Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

July 19, 2013

Bab 3-2: Dan Mimpi Pun Bersatu






“ENGKAU dah gila, Iskandar? Nanti mati kena bunuh dengan ayahanda?” herdik Tengku Farid apabila mengetahui tentang perkara itu. Ketika itu semua pendaki telah tidur dan hari sudah larut malam.
“Orang gila tak akan berbuat begitu, Farid. Lagipun aku dah tak peduli lagi. Apa yang penting bagi aku ialah Anne. Aku tak mahu kehilangan dia lagi.”
“Tapi Iskandar...engkau harus fikir tentang tanggungjawab engkau sebagai putera mahkota. Engkau tak boleh abaikan tugas engkau....”
 “Aku tak abaikan tugas aku dengan menikahi Anne. Aku tetap akan jadi Sultan dan jalankan tanggungjawab aku. Cuma siapa permaisuri aku... itu hak aku untuk menentukannya. Kalau mereka tak mahu terima... then go to hell!”
Tengku Farid menggeleng kepala. Sikap degil Tengku Iskandar masih tidak berubah. Apa yang dia mahu, itu yang dia buat. Malah kepulangannya juga dibuat tanpa pengetahuan istana. Jika musuh tahu dia berada di situ tanpa kawalan rapi, habislah tamat Dinasti al-Muttaqi.  Tapi Tengku Farid sebagai pengiring dan pengawal peribadi tengku mahkota tidak akan membenarkan sesiapa pun mencederakan bakal pemerintah kerajaan itu kerana esok dia akan pastikan Tengku Iskandar pulang ke England sebaik saja mereka keluar dari hutan itu.

HANYA tinggal sepuluh minit sebelum bas bertolak ke ibu kota. Rakan-rakan Anne semua sudah mengambil tempat masing-masing. Hanya tinggal Badrul dan Yusuf sahaja yang masih belum naik. Mereka berdua masih berbincang dengan Anne di tepi pintu bas.
"Jangan beritahu sesiapa apa yang berlaku. Kalau ada orang tanya, katakan saja aku balik kampung. Dan tolong suruh Nida hantarkan assignment Dr Firdaus esok," pinta Anne sungguh-sungguh.
Badrul memandang Anne dengan tidak puas hati. Dia masih tidak faham tentang apa yang telah berlaku sejak tiga hari yang lalu.
"Anne, apa sebenarnya yang telah berlaku ni? Siapa Iskandar tu? Nampak macam kenal aje." Badrul mula curiga.
Wajah Iskandar terasa seperti sangat familiar. Cuma dia tidak ingat di mana dia pernah melihat wajah pemuda itu.
"Dia tu... kawan lama aku." Anne cuba membuat helah. "Macam inilah... nanti bila aku balik, aku janji akan ceritakan segala-galanya pada kamu semua. Cuma sekarang, jangan beritahu sesiapa. Ini perkara penting.”
Yusuf melepaskan keluhan berat. "Aku tahu kau suka buat perkara pelik, Anne. Tapi kali ni aku rasa inilah klimaks kepelikan tindakan kau. Walau apa pun aku harap kau selamat. Bila sampai aje di kolej nanti, contact kami cepat," pesan Yusuf sungguh-sungguh.
 Anne tersenyum  lega atas sokongan Yusuf itu. "Thanks guys! You're my best friends!"
"Hmm...yalah tu." Badrul tersenyum sinis.
"Jaga diri baik-baik," ujarnya sebelum melangkah masuk ke dalam perut bas.
Anne melambai tangan ke arah rakan-rakannya sebaik saja bas mula bergerak. Dia harap rakan-rakannya sudi bekerjasama.
"Anne."
Anne menoleh ke arah Tengku Iskandar yang tiba-tiba muncul di belakangnya.
"Mari kita pergi."
Tengku Iskandar menghulurkan tangannya. Anne tersenyum sebelum menyambut tangan lelaki itu. Kedua-dua mereka berjalan ke arah sebuah kereta yang sedang menanti.
Entah kenapa Anne rasa bimbang tiba-tiba. Degup jantungnya bertambah pantas tanpa sebab. Dia gementar tanpa alasan. Buat seketika dia tidak pasti dengan keputusannya sendiri. Keraguan mula bermaharajalela di hatinya.
"Iskandar, kita tak boleh nikah!"
            Tengku Iskandar dan Tengku Farid menoleh pantas ke arah Anne.
           "Kenapa?"
            Wajah Tengku Iskandar tampak bimbang. Anne ragu-ragu seketika sebelum menjawab.
           "Anne?"
          "Abang Hakim..."
            Anne tidak dapat meneruskan kata-katanya. Sebenarnya dia cuba untuk mencari alasan yang lebih kukuh untuk menunda pernikahan mereka. Kata-kata Tengku Farid semalam masih terpahat kukuh di mindanya. Perbuatan mereka itu boleh membahayakan keselamatan Tengku Iskandar. Anne tidak mahu apa-apa yang buruk berlaku kepada Tengku Iskandar. Oleh itu dia harus memujuk Tengku Iskandar agar segera pulang ke England dan mereka boleh bernikah setelah dia dan Tengku Iskandar tamat pengajian kelak.
"Kenapa dengan Hakim?" Tengku Iskandar tidak puas hati dengan penjelasan Anne. Anne nampak begitu ragu-ragu.
 "Saya perlukan abang Hakim sebagai wali."
Tergelak Tengku Iskandar mendengar alasan Anne itu.
"Apa susah. Kita nikah saja di US. Jumpa Hakim di sana." 
Tengku Iskandar terus mencapai telefon selularnya dan menghubungi Khairil di lapangan terbang.
"Khairil, siapkan jet. Kita ke UCLA. Jumpa Hakim!"
Anne dan Tengku Farid saling bertukar pandang. Tengku Farid hanya menggeleng kepala.
"Aku tak fikir rancangan engkau ni bijak, Iskandar. Engkau akan dapat susah nanti." Buat kali terakhir dia memberi amaran. Namun Tengku Iskandar hanya pekakkan telinga sahaja.
Anne menyandarkan kepalanya pada kusyen kereta. Dia memejamkan matanya. Bermacam-macam persoalan menerjah dinding fikirannya. Kalaulah mama tahu apa yang dilakukannya ini, tentu mama akan mengamuk. Dan kalau atuk masih hidup, tentu dia juga akan membantah. Hanya tinggal nenek sebagai tempat untuk dia mengadu nanti. Anne pasti nenek akan mengerti tentang tindakan yang diambilnya itu. Lagipun hanya nenek saja yang tahu perhubungannya dengan Tengku Iskandar selain daripada Hakim. Mama terlalu sibuk dengan tugasnya sebagai kurator muzium. Jadi dia tidak mahu mengganggu mama dengan kisahnya. Biarlah nenek pujuk mama nanti. Cuma yang Anne bimbangkan sekarang ialah reaksi abang. Semenjak Tengku Iskandar ke England, perhubungan abang dengan Tengku Iskandar tidak berapa baik.
Abanglah yang telah membakar segala surat-surat yang dikirimkan untuknya dari London. Abang jugalah yang mengangkat telefon setiap kali Tengku Iskandar ingin bercakap dengannya. Tetapi kali ini Anne berharap benar agar abang menghalang pernikahan ini daripada berlaku. Bukan dia tidak sayangkan Tengku Iskandar, tetapi dia tidak suka idea kahwin lari seperti ini.
Macamlah dia tidak ada ibu bapa dan adat. Namun Anne tahu kedegilan dan kesungguhan Tengku Iskandar yang tidak boleh dihalang itu. Walau apa pun usaha Anne dan Tengku Farid, Tengku Iskandar tidak akan berganjak daripada keputusannya. Kini hanya tinggal abang saja sebagai penentu. Seandainya abang menolak, Tengku Iskandar terpaksa akur. Itulah yang diharapkan oleh Anne.
Bagi Anne perkahwinan di usia sebegitu terlalu awal baginya. Umurnya baru dua puluh tiga tahun. Tengku Iskandar pula hanya setahun tua daripadanya. Dalam usia begini Anne tidak pasti yang, dia mampu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik. Apatah lagi sebagai isteri kepada seorang putera mahkota. Walaupun Anne telah mengenali Tengku Iskandar hampir lapan tahun, perhubungan mereka tidaklah seakrab pasangan kekasih yang lain. Percintaan mereka bermula sewaktu Anne masih di tingkatan empat. Pertemuan mereka dilakukan secara rahsia dan selalu dalam keadaan yang tergesa-gesa. Dan ketika Anne sibuk ingin menghadapi SPM, Tengku Iskandar telah terbang ke England untuk menyambung pelajaran. Perhubungan mereka terhenti setakat itu sahaja. Kini setelah hampir lima tahun, Tengku Iskandar kembali dan terus melamarnya.  Gila!
Baru Anne sedar kini. Sebenarnya dia masih belum mengenali sedalam-dalamnya keperibadian Tengku Iskandar. Begitu juga dengan Tengku Iskandar. Bagaimana kalau perkahwinan mereka nanti tidak bahagia lantaran tidak menemui sebarang kesesuaian? Sudahlah kahwin tanpa restu kedua-dua ibu bapa. Bagaimana hendak mendapat berkat? Pening kepala Anne memikirkannya. Persoalannya sekarang, adakah benar dia ingin hidup bersama dengan Tengku Iskandar, tengku mahkota pewaris tunggal kerajaan Dhiyapura yang bakal menjadi sultan?

"TAK boleh!"
"Kenapa tak boleh?" Tengku Iskandar mencengkam kedua-dua belah bahunya. Anne menggeleng kepala.
"Iskandar, saya belum tamat belajar lagi. Boleh tak kita tunda perkara ini pada tahun depan?" Anne cuba juga untuk memujuk Tengku Iskandar agar membatalkan niatnya. Walaupun dia tahu usahanya hanya sia-sia tapi dia harus mencuba.
"Saya sudah tak peduli fasal itu semua, Anne. Itu tak penting. Awak lebih penting buat masa ini!"
"Iskandar!" Anne menepis  tangan Tengku Iskandar dari bahunya.
“Awak ingat perkara ni main-main ke? Awak nak malukan keluarga awak? Nak malukan keluarga saya?" Anne menentang renungan tajam Tengku Iskandar.
 "Hal itu jangan awak risaukan. Saya akan uruskan segala-­galanya dengan baik. Tak ada sesiapa yang akan malu. Trust me!"
"Tengku, jet sudah tiba," lapor Khairil yang muncul di sebalik pintu bilik menunggu VVIP.
"Mari!"
Tengku Iskandar mencengkam pergelangan tangan Anne dan menariknya keluar dari bilik itu.  Anne hanya sempat memandang ke arah Tengku Farid yang hanya mampu menjongkit bahu.

No comments:

Post a Comment