Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

August 13, 2013

What If....Kerana Dia Cinta~Bab 1

RYAN merenung kosong ke arah Gia yang sedang berjalan keluar dari Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Bekas isterinya itu hanya menunduk kepala ke bawah sambil dipimpin oleh peguamnya, Sharifah Noor Ainaa. Bekas isteri? Bagai tidak percaya yang gelaran itu sudah memisahkan kehidupannya dengan Gia, wanita yang sudah mula mencuri tumpuan hatinya. Setengah jam tadi, dengan berat hati dia melafazkan talak satu ke atas Nurjia AmaniAiman, isteri yang dinikahinya selama hampir dua tahun itu.

Ryan melangkah longlai mengosongkan kamar perbicaraan yang sudah lengang. Ahli keluarganya sudah lama keluar menyusul Gia. Di luar, walaupun matahari bersinar terang, ia gagal menceriakan wajah-wajah yang berkumpul di perkarangan mahkamah.

Dia lihat Gia sudah melangkah masuk ke dalam kereta peguamnya. En. Aiman dan Pn. Melia kelihatan cuba menarik Gia keluar dari kenderaan itu. Tetapi Sharifah Noor Ainaa pantas menenangkan bekas mentuanya. Entah apa yang dibicarakan oleh Sharifah Noor Ainaa, Ryan tidak dengar. Yang pasti, peguam muda itu berjaya menenangkan En. Aiman dan Pn. Melia yang memang sejak awal lagi sudah membantah keras perceraian mereka.

Ryan tidak tahu di mana Gia menetap sekarang. Selepas menyatakan hasrat hatinya untuk berpisah, dia telah keluar dari rumah. En. Aiman dan Pn. Melia pula sudah mengharamkan Gia menjejak kaki ke rumah mereka. Entah di mana dia tinggal waktu itu. Tiada sesiapa yang tahu hatta Hadi sendiri. Gia berjaya menghilangkan diri sekali lagi sebelum muncul di mahkamah pada hari ini.

Selama kehilangannya, segala urusan mengenai proses perceraian itu diuruskan oleh Sharifah Noor Ainaa. Gia langsung tidak menunjukkan muka. Hanya suaranya sahaja yang kedengaran di corong telefon. Gia benar-benar sudah berpatah arang dengannya. Tiada lagi pandang belakang bagi Gia. Ryan tidak upaya hendak memujuk lagi. Sudah habis ikhtiarnya. Lagipun kematian anak mereka membuatkan dia rasa terhukum.

Dia terhukum kerana saat kebahagiaan ingin digapai, dia sendiri merosakkan segala-galanya. Seandainya dia tidak tewas dengan hawa nafsu, pasti sekarang dia sedang berbahagia di samping Gia dan anak mereka.
Ryan melangkah perlahan menuruni tangga. Kereta yang dinaiki oleh Gia sudah lama berlalu. Tanpa menoleh ke arah wajah sedih dan hampa Sharifah Hana dan Tan Sri Mukriz, Ryan menghampiri keretanya. Dia beredar dari situ, memecut laju kenderaannya seolah-olah esok sudah tiada lagi untuknya.

RUMAIYAH memandang wajah majikannya yang nampak sugul pagi itu. Sejak beberapa hari kebelakangan ini, wajah Ryan memang langsung tidak ceria. Semangatnya juga nampak berkurangan. Dia lebih banyak termenung daripada membuat kerja-kerja yang dahulu amat disukainya. Keadaan telah banyak berubah semenjak perbicaraan mereka kelmarin. Perhubungannya dengan Tan Sri Mukriz juga nampak dingin.

Lamunan Rumaiyah yang pendek itu terhenti apabila Tan Sri Mukriz muncul di hadapannya. Panjang umur orang tua ni, getus Rumaiyah yang memusatkan tumpuannya kembali kepada kerja.

“Assalamualaikum, Tan Sri.” Pantas Rumaiyah menyapa sebelum sempat Tan Sri Mukriz berkata apa-apa.

“Waalaikumsalam. Ryan ada di dalam?” Dia bertanya. Dilihatnya pintu bilik Ryan tertutup rapat. Bidainya juga ditutup.

“Dia ada di dalam, Tan Sri. Baru saja masuk tadi,” beritahu Rumaiyah yang sudah pun berdiri. 

Sempat dia menjeling tajam ke arah Dena yang turut bersama dengan lelaki itu. Meluat Rumaiyah melihat wajah Dena yang pura-pura sopan itu. Kalau imannya nipis, sudah tentu diganyangnya perempuan itu kerana telah menghancurkan rumah tangga majikan dan adik angkatnya.

“Tahan semua panggilan telefon ataupun apa-apa gangguan. Saya ada hal nak bincang dengan dia.” Tan Sri Mukriz sudah melangkah ke arah pintu bilik Ryan. Dena membuntuti Tan Sri Mukriz bagai orang yang patuh. Semakin mendidih hati Rumaiyah melihat perilaku si talam dua muka itu.

“Tan Sri nak minum?” Sempat Rumaiyah bertanya sebelum sempat pintu dibuka. Dia tidak akan bertanya soalan yang sama kepada perempuan itu. Dia memang tidak layak dilayan dengan baik.

“Tak mengapa. Saya tak lama di sini.”

Berkelip-kelip mata Rumaiyah memandang pintu bilik Ryan yang sudah tertutup rapat. Apalah agaknya perkara penting yang ingin dibincangkan oleh Tan Sri Mukriz? Wajah lelaki itu nampak tegang dan serius. Selain itu, kedua-dua anak beranak tersebut berkongsi ekspresi wajah yang sama – muram dan sugul. Dan kenapa perempuan itu turut ada bersama?

RYAN terkejut melihat kehadiran ayahnya dan Dena. Dia tidak sedar bila Tan Sri Mukriz melangkah masuk ke bilik itu. Ryan hanya tersedar daripada lamunan apabila namanya dipanggil.

“Ryan...kau mesti nikah dengan Dena. Ayah dah uruskan segala-galanya. Minggu depan majlis itu akan berlangsung.

Ryan diam tidak membantah. Dia ikut sahaja kemahuan ayahnya. Lagipun dia memang tiada pilihan lain selain daripada menikahi Dena. Mereka telah melakukan dosa besar dan ia harus ditebus dengan taubat nasuha. Pernikahan itu wajib bagi mengelakkan sebarang musibah. Sekiranya ditakdirkan memang jodohnya bersama Dena, Ryan redha.

Dia langsung tidak memandang ke arah Dena yang nampaknya sedang tunduk ‘malu’ memandang lantai yang dialas oleh karpet. Ryan pasti Dena juga tiada pilihan lain selain menurut arahan Tan Sri Mukriz.

“Kesalahan yang kamu berdua lakukan memang tidak boleh dimaafkan. Sepatutnya kamu berdua direjam sampai mati. Paling teruk, kamu memang patut disula. Malangnya undang-undang sekarang bukan macam undang-undang Semerah Padi. Kamu selamat di dunia. Tapi kamu bernasib baik kerana perlu nikah saja. Di akhirat kelak, kalau kamu tidak mahu bertaubat sekarang, tahulah nasib buruk yang menimpa kamu. Balasan tuhan maha adil!”

Tan Sri Mukriz terus meninggalkan bilik Ryan. Dia tidak mahu berlama-lama di situ mengenangkan dosa yang dilakukan oleh Ryan dan Dena. Walaupun dia tidak sudi bermenantukan orang seperti Dena, dia harus terima demi menegakkan keadilan.

Ryan meraup wajahnya dengan kedua-dua belah tapak tangan. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Moga hatinya tabah melalui kesemua dugaan ini.

Dena mengatur langkah menghampiri Ryan. Kegembiraan di hatinya hanya tuhan sahaja yang tahu. Ingin sahaja dia menjerit dan melompat-lompat girang di situ.

So...Ryan...bila kita nak shopping baju pengantin?” Lantas Dena bertanya dengan manja. Jantungnya berdebar-debar tatkala membayangkan dirinya bersanding di sisi Ryan.


Saat mendengar kata-kata itu, Ryan seperti mahu membenamkan wajahnya ke dalam lantai. Tidak sanggup dia hendak berhadapan dengan kerenah Dena yang nampaknya sudah mula menunjukkan taring sebenar. Pada saat itu Ryan benar-benar perlukan seorang teman di sisi yang boleh memahami gejolak perasaannya yang diamuk ribut tsunami. 

2 comments: