Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

August 16, 2013

What If....Kerana Dia Cinta~Bab 2

RYAN tunduk menekur lantai. Lapang dadanya kerana segala beban yang tergalas selama ini terhambur jua. Memang dia memerlukan seseorang untuk menjadi pendengar setia. Rezmanlah rakan yang paling memahami. Lagipun pertemuan mereka selama ini memang sentiasa berkisar mengenai masalah rumah tangganya Walaupun berat sebelah, Ryan berjanji membantu Rezman sedaya upayanya jika lelaki itu ditimpa sebarang masalah. Budi dan jasa Rezman memang besar. Dia tidak akan sesekali lupa.

Rezman mengetap gigi. Roman wajahnya menjadi tegang. Matanya mencerlung memandang ke arah jalan raya yang sesak dengan kenderaan yang keluar masuk di jalan itu. Namun kemarahan yang semakin membukit itu tidak akan dihamburkan di hadapan Ryan. Ryan tidak perlu tahu mengenai hubungannya dengan Dena selama ini. Kedukaan dan kekecewaan Ryan tidak perlu ditambah dengan rahsia perhubungan mereka yang nyata tersasar daripada landasan kebenaran.

Setelah mendengar cerita Ryan dari awal hingga akhir, Rezman yakin ia semua angkara Dena. Dena memang sengaja memerangkap Ryan dengan mengambil kesempatan atas masalah rumah tangga yang dihadapi oleh lelaki itu. Selama ini Dena telah mempergunakan dirinya semata-mata mahu rapat dengan Ryan.

Rezman menghela nafas panjang. Dia perlu bertindak sebelum Ryan melakukan satu lagi kesilapan dalam hidupnya.

“Sabarlah, bro!” Rezman menepuk bahu Ryan. “Nasib kau tak akan seburuk yang kau sangka. Aku yakin sebab malang tak menimpa orang yang baik dua kali. Aku janji, bro...aku janji!”

Ryan mengangkat kepada memandang Rezman. Dia langsung tidak faham dengan kata-kata teman baiknya itu. Makna kata-kata Rezman begitu dalam.

“Aku ada hal. Aku blah dulu. Kau bertenang dulu, okay!” Rezman bangun dan terus meninggalkan perkarangan The Coffee Bean.

Ryan termangu sendirian di situ melihat Rezman yang melangkah panjang-panjang. Kenapa dengan Rezman? Kelakuannya aneh sekali. Adakah dia sudah bosan kerana asyik mendengar masalahnya?

RYAN langsung tidak ambil tahu mengenai persiapan pernikahan keduanya yang akan berlangsung beberapa hari lagi. Dia semakin menyibukkan diri dengan kerja. Ada cita-cita yang masih belum tercapai. Dia perlu memusatkan seluruh perhatiannya demi menggapai impian setinggi awan. Bukankah ini yang dimahukannya selama ini? Selama sebelum Gia hadir mengetuk pintu hatinya yang kebal itu. Ah, Gia....

Hatinya masih pedih mengingati saat dia kehilangan kasih Gia. Ryan menghela nafas seketika. Dia tidak boleh berterusan mengingati nostalgia lama. Apa yang sudah terjadi, tidak boleh diulang kembali. Hidup mesti diteruskan. Meratap kisah lalu bukanlah caranya. Dia perlu bangkit dan berdiri megah atas segala kekecewaan. Itulah cara yang betul yang harus dilakukan.

Ryan selesai membincangkan satu rancangan pengambilalihan melalui telekonferens, apabila pintu biliknya ditolak kuat. Ryan mengangkat kepada daripada menatap skrin rata komputer di mejanya.

“Masalah kau dah selesai!” Suara Rezman bergema memenuhi ruang bilik yang luas itu.

Dahi Ryan berkerut memandang ke arah Rezman. Segera dia menutup tetingkap telekonferens sebelum menumpukan perhatian kepada Rezman.

“Apa maksud kau?”

“Kau tak perlu nikah dengan Dena. Aku dah selesaikan masalah kau.” Rezman duduk di atas sofa, bersilang kaki dan mendepang kedua-dua belah tangannya. Dia nampak begitu senang hati. Wajahnya ceria dan berseri-seri.

Perlahan-lahan Ryan bangun dan menghampiri Rezman. “Kenapa pula aku tak perlu nikah dengan dia?”

“Segala-galanya dah selesai, bro. Aku dah nikah dengan Dena semalam. Kena tangkap basah!” Senyuman Rezman melebar.

Berkerut dahi Ryan. Dia terduduk di atas sofa di sisi sebelah kanan Rezman. Dadanya terasa lapang tiba-tiba. Baru terasa senang hendak bernafas. Jika tidak sebelum ini dia terasa seperti ada bongkah besar yang menyempit di dadanya.

“Bagaimana kau dengan dia boleh ditangkap basah?” Sungguhpun lega mendengar berita itu, dia tetap ingin tahu apakah yang sudah berlaku.

Bro...sebenarnya apa yang berlaku antara kau dengan Dena semuanya set up. Dena yang rancang perkara ni sejak awal lagi. Sejak dia dapat tahu yang kau dan Gia ada masalah. Dia dah kenakan kita semua. Terutama aku yang kena jadi pak sanggup ditendang bagaikan bola semata-mata kerana dia mahukan kau.”

“Bagaimana kau tahu semua ni?”

“Aku paksa Dena beritahu segala-galanya.”  Semalam dia telah memaksa Dena menceritakan semua rancangan yang dijalankannya selama ini. Benar tekaannya, Dena memang sudah lama merancang perangkap itu. Dia telah menggunakan kesempatan yang ada sepenuhnya.

“Aku harap kau tak marah dengan apa yang berlaku ni.”

Lekas-lekas Ryan menggeleng kepala apabila mendengar ucapan maaf itu. “Tak...tak aku tak marah. Sebaliknya aku amat berterima kasih. Cuma...bagaimana dengan kau? Kenapa kau sanggup buat macam ni?”

“Ini cara aku mengajar orang yang mengkhianati aku dan kawan baik aku. Tahulah aku bagaimana hendak mengajar dia menjadi isteri yang baik. Lagipun dulu memang benar aku tergila-gilakan dia. Tapi sejak aku tahu perkara sebenar, niat aku berubah. Aku akan ajar dia cukup-cukup!”

“Kau nak dera dia?” Agak takut Ryan mendengar nada suara Rezman yang bagaikan menyimpul dendam kesumat. Sungguhpun dia gembira kerana terselamat daripada menikahi ‘kesalahannya’, dia tetap tidak mahu melihat wanita itu ditimpa kecelakaan.

Rezman tersenyum lucu. “Aku bukannya jahat sampai nak mendera secara fizikal. Tahulah aku apa yang perlu aku buat. Aku yakin selepas ni dia tak berani nak derhaka lagi.”

“Jangan kau seksa diri kau sendiri sudahlah.”

“Tidak, bro. Apa yang aku buat ni, aku buat dengan hati yang gembira. Tiada rasa susah langsung. Aku pasti berseronok dengan ‘hukuman’ yang dijalankan nanti.”


Hukuman yang terencana di minda Rezman mudah. Dia hanya perlu menyuruh Dena agar taat setia kepadanya. Dena tidak dibenarkan bekerja. Dia hanya perlu duduk di rumah menjadi suri rumah yang memasak, mengemas, membasuh dan melayannya. Dena tidak dibenarkan keluar sesuka hati. Kunci kereta dan rumah dipegang oleh Rezman. Dena tidak akan memegang satu sen pun duit. Semua keperluan diri dan dapur, Rezman sediakan. Beginilah caranya dia hendak mengajar perempuan seperti Dena. Jika Dena ingkar, tahulah dia bagaimana hendak mengajarnya. 

No comments:

Post a Comment