Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

December 07, 2011

Bab 2-1: Dan Mimpi Pun Bersatu



Keadaan  hutan pagi itu masih damai dan sunyi. Matahari masih belum terik bersinar. Udara masih dingin dan menyegarkan. Air di empangan Blue Valley tetap sejuk membeku. Teragak-agak Anne membasuh mukanya apatah lagi untuk mandi. Namun digagahkannya juga untuk memijak dasar empangan. Serta merta kakinya terasa seperti digenggam ais. Anne menjerit.

“Sejuknya!” Cepat-cepat dia melompat naik ke tebing apabila selesai membasuh muka dan memberus gigi. Subuh tadi, dia sudah menghabiskan air mineral yang dibawanya untuk berwuduk. Kini bekalannya itu sudah habis. Terpaksalah dia turun ke empangan untuk mengambil air yang dingin seperti salju itu.

Terketar-ketar Anne kembali ke kawasan khemah. Tanpa membuang masa dia terus memanaskan tangan dengan memegang periuk yang sedang bertenggek di atas stove. Terasa kurang sedikit kebas di tangannya.

Hasnizam tergelak melihat telatah Anne. “Ini belum tiba di puncak lagi engkau dah sejuk macam ni,” tegurnya.

“Sejuk di puncak lain cerita, okay,” balas Anne lalu menekup tapak tangannya yang panas ke pipi. “Minum apa pagi ni? Teh lagi ke?” tanya Anne sambil menyelongkar bekalan makanan yang mereka bawa.

“Biasalah tu. Minuman rasmi,” sampuk Yusuf yang baru keluar dari khemah.

“Bekalan teh banyak kat sini. Apa salahnya kita minum teh selalu.” Zaim pula yang menyampuk. Dia sedang menanak nasi untuk dibuat nasi goreng dan bekalan makan tengah hari.

“Pukul berapa nak jalan ni?” tanya Hasnizam.

“Pukul sembilan setengah kita angkat beg. Boleh sampai awal sikit kat 6040,” jawab Rezza selaku ketua ekspedisi mendaki gunung Yong Belar itu.

Selepas bersarapan, kumpulan sepuluh orang pelajar Universiti Wilayah Tengah itu bergerak meninggalkan empangan Blue Valley. Pendakian mereka dimulakan dengan memanjat sebanyak dua ratus empat puluh dua anak tangga. Sewaktu tiba di Triangle iaitu sempadan antara tiga buah negeri – Pahang, Kelantan dan Perak - mereka berehat seketika sebelum mula masuk ke dalam hutan yang lebih tebal.

Anne menikmati sepenuhnya pemandangan hijau alam belantara yang dirindunya. Sudah agak lama juga Anne tidak menyertai kegiatan lasak seperti itu. Maklumlah tugas sebagai pelajar tahun akhir agak berat jika hendak dibandingkan dengan masa mula-mula melangkah ke universiti tiga tahun lalu.

Kini Anne perlu memilih aktiviti luarnya agar tidak menjejaskan pelajaran. Dulu sewaktu dia di tahun pertama, gunung inilah yang menjadi gunung pertama yang didakinya. Sekarang, Anne ingin menutup tirai pendakiannya dengan mendaki gunung yang sama. Bagi Anne gunung ini banyak menyimpan kisah pahit dan manisnya. Gunung ini juga telah membuktikan yang dia masih kental dan kuat seperti dahulu. Seperti sebelum hatinya kecewa....

Anne melepaskan penat sambil bersandar pada sebuah pokok bonsai yang agak besar. Tinggal beberapa langkah saja sebelum mereka tiba di puncak setelah tiga hari mendaki. Menurut Rezza telah ada kumpulan lain yang mendahului mereka dan mendirikan khemah di puncak itu. Jadi sementara menanti rakan-rakannya selesai mendirikan khemah, dia rasa lebih baik dia menanti di situ. Lagipun angin puncak kuat dan sejuk.

“Boleh naik sekarang,” jerit Kamil dari atas.

Perlahan-lahan Anne, Tiara, Syikin dan Ainun bangun untuk mendirikan dome mereka pula. Anne terus meletakkan begnya di atas sehelai poster besar yang sengaja dibawanya. Poster plastik itu akan menghalang air daripada membasahi beg dan barang-barangnya.

Anne menarik nafas dalam-dalam sambil menikmati keindahan puncak yang diselimuti kabus. Puncak Yong Belar! Sekali lagi engkau ku jejaki, fikir Anne dengan puas. Teriakan rakan-rakannya yang gembira langsung tidak dipedulikannya. Dia masih asyik menahan laluan angin dan kabus yang menyentuh kulit wajahnya. Kepenatan sewaktu mendaki tadi beransur-ansur hilang bersama tiupan udara nyaman dan dingin.

Anne memandang penyukat suhu yang ada pada jam tangannya. Tujuh darjah Celsius! Patutlah sejuk sangat. Menggigil Anne dibuatnya. Belum sempat Anne hendak ke khemah, dia terdengar namanya dipanggil. Suara yang memanggil kedengaran seperti selalu didengarnya dahulu.

Perlahan-lahan Anne menoleh ke belakang. Anne terkejut bukan kepalang. Lidahnya langsung kelu untuk berkata-kata. Buat seketika dia hanya mampu merenung ke arah pemuda itu. Lambat-lambat barulah dia mampu bersuara.

“Iskandar?” Kedinginan yang terasa mula mencair.

No comments:

Post a Comment