Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

October 16, 2011

Prolog Dan Mimpi Pun Bersatu (manuskrip asal)




Di sebuah daerah bersejarah

“Ke tepi engkau wahai pengkhianat negara!” Keris berluk tujuh itu dihunus ke muka musuh. Hanya selangkah saja sebelum petualang itu terbunuh.

“Lebih baik engkau beredar sebelum engkau ku bunuh. Jangan engkau menghalang laluan ku!”

“Ha ha ha ha!” amaran keras si srikandi hanya disambut dingin oleh si pengkhianat.

“Berpantang maut sebelum ajal. Mari kita berlawan tentukan kemenangan. Hiyaaaa....!”

Keris berlaga keris, lagak seperti dua ekor ayam jantan bersabung. Kedua-duanya mahukan kemenangan. Mereka berlawan tanpa mempedulikan matahari terik di kepala dan kaki yang tidak berselipar.

“Hakim! Anne! Sudah tu. Panas...Mari sini, minum dulu!” Anne tersengih memandang muka Hakim yang berpeluh-peluh menahan serangan bertubi-tubinya tadi.

“Ha ha ha ha...abang dah kalah,” Anne tersenyum kepuasan sambil menyisipkan keris mainannya ke pinggang.

Hakim turut sama tersengih. Geli hati melihat gelagat adik kesayangannya.

Sebenarnya dia sengaja memberi kemenangan mudah kepada Anne tadi. Kalau dia tidak berbuat begitu, tentu Anne tidak akan berpuas hati dan mereka akan berlawan hingga ke malam. Sikap keperwiraan Anne kadang-kadang menakutkan Hakim. Kesungguhan adik tunggalnya itu lain daripada yang lain. Degilnya tiada tandingan.

“Kita minum dulu!” Hakim berlari mendahului Anne menuju ke arah mama dan datuk yang sedang duduk di bawah pokok ketapang yang lebat daunnya.

“Anne, mari duduk dekat atuk,” Gadis kecil berambut ikal itu akur dan duduk di pangkuan datuknya sambil mengunyah buah limau yang telah dipotong.

“Petang-petang begini sedap makan pisang goreng,” Nenek tiba sebentar kemudian sambil menatang pinggan besar penuh berisi pisang goreng yang masih panas.

Atuk membelai rambut cucunya yang panjang itu. Cucu perempuan tunggalnya itu memang lasak dan punya semangat juang yang kental. Walaupun Anne baru mencecah enam tahun, jiwanya begitu patriotik. Buku-buku cerita bercorak sejarah Melayu lama telah menjadi kegemarannya sejak dia berumur empat tahun lagi.
Anne seorang kanak-kanak yang cergas dan pintar. Atuk percaya bahawa suatu hari nanti Anne akan menjadi orang penting dan sebijak Tun Fatimah.

“Anne, bila besar nanti Anne nak jadi siapa?” Nenek tiba-tiba mengusik.

“Anne nak jadi macam Tun Fatimah!” ujar Anne penuh semangat.

“Kalau Anne jadi Tun Fatimah, Hakim pula jadi-”

 “Hakim nak jadi Luke Skywalker!” Pantas Hakim memotong cakap mamanya. Lantas dia mengeluarkan ‘light sabernya’ dan diacukan kepada Anne.

Perbuatan Hakim itu dianggap Anne sebagai cabaran. Maka dia pun menghunuskan keris mainannya. Lalu kedua-dua beradik itu pun beradu tenaga lagi. Sudah puas mama dan nenek mereka memujuk agar mereka berhenti bermain. Namun kedua-dua kanak-kanak itu berdegil tidak mahu berhenti terutama Anne.
Atuk cuma menggeleng kepala melihat telatah cucu-cucunya itu. Jauh di sudut hati, dia berbangga mempunyai cucu bersemangat seperti itu. Pandangannya jatuh ke wajah tekad Anne. Dia dapat merasakan bahawa cucu perempuannya itu akan dapat menyambung legasi yang telah lama ditinggalkan iaitu legasi keberanian Tun Fatimah.

__________________________________________________

Dengan tersiarnya entri ini, saya akan mula memaparkan ...dan Mimpi Pun Bersatu secara bersiri. Ia akan dipetik daripada manuskrip asal yang belum disunting ke versi cetak.