buat sampai macam ni,” kutuk Elliot tidak puas hati. Jari-jemarinya dikepal padu seolah-olah mahu melayangkannya ke wajah kacak Zaihan.

            “Si BHK tu sakit otak. Mental disorder. Hairan aku...macam mana dia dapat masuk UWB. Aku tak dapat bayangkan macam mana aksi dia duduk dalam court nanti depan hakim perempuan.”

“Entah dia qualified lepas chambering, entahkan tidak. Orang panas baran macam dia tu, bertambah bahaya kalau dah ada black belt satu dun.” Elliot turut sama menggeleng kepala.

Disebabkan sikap lelaki itu yang anti perempuan, Ridd tertekan. Disebabkan itu juga Deja yang jadi mangsa tidak dapat masuk ke dalam biliknya sendiri. Nasib!

            SEPANJANG minggu itu Elliot, Deja dan Sheba tidak boleh mendekati Ridd. Hinggakan Deja terpaksa merempat di bilik Elliot. Terpaksa pinjam semua barang-barang Elliot sebab tidak dapat masuk ke biliknya. Mereka semua terpaksa beralah dan tinggalkan Ridd sendirian. Ridd perlukan masa untuk berfikir tentang tindakan kurang matangnya itu. Ridd pun tidak kurang panas barannya. Cuma dia hanya tunjukkan sikap buruknya di hadapan teman-teman rapatnya sahaja. Di hadapan orang lain, dia akan berlagak ‘ayu’.

            “Aku rasa si Ridd dengan si BHK tu sepadan. Ibarat beliung bertemu ruyung.”

Elliot dan Deja yang sedang mengunyah jagung dalam cawan tersedak-sedak mendengar perumpamaan yang diberikan oleh Sheba. Sejak bila minah ni minat sastera?

“Sebabnya dua-dua panas baran. Bayangkan kalau kedua-duanya terperangkap di pulau terpencil. Apa akan jadi yek?”

Deja dan Elliot tidak mahu memikirkannya. Sudah pasti seperti rabuk dengan api. Terlalu ngeri. Mesti seluruh mergastua dan unggas di pulau itu akan berhijrah kerana tidak tahan mendengar mereka bertegang urat leher.

BELUM sempat Ridd hendak duduk, dia terpandang mesej yang tertera di papan kenyataan bilik kelab TKDC. Mesej daripada Zaihan.

Zarida, pergi stor sukan sekarang! Bilang mat dan bawa keluar semua safety guard dalam kotak-kotak tu! A.S.A.P!”

“Ak en na....” Ridd menjerit bengang. Bagai terdengar-dengar suara lantang Zaihan memekik di telinganya memberikan arahan tersebut. Belum pun sempat menaip kertas kerja, yang sepatutnya ditaip oleh setiausaha, dia sudah diarahkan membuat tugas lain. Dengan hati yang panas, Ridd menuju ke arah stor sukan yang terletak di bilik bawah tanah Sport Centre. Sewaktu dia tiba, penjaga bangunan bertugas sedang membaiki tombol pintu.

“Kamu nak masuk?” tanya Pak Hamdan.

Ridd cuma mengangguk.

“Masuklah. Tapi jangan tutup pintu ni. Terkunci pula nanti. Tombol pintu ni dah rosak. Pakcik nak ke stor barang, ambil yang baharu.”

Ridd masuk ke bilik simpanan alat-alat sukan itu setelah Pak Hamdan beredar. Sebelum itu dia sempat meletakkan batu bata bagi menahan pintu daripada tertutup. Dengan bosan, Ridd mula mengira berapa kotak mat yang tersimpan di situ. Sepatutnya tugasan tersebut dilakukan oleh Technical Committee. Tetapi entah apa pula malang yang menimpa, tugas itu jatuh ke atas bahunya. Seperti kata Elliot, BHK memang menyusahkan.

“Tak siap lagi?”

Ridd tidak perlu menoleh melihat siapakah yang berdiri di tengah-tengah ambang pintu stor sambil bercekak pinggang ala Mak Dara itu.

“Banyak sangat kerjanya. Yang buat cuma aku sorang aje.” Sinis bunyi suara Ridd.

Bunyi tapak kasut Zaihan menghampirinya. Sebentar kemudian dia terdengar lelaki itu mengangkat keluar kotak yang berisi safety guard.

“Tunjuk rajinlah tu. Pirah mabuk!” rungut Ridd perlahan. Dia kembali menumpukan perhatian mengira mat.

            “Batu apa ni? Sikit lagi aku tak jatuh!”

Serentak dengan kata-kata itu, bunyi batu bergeser dengan simen diikuti oleh dentuman pintu kedengaran.

“Woi!” Ridd menjerit. Dia pantas berpaling ke belakang; berhadapan dengan Zaihan dengan wajah merah padam menahan marah.

            “Kenapa dengan engkau ni? Gila?” Marah Zaihan sambil merenung Ridd yang sudah berdiri menghadapnya.

“Pintu tu dah rosak. Yang engkau alih batu tu tak tanya dulu, kenapa?” Ridd menghampiri pintu dan memulas cembulnya berkali-kali. Sangkut. “Kan dah terkunci kat dalam ni!” Ridd menendang pintu dengan marah. “Damn you!”

            “Sikit-sikit nak menjerit. Lepas tu panik. Kemudian pengsan. Lembik betul perempuan ni!” Zaihan melepaskan kotak kedua yang dipegangnya.

Ridd pantas menoleh ke arah Zaihan.

“Apa engkau cakap?” Lembik? Pengsan? Panik? Tolong sikit ya! Tak semua perempuan macam tu, Okey.” Suara Ridd keras, membalas tuduhan berat sebelah Zaihan.

            “Memang lembik. Tak payah dinafikan.”

Ejekan Zaihan menyengat telinga Ridd. Hatinya yang memang panas bertambah panas. Ditambah pula dengan keadaan bilik yang tidak bertingkap itu. Udara di dalamnya berkuap. Sudahlah baunya hapak dan di sana-sini debu hinggap di mana-mana. Situasi itu menambahkan lagi kepanasan hatinya.

            “Engkau ni kan....” Ridd mengetap gigi, cuba mengawal marahnya yang meluap-luap.

Zaihan tersenyum sinis. “Kalau dah perempuan tu, perempuan juga. Jangan berangan nak berlagak macam lelaki.”

            “Engkau....”

            Tanpa fikir dua kali, Ridd terus mengayunkan turning kick ke arah Zaihan. Zaihan yang terkejut dengan tindakan tidak diduga itu, secara automatik terus mengelak.

            “Dah gila?” Marahnya.

            “Engkau yang gila. Bencikan perempuan tak tentu fasal. Mak engkau bukan perempuan?” Ridd memang marah waktu itu. Dia sudah tidak peduli dengan apa yang dikatakannya.

            “Kurang ajar!” Nampaknya kata-kata Ridd itu seperti menyiram minyak pada bara api. Zaihan terus membalas serangan Ridd dengan double turning kick. Tendangannya hinggap ke daun pintu. Beberapa sentimeter sahaja daripada kepala Ridd. Maka berlaku perlawanan antara kedua-dua fighter UWB itu.

            Dengan kelebihan kekuatan tenaga dan fizikal yang nyata melebihi Ridd, Zaihan sebenarnya tidak menghadapi masalah hendak mematahkan serangan lawannya. Ditambah pula dengan anugerah tali pinggang hitam satu dun yang dimilikinya jelas mendahului Ridd yang hanya bertali pinggang biru. Dari segi pengalaman, dia lebih banyak terdedah dengan perlawanan di dalam gelanggang. Dia berupaya meramal langkah lawan dengan mudah. Baginya lawan seperti Ridd hanya bagaikan melawan seekor troll.

            Ridd tercampak ke atas mat selepas menerima tendangan sisi yang mengenai bahunya. Dia cuba bangun melawan. Namun kesakitan pada bahu kirinya amat pedih. Ditambah pula dengan tenaga yang semakin kurang. Sudahlah dia penat mengalihkan mat, terpaksa pula bertarung tenaga dengan buaya karat itu.
            Zaihan berdiri di hadapan Ridd yang masih terbaring mengiring di atas mat yang berhabuk sambil memegang bahu kirinya. “Kan aku dah kata. Kalau dah lembik tu, lembiklah. Jangan idam nak cabar orang lelaki macam aku ni.” Begitu angkuh sekali kenyataan itu di utarakan.

            Ridd mengetap gigi menahan sakit di bahu dan menahan sakit di hati. Tanpa mempedulikan Zaihan, dia bangun perlahan-lahan sambil memegang bahunya yang rasa macam sudah terpisah tulang-temulangnya daripada rangka. Agaknya glenohumeral jointnya sudah tersalah letak. Lelaki kejam! Sanggup berkasar dengan perempuan. Tak gentleman langsung! Ridd mencemuh di dalam hati. Siaplah engkau BHK. Walaupun engkau menang peraduan fizikal, aku akan tundukkan engkau dalam pertandingan hati dan perasaan. Nanti engkau akan tahu bagaimana rasanya bila hati engkau disentuh oleh belaian perempuan dan bagaimana jiwa engkau terseksa akibat dikecewakan oleh perempuan yang sama!

            Sambil menahan kesakitan, Ridd mengatur rancangan balas dendam. Dia akan pastikan Zaihan menerima pembalasan yang sepatutnya.


No comments:

Post a Comment