Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

December 22, 2013

Srikandi vs Arjuna Bab 5



“TIGA kuntum bunga.” Elliot membilang. “Ei...tiga maknanya I love you tau!” Dub! Elliot terduduk di atas lantai akibat ditendang oleh Ridd.
“Ha! Ambil engkau!” Sheba bertepuk tangan; geli hati melihat wajah Elliot yang terkejut beruk dengan serangan tidak diduga itu.
“Sekali lagi engkau cakap Ot...aku bunuh engkau!” Ridd menyingsing lengan kemejanya sebelum dia duduk semula di hadapan meja belajar.
Elliot bangun perlahan-lahan. Sakit punggungnya akibat terhenyak kuat di atas simen tadi. Dia terlupa pula yang Ridd panas baran, pantang diusik perkara romantik begitu. “Aku main-main ajelah.” Elliot membetulkan kerusinya yang terbalik. “Itu pun engkau nak serius.”
Ridd menjeling tajam. “Engkau ingat ini perkara main-main?” Ridd kembali menghadap buku tebalnya. Aku tengah menggelabah, dia pula buat lawak senget. Mengganggu ketenteraman planet Bumi aje.
“Macam mana, Ridd? Misi engkau? Dah berjaya?” Deja yang lama jadi pendiam bersuara.
“Dah selesai!” Ridd berpusing menghadap mereka. “Sekarang boleh kita buat misi lain.” Dia mengangkat kening. Itu pasti sudah ada rancangan. Kalau tidak mana mungkin wajahnya nampak bermuslihat.
“Apa misi kali ni pulak?” Sheba segera menutup suis Apple iMac.
“Akhir-akhir ni kan...korang ada dengar cerita-cerita hangit tak?” Ridd bangun dari kerusi dan menyertai Deja dan Elliot di atas lantai yang ditutupi permaidani.
“Cerita apa?” Sheba juga turut serta.
“Hari tu aku lalu depan Dewan Simfoni.” Ridd memulakan cerita. “Aku dengar aktiviti tenet-mentenet dah mula balik kat Taman Cyber. Ligat...tiap-tiap malam.”
“Cis! Tercemar taman fakulti aku!” sumpah Sheba sambil menumbuk tapak tangannya.
“Dean tak lancarkan serangan lagi ke?”
“Tak dapat laporan...tak ada lah.” Deja tersandar pada sisi katilnya mendengar rancangan Ridd. “Engkau nak buat apa Ridd?”
Ridd tersengih. “Sebelum Dean serbu...apa kata kalau kita serbu dulu. Kita jadi Mr. Poch!”
Mereka bersorak serentak. Misi kali ini memang gila. Tetapi mereka tidak peduli. Sahaja hendak rehatkan minda selepas penah menelaah pelajaran. Aktiviti sambilan hanya akan dijalankan pada hari minggu kerana malam itu ramai yang buat maksiat.

HEBOH Desa Hang Jebat dibuatnya. Masing-masing sibuk memperkatakan mengenai kemunculan makhluk halus berwarna putih yang melompat-lompat pada tiap-tiap malam minggu di sekitar kampus. Terganggu juga segala projek yang hendak diadakan pada malam tersebut. Siapa yang berani keluar malam-malam? Kalau terjumpa dengan ‘bantal peluk’ itu, ada yang mati kejang.
The four Musketeers hanya buat selamba. Seolah-olah mereka tiada kaitan dengan kejadian terbaharu itu. Setakat ini mereka masih belum lagi menerima aduan daripada mana-mana pelajar yang mengatakan ‘benda alah’ itu ialah rekaan mereka. Jadi selamatlah reputasi mereka.
“Nasib baik ‘candy’ tu mengacau pada malam minggu aje. Kalau malam Rabu dan Sabtu dia buat hal, tak datang berlatih aku,” rungut Nasha. Jari-jemarinya pantas mengikat tali kasut. Rambutnya yang panjang mengurai, diikat tocang kuda, terbuai-buai mengikut gerak-gerinya. Dia fighter pilihan kelima UWB dalam kategori lighweight.
“Kawan aku pernah nampak benda tu berlegar-legar kat DHJ. Dia cakap, real!” Gena menambahkan lagi kehangatan cerita itu. Sebagai ketua dorm, Gena memang selalu meronda koridor asrama di bawah jagaannya. Semenjak kejadian rakan sebiliknya yang terserempak dengan ‘bantal peluk’ melompat itu, Gena sudah tidak berani meronda sendirian terutama pada malam hari.
“Ada sesiapa yang nak balik DHJ?” Terdengar suara Leni membuat pengumuman. Beberapa orang siswi pantas mengekori Leni.
“Nampaknya budak DHJ kecut perutlah fasal ‘candy’ tu,” Kedengaran suara penghuni Desa Hang Tuah memberi komen. “Kesian mereka. Itu pun nak takut.”
Ridd yang bersandar pada dinding, Deja yang duduk di atas tangga pentas, Sheba dan Elliot yang duduk di atas bangku hanya berpandangan antara satu sama lain; menyembunyikan rasa lucu dan menahan ketawa.
“Hoi korang berempat! Tak nak balik ke?” tegur Leni yang sudah bersiap sedia untuk pulang ke kolej bersama-sama sekumpulan pelajar.
“Kejap lagi kami balik.” Deja mengangkat tangan.
“Tak takut ke?” Nasha bertanya.
“Takut tu...takut juga.” Elliot berpura-pura. “Tapi apa boleh buat. Ada kerja sikit.”
Sebaik sahaja kumpulan itu keluar dari dewan, Elliot terus ketawa dan diikuti oleh yang lain.
“Woi! Kawal sikit gelak tu. Bukan kita sahaja yang masih ada kat sini.” Deja memberi amaran apabila dia ternampak ada sekumpulan lagi ahli-ahli kelab tekwando dan silat yang masih belum pulang.
“Sakit perut aku.” Sheba menekan perutnya akibat terlalu lucu.
“Jom baliklah,” ajak Deja. Tali pinggang birunya dililitkan pada leher, macam tali leher.
“Baliklah. Aku pun dah penat dan mengantuk.” Elliot menahan kuap.
“Korang baliklah dulu. Aku ada perjumpaan dengan exco tournament.” Ridd mencapai tali pinggangnya.
“Hee...tak takut dengan Mr. Poch ke?” Deja mengusik.
“Ni ha Mr. Poch! Ridd menyepak Deja. Tetapi dapat dielak. Tak mengapa. Korang baliklah.” Ridd tidak mahu menyusahkan rakan-rakannya. Memang selalunya sebaik sahaja tamat latihan, mereka akan pulang bersama-sama. Tetapi malam itu Ridd terpaksa menghadirkan diri dalam mesyuarat. Tidak mahulah dia membiarkan rakan-rakannya menanti lama. Mereka tentu akan keletihan dan kebosanan. Lagipun dia sendiri tidak pasti bila mesyuarat tersebut akan selesai.
“Kalau Mr. Poch tu datang?” Elliot berlawak. Ridd membuka mulut untuk menjawab. Namun suara lain pula yang terkeluar. 
“Tak mengapa. Saya ada. Saya akan pastikan dia selamat sampai.” Ridd pantas berpaling.
Zaihan tersenyum memandangnya.
“Kalau macam tu...kami balik dululah.” Sheba mendahului rakan-rakannya.
“Awas, Meet Joe Black!” Deja berbisik memberikan amaran.
Ridd hanya tersenyum muslihat memandang rakan-rakannya meninggalkan dewan sukan.
“Bila mesyuarat nak mula?” Ridd mengalihkan perhatian kepada Zaihan.
“Nak mulalah ni.” Zaihan menuju ke arah ahli-ahli Exco yang sudah berkumpul di satu sudut.
Mesyuarat, paling Ridd benci. Membosankan. Terutama sekali sesi post-mortem. Dalam sesi itu semua kejayaan, kegagalan, kebaikan dan kelemahan projek yang lalu akan dibincangkan. Paling bengang kalau kena tegur dan disuruh memberikan teguran.
Sewaktu pengarah program memberikan ucapan penutup, Zaihanlah tu, Ridd hanya tunduk memandang lantai. Malas dia hendak mengangkat kepala. Balik-balik muka Zaihan yang dilihatnya.  Pemuda itu pula asyik jeling-jeling ke arahnya ketika sesi post-mortem sedang berlangsung tadi. Entah apa pula silapnya kali ini.
“...sebelum saya tangguhkan mesyuarat kali ini, ada sesiapa lagi yang nak beri apa-apa komen atau cadangan?” Zaihan menyoal anak-anak buahnya satu persatu. Sehingga pandangan matanya jatuh pada Ridd yang sejak tadi asyik tunduk sahaja.
“Mungkin Deputy Director ada sepatah dua kata yang ingin dikongsi bersama.”
Semua perhatian ditumpukan kepada Ridd. Ridd segera mengangkat muka memandang mereka sebaik sahaja terdengar jawatannya disebut-sebut. “Saya rasa tak ada apa-apa komen lagi. Eloklah kita tamatkan segera mesyuarat ni memandangkan hari pun dah jauh malam.”
Beberapa orang ahli Exco mengangguk bersetuju dengan cadangan Ridd. Bukan semua pun yang suka duduk dalam mesyuarat lama-lama.
“Kalau begitu, kita tangguhkan mesyuarat ahli jawatankuasa kejohanan taekwondo tahun ini....”
Fuh lega! Keluh Ridd. Mesyuarat sudah selesai dan tidak akan ada lagi hingga ke tahun hadapan. Ridd bangun perlahan-lahan. Kakinya sengal sebab bersila lama sangat. Dia membiarkan rakan-rakannya keluar dahulu dari dewan sukan. Malas hendak berasak-asak keluar.
“Engkau senyap aje malam ni?” tegur Hafeez. Ridd menoleh ke sisinya.
“Kan aku sentiasa senyap,” balas Ridd.
“Tak adalah. Dulu masa mula-mula nak start meeting, engkaulah yang paling banyak bersuara. Sampaikan bergaduh dengan Han.” Hafeez mengimbas kembali apa yang terjadi dahulu.
Sebelum kemalangan itu, Ridd dan Zaihan bagaikan anjing dan kucing. Pantang berjumpa, pasti bercakaran. Tetapi kini...Zaihan sudah berubah. Dia sudah boleh senyum. Tidak marah-marah sembarangan. Kejengkelan pun sudah boleh dikawal. Sudah boleh bertolak ansur. Darjah keegoan pun sudah turun sedikit. Terima kasih kepada Ridd. Entah apa yang dibuatnya pada pemuda itu hingga dia berubah.
“Handal engkau ubah, Zaihan. Apa yang engkau buat pada dia?” Hafeez ingin tahu bagaimana caranya Ridd menjinakkan singa ganas itu.
“Senang aje.” Ridd berhenti melangkah. “Aku belah dada dia, ambil hati. Sebagai ganti, aku letak hati babun.”
Hafeez tergelak besar mendengar jawapan Ridd. Tidak logik langsung.
“Ooh... rupanya engkau yang curi hati aku ya!” Zaihan menghampiri mereka. “Engkau kena ganti balik hati aku dengan hati engkau. Baru adil, kan?”
Ridd kehilangan kata-kata. Sangkanya Zaihan telah lama pulang.
“Siapa kata aku curi hati engkau? Kalau aku dapat, dah lama engkau mati,” balas Ridd dengan selamba; pura-pura tidak faham dengan konotasi di sebalik kata-kata Zaihan itu.
“Eh! Bukan ke engkau sendiri yang mengaku yang engkau ambil hati aku tadi? Hafeez....” Zaihan menoleh ke arah Hafeez. “Engkau jadi saksi.”
 Hafeez hanya tersenyum. Mulakanlah taktik menggoda engkau itu. Jangan berbilion awek engkau pancing sudah. Tak muat hati engkau nak menampungnya nanti.
“Aku blah dulu.” Hafeez meninggalkan mereka berdua di perkarangan Sport Centre. Tidak mahu dia menjadi saksi insiden yang mungkin boleh bertukar ganas ataupun sebaliknya. Biarlah Zaihan dan Ridd menyelesaikannya sendiri.
Waktu itu keadaan sudah sunyi. Pelajar-pelajar yang berlatih di dewan tadi semuanya sudah pulang. Lagipun sudah hampir pukul 12 tengah malam. Siapalah yang berani berlama-lama pada waktu malam begini. Angin pula sudah bertiup kencang, macam hendak hujan, menambahkan lagi kemisterian malam yang sekali-sekala diterangi oleh pancaran kilat dan dentuman guruh. Lagipun sejak kebelakangan ini ada cerita tahyul mengatakan terdapatnya makhluk halus yang mirip kepada bantal peluk sedang merayau-rayau di sekitar kawasan kampus. Siapa punya angkara agaknya?
“Engkau masih anggap aku sebagai musuh lagi?” Intonasi suara Zaihan yang bertukar serius memancing perhatian Ridd.
“Apa maksud engkau?” Dia benar-benar tidak mengerti kenapa Zaihan berkata begitu. Selama ini dia tidak pernah menganggap Zaihan sebagai musuh. Selama ini Zaihan hanya tempat dia melepaskan geram dan marah.
“Aku tahu selama ini perhubungan kita tak pernah baik. Jadi mungkin sukar bagi engkau nak berbaik dengan aku. Tetapi sekurang-kurangnya kita boleh jadi kawan, sebagai permulaan.”
Ridd merenung Zaihan, ingin mencari kejujuran di sebalik kata-katanya tadi. Dia tidak mahu termasuk dalam perangkap. Boleh jadi Zaihan juga sedang memasang perangkap untuk membalas dendam. Namun renungan balas Zaihan langsung tidak membayangkan perasaan dendam. Dia nampaknya ikhlas.
“Okey... kita boleh berkawan sebagai permulaan.” Dengan berat hati dia bersetuju. Dia tidak sedar janjinya itu bakal memerangkap dirinya kelak.
Zaihan tersenyum mendengar persetujuan Ridd. Setelah mengetahui tindakan Ridd menyoal jawab Hafeez berkenaan dirinya, Zaihan sudah curiga mengenai motif sebenar Ridd. Lantas dia membuat keputusan menguji sejauh mana kejujuran gadis itu membantunya.  Cuma kali ini situasinya akan berbeza. Kalau dahulu Ridd yang melontar dadu memulakan permainan, pada kali ini dia pula akan memulakan permainan baharu.

BUNYI dentuman guruh memeranjatkan mereka. Ridd, tanpa dapat dikawal reaksinya segera menutup kedua-dua belah telinganya dengan tapak tangan. Matanya terpejam rapat. Zaihan tersenyum kelucuan melihat reaksi keanak-anakan itu. Memang cute juga muka dia. Tetapi sayang. Hatinya sedingin salju, Zaihan berbisik.
“Sudahlah tu. Guruh dah tak berbunyi lagi.” Suara Zaihan cukup kuat sampai ke telinga Ridd yang ditutup rapat. Ridd membuka matanya.
Hujan lebat turun mencurah-curah. Macam manalah nak balik ni? Selalunya kalau lebat macam ni, mesti lama. Tak kan nak redah. Minggu depan mid term. Kalau demam nanti, susahlah. “Alamak, hujan! Macam mana nak balik?” Ridd menyuarakan kegusaran hatinya. Sama ada suka ataupun tidak terpaksalah dia tunggu di situ sampai hujan reda sedikit. Nasib baik dia tidak keseorangan. Manalah tahu kalau-kalau hantu bungkus sebenar hendak membalas dendam kerana dia dan rakan-rakannyalah yang selama ini telah menyamar. Ridd menoleh ke arah Zaihan. Tiba-tiba dia terasa lucu pula. Agaknya kalaulah sikap Zaihan masih belum berubah, tentu mereka akan berperang besar dalam hujan.
Zaihan meneliti gerak laku Zarida. Dia ingin benar tahu apakah sebabnya gadis itu memilih untuk bersikap kasar dan dingin terhadap pelajar lelaki yang cuba mendekatinya sejak pada tahun pertama lagi. Adakah dia juga mengalami tragedi tertentu yang menyebabkan dia bersikap begitu? Zaihan rasa tidak salah kalau dia bertanya. Lagipun dia ingin mengenali Ridd dengan lebih mendalam.
“Kenapa engkau berperangai macam ni?” Terkejut Ridd apabila mendengar pertanyaan itu. Dia tidak faham apa yang dimaksudkan oleh pemuda itu.
“Apa maksud engkau? Perangai yang macam mana?”
Zaihan menyandarkan tubuhnya pada dinding. Kedua-dua belah tangannya dilipat ke dada. “Kasar. Lasak. Dingin. Beku. Engkau memang benci pada lelaki?” Dia memandang Ridd yang masih berseragam taekwondo putih, sama sepertinya. Cuma Zaihan melindungi seragamnya di bawah windbreaker.
“Saja suka-suka. Bukannya salah di sisi undang-undang.” Dengan selamba Ridd memberitahu. Memang itulah motif utamanya bersama-sama Sheba, Elliot dan Deja. Sampai masanya nanti, mereka akan berubah. Hanya masanya belum tiba lagi.
“Memang tak salah. Tapi kan manis kalau berbaju kurung dan bersikap lemah-lembut. Tak bersikap kasar kepada mana-mana pelajar lelaki yang ingin berkenalan dengan lebih rapat.”
Ridd tersenyum sinis menyambut cadangan Zaihan. “Itu cita rasa engkau. Bukan aku. Lagipun ramai student yang berimej macam tu di kampus ni. Pilih aje yang mana berkenan. Bila dah jumpa, beritahu aku. Nanti aku dan geng aku boleh tolong risikkan. Amacam?” Ridd mengangkat kening ke arah Zaihan sekali gus mengelak menjawab persoalan yang kedua yang turut dibangkitkan tadi.
Zaihan menggeleng kepala dengan tidak percaya. “What are you talking about?” Dah gila agaknya budak ni. Buat masa ni aku tak inginnya melibatkan diri dengan mana-mana pelajar perempuan. Buang masa dan tempah maut aje, rungut Zaihan.
 “Engkau ni kelakarlah.” Zaihan tiba-tiba berasa lucu. Dia tidak dapat menahan rasa geli hati. Buat pertama kalinya Ridd dapat melihat Zaihan ketawa. Benar kata Hafeez. Dia sudah banyak berubah. Tidak sia-sia juga usahanya selama ini. Kurang beban yang ditanggung dan tidak perlu dia ditengking selalu.
“Rugi-rugi!” Ridd menggeleng kepala sebaik sahaja tawa Zaihan reda.
 “Apa yang rugi?” soal Zaihan.
“Rugi semua student perempuan kat kampus ni sebab tak dapat tengok engkau ketawa. Lagipun bukannya senang nak tengok engkau macam ni.” Ridd ingin menyambung kata-katanya lagi. Tetapi niatnya terhenti apabila melihat wajah Zaihan kembali serius.
Alamak! Dia marah ke? Macam nak telan aku aje. “Aku dah salah cakap ke?” Kecut juga dia kalau Zaihan berperangai macam dahulu. Keresahan Ridd berakhir apabila Zaihan bersuara.
“Aku bukan robot, Zarida. Tak perlu nak kata begitu. Mereka akan dapat banyak peluang lagi kalau nak tengok aku ketawa. Buatlah lawak Mr. Bean ataupun lawak Saiful Apek. Mesti aku gelak. Asalkan mereka tak naikkan darah aku cukuplah.”
Ridd mengeluh lega. Dia masih cepat marah lagi rupa-rupanya. Dia masih perlu berjaga-jaga apabila berdepan dengan pemuda ini lain kali. “Baguslah engkau dah ubah sikap dingin beku engkau tu. Tak adalah insan UWB yang terpuruk rasa dengan sikap patung ais engkau tu.”
Zaihan tidak membalas kata-kata Ridd. Memang ada benarnya kenyataan itu. Dahulu dia tidak sedar apa yang dilakukan olehnya itu tidak wajar. Dia hanya fikirkan kepentingan dirinya sahaja. Sepatutnya sejak dari dahulu lagi dia patut mendengar nasihat Datuk Nazamudin, bapa saudaranya yang menjadi pemegang amanah selepas kematian kedua-dua ibu bapanya. Tetapi dia degil. Akibatnya dia berubah setelah dinasihati oleh gadis lasak dan kasar seperti Zarida.
Ridd mendongak memandang langit yang hitam pekat. Mutiara-mutiara jernih itu masih turun mencurah-curah dengan lebat. Tiada langsung tanda-tanda yang menunjukkan hujan akan berhenti ataupun reda. Ridd mengeluh berat. Macam mana hendak balik. Jika kolej dekat, bolehlah meredah. Malam pun sudah mahu merangkak pagi. Andainya jaga syif malam buat rondaan, mesti kena tangkap basah. Kali ini memang basah betul sebab hujan. Buat malu sahaja.
Ridd menggosok kedua-dua belah pelupuk matanya berkali-kali. Betulkah apa yang dilihatnya? Sampai pedih matanya digosok oleh sebab hendak memastikan bahawa dua makhluk yang sedang melompat-lompat mengelak lopak air itu ialah Deja dan Elliot. Kedua-dua orang gadis itu meluru masuk ke perkarangan dewan.
“Laa...kenapa bawa satu aje?” Ridd sudah bercekak pinggang. Dengan dua kaki payung sahaja mereka berdua sudah hampir kuyup. Apatah lagi bertiga... eh berempat. Empat? Alamak! Ridd menoleh ke arah Zaihan yang masih bersandar pada dinding tidak jauh dari mereka. Pemuda itu kelihatan cool sahaja.
“Ini pun dah kira bagus tau.” Elliot menyeka segala sisa-sisa hujan pada kemejanya. Tidak ada guna memakai payung kerana basah juga akhirnya.  
“Cepatlah gerak. Aku dah beku ni!” Deja sudah berpeluk tubuh menahan kesejukan.
Elliot menghulurkan payungnya kepada Ridd. “Nah! Engkau kongsi dengan mamat tu.” Dia tersenyum nakal. “Jangan kena tangkap basah dalam hujan sudah!” Deja sempat berpesan sebelum berlalu pergi bersama Elliot. Bukan main heboh lagi mulut mereka dek merebut payung  hendak mengelak basah.
“Hii... tak guna!” cemuh Ridd geram. Sengaja mereka mahu mengenakannya. Ridd berpusing 90 darjah ke belakang. “Nak ‘kungsi’ payung tak?” soal Ridd sekadar berbasa-basi. Dia pasti pemuda itu tidak akan menerima pelawaannya. Nanti skandal pula. Heboh satu kampus. Zaihan tidak menjawab. Sebaliknya dia menghampiri Ridd.
 “Boleh juga.” Zaihan tersenyum. Gulp! Setongkol air liur Ridd telan. Mampus aku! Namun Ridd masih berlagak selamba. Padahal jantungnya bagai mahu melompat keluar kerana berdegup kuat.
Dengan gaya seorang lelaki budiman, Zaihan mengambil payung bergambar Darkwing Duck--sudah pasti Sheba yang punya--lalu membukanya. “Let’s go!” ajak Zaihan.
Sambil mengawal perasaannya, Ridd berpayung dengan Zaihan. Alamak! Payung kecik. Dua orang mana muat. Basah juga aku. Tak payah pakai payung pun tak apa.
Hujan makin lebat. Jalan masih jauh lagi sebelum tiba di Desa Hang Jebat. Walaupun berpayung, mereka hampir kuyup. Zaihan segera memaut bahu Ridd apabila dia menyedari gadis itu lebih banyak kena hujan daripadanya. Ridd pula hanya diam membisu. Kalau menolak, dia juga yang basah.
Fuh! Ridd mengeluh lega. Sampai juga akhirnya ke Desa Putera Hang Jebat. Desa Puteri Hang Jebat jauh lagi nun di atas bukit. Kena mendaki tangga dan berjalan lagi 50 meter.
Ridd sudah menggigil kesejukan. Seragam tekwando di tubuhnya sudah hampir basah. “Okey, aku jalan dulu.” Ridd mengangkat payung. Belum sempat dia mengorak langkah, Zaihan menarik lengannya.
“Nanti dulu.”
Ridd hanya memerhatikan sahaja pemuda itu menanggalkan windbreaker pasukan TKDC. Zaihan menyuruh Ridd memakainya pula. “At least engkau tak basah terus.” Zaihan tersenyum ke arah gadis yang kebingungan itu. “Jalan baik-baik. Kalau Mr. Poch kacau, jerit nama aku!” Zaihan tersenyum lagi apabila Ridd menunjukkan penumbuk ke mukanya.
“Tak ingin aku sebut nama engkau.” Selesai berkata-kata, Ridd terus memecut pulang ke kolej kediaman. Dia sebenarnya gementar. Tindakan Zaihan memeluknya dan memakaikannya dengan windbreaker itu seolah-olah cuba menduga perasaannya. Siapa perangkap siapa sebenarnya?

DEJA mengangkat kepala apabila pintu bilik ditolak. Kelihatan Ridd masuk tergesa-gesa. Rambutnya nampak basah. Ridd mencampakkan payung ke belakang pintu.
Hii... jahanam harta Sheba. Kalaulah minah tu tau, maut Ridd kena back kick. Deja terkejut melihat Ridd memakai windbreaker hitam merah itu. Tadi Zaihan yang pakai baju kalis air tu. Sekarang.... Deja tersenyum lebar apabila terpandang nama Zaihan tertera pada bahagian sebelah kiri windbreaker itu. Ia terletak betul-betul di atas logo TKDC dan UWB.
Deja masih memerhatikan tingkah laku serba gelisah teman sebiliknya itu. Ridd nampaknya tidak sedar lagi yang Deja asyik memerhatikannya. Deja pelik melihat gelagat Ridd yang masih terduduk di atas lantai sambil bersandar pada almari. Pakaiannya masih belum bertukar. Apa kena dengan budak ni. Angau ke? Angau?

1 comment:

  1. best..boleh tak sis upload bab yang seterusnya...nak baca sambil2 teman study..hehe..anyway..cerita ni best ..;)

    ReplyDelete