Novel akan saya di ILHAM

Novel akan saya di ILHAM
Klik pada banner untuk ke sana

Followers

@melarik enigma |

August 23, 2013

Kasih Pun Bersatu~Bab 2


 Istana Agung,
Kota Dhiyapura.

MAJLIS yang dirancang berlangsung dengan penuh gemilang. Tetamu-tetamu diraikan dengan penuh kehormatan. Perjumpaan dalam kalangan kerabat al-Muttaqi buat pertama kalinya berjaya mengumpul kesemua ahli keluarga yang sudah lama terpisah. Bak sembilang pulang ke lubuk.
Sultan Iskandar benar-benar rasa bahagia kerana dapat bertemu dengan sanak saudara yang selama ini meminggirkan diri mereka daripada hal kerajaan. Peluang yang julung kali berlaku ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Sultan Iskandar dengan pembinaan jaringan komunikasi antara mereka. Dia dengan berbesar hati menjemput kesemua ahli keluarganya pulang dan menetap di Dhiyapura supaya mereka bersama-sama dapat membangunkan kerajaan pulau itu.
Dahulu ayahandanya, Almarhum Sultan Firmanshah al-Muttaqi telah bernikah dengan sepupunya, Tengku Badariah al-Mansur demi mendamaikan kedua-dua buah keluarga yang saling bertingkah merebut takhta. Ramai keluarga al-Muttaqi tidak setuju dengan pernikahan itu. Maka sebagai rasa tidak puas hati, mereka membawa diri ke luar negara dan merajuk tidak mahu ambil tahu perihal pentadbiran negara. Malangnya tindakan mereka itu telah memudahkan Tengku Khalid, kakanda Permaisuri Badariah berkuasa.
Saat Sultan Iskandar mewarisi tampuk pemerintahan, keadaan menjadi semakin gawat. Nasibnya hampir sama seperti ayahandanya. Dia dipaksa bernikah dengan anak saudara bonda tirinya iaitu Tengku Syazreen, padahal ketika itu dia sudah pun bernikah dengan Anne di luar negara. Akibat fitnah, dia telah mengkhianati Anne. Pembantu peribadinya yang setia, Tengku Farid telah turut sama difitnah lantas mengambil keputusan membawa diri. Tinggallah Sultan Iskandar sendirian memperjuangkan kedamaian. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kebijaksanaannya, Tengku Khalid dan pemberontak berjaya ditumpaskan. Kini dia berazam mahu membetulkan kesilapan yang telah berlaku di pihak Almarhum ayahandanya.
Paling menggembirakannya ialah kesudian keluarga Tengku Farid  dan keluarga putera mahkota, menetap di Dhiyapura. Dengan sokongan mereka, Sultan Iskandar akan lebih berkeyakinan menjalankan tugas utamanya selepas ini iaitu menjadikan kerajaan Dhiyapura negara demokrasi.
“Terima kasih, Farid... kerana sudi memberikan sokongan.” Tengku Iskandar menepuk bahu Tengku Farid sebagai tanda penghargaan yang tidak terhingga.
“Dan terima kasih pada engkau juga kerana sudi menawarkan peluang kedua kepada aku. Apa kata kita mulakan langkah yang baharu dengan semangat yang baharu.”
Tengku Iskandar mengangguk setuju mendengar kata-kata semangat yang diberikan oleh sepupunya itu.
“Kali ni... aku mahu buat yang terbaik buat semua. Segala kesilapan yang pernah aku lakukan dulu, aku mahu perbaiki. Terutama perhubungan aku dengan Anne. Walaupun dia setuju terima aku kembali dan sudi memberikan peluang kali kedua, aku tak rasa perkara ni amat mudah baginya. Juga tak mudah bagi aku walaupun selama ini aku memang nantikan saat-saat ni.”
Pandangan Tengku Iskandar jatuh ke wajah isterinya yang asyik melayan rakan-rakan Pirate di satu sudut.
Tengku Farid tersenyum mengerti. Memang benar. Ada banyak perkara yang Sultan Iskandar dan Anne perlu lakukan bagi merapatkan jurang yang terbina sekian lama di antara mereka.
Both of you have lots of things to catch up. Tapi tak mengapa. Sebab engkau ada banyak masa bersama bagi memperbaiki semula hubungan kamu yang terhenti dulu.” Tengku Farid memberikan kata-kata perangsang kepada sepupunya supaya dia yakin menghadapi satu lagi cabaran baharu dalam hidupnya.
“Aku harap segala-galanya berjalan seperti yang aku mahukan. Sudah terlalu lama Anne menanggung derita kerana kepentinganku. Sudah tiba masanya aku membalas segala budi, jasa dan pengorbanannya dengan kebahagiaan. Aku mahu bahagiakan dia hingga ke hujung nyawa.”
Terangkat kening Tengku Farid mendengar janji yang dilafazkan oleh Tengku Iskandar terutama pada bait yang terakhir. Kedengaran seperti skrip dalam filem pula.
Tengku Iskandar tersenyum lucu melihat reaksi sepupunya. Dia juga tidak menyangka yang kata-kata itu boleh meluncur lancar keluar daripada bibirnya.
“Simpanlah kata-kata romantis tu buat Anne. Tak perlu engkau luahkannya pada aku. Seram aku dengar.” Tengku Farid terus ketawa.
Tengku Iskandar hanya tersenyum. Matanya masih melekat pada wajah ayu isterinya. Dia mahu memberikan sepenuh kasih dan sayangnya kepada wanita itu. Anne benar-benar berhak mengecap kebahagiaan itu.
  
RUBIAH senyum-senyum apabila mendapati sejak dari tadi perhatian Ayrin hanya tertumpu pada Zarul yang sedang berbual-bual bersama-sama sepupu-sepupu yang baharu dikenalinya dalam majlis itu. Lantas Rubiah segera menyiku Ayrin.
“Pandang-pandang pula. Pergilah dekat kalau sayang sangat!” Usikan Rubiah membuatkan wajah Ayrin merah padam.
“Kenapa pulak engkau kata macam tu?” Ayrin menafikan tuduhan itu. Sebenarnya ada perkara lain yang sedang bermain di fikirannya ketika itu mengenai Zarul.
“Sejak dari tadi aku tengok engkau asyik-asyik pandang Zarul. Takut ke kalau orang lain pikat dia?” Rubiah masih tersenyum-senyum.
“Bee....” Nada suara Ayrin berubah, seolah-olah memberikan amaran kepada Rubiah supaya jangan silap faham.
“Aku dengan dia... tak boleh ada apa-apa hubungan. Kami sepupu, Bee.”
Dahi Rubiah berkerut. Dia tidak faham.
“Apa salahnya. Engkau boleh kahwin dengan dialah. Kalau dia pak cik ataupun abang tiri dengan engkau, baru tak boleh kahwin.”
“Engkau tak faham!” Ayrin meletakkan gelas di tangannya di atas meja sebelum beredar keluar dari pintu sisi dewan menuju ke taman diraja.
Rubiah yang agak terkejut dengan reaksi Ayrin pantas mengekori jejak rakan baiknya yang jelas sedang bersedih.
“Ay... maaflah kalau aku salah cakap.” Rubiah berlari-lari anak mengejar Ayrin yang sedang berjalan perlahan menghampiri kolam pancuran air berbentuk segi empat yang menganjur panjang merentasi taman.
“Apa masalahnya, Ay? Cubalah cerita pada aku. Kalau aku tak boleh tolong selesaikan... sekurang-kurangnya aku boleh jadi pendengar yang baik.”
Ayrin melepaskan keluhan berat sebelum menjawab pertanyaan itu.
“Bee... aku memang suka Zarul. Tapi suka-suka macam tu saja. Taklah sampai nak jatuh cinta dengan dia. Aku sayang dia macam kawan. Macam aku sayang engkau.”
“Jadi... apa masalahnya sekarang? Aku tak faham.”
“Masalahnya Zarul. Sejak kebelakangan ni... aku tengok dia lain macam aje. Dia dah tak mesra macam dulu. Selalu aje dia mengelak daripada berjumpa atau bertembung dengan aku. Aku tak faham kenapa dia buat macam tu.”
“Engkau nak aku tanyakan pada dia?”
Ayrin segera berpaling menghadap Rubiah. Wajahnya serius.
“Tak payah! Aku tak mahu dia fikir yang bukan-bukan pula pasal aku. Nanti aku yang malu.”
“Apa salahnya aku tanya. Dia takkan fikir yang bukan-bukan kalau aku kata engkau risaukan dia. Dia tentu faham.” Rubiah memujuk.
“Entahlah, Bee. Aku rasa macam kehilangan pulak bila dia semakin menjauhi aku.”
Ayrin melemparkan pandangan ke dalam air kolam yang beriak tenang. Kesepian dan kedinginan Zarul benar-benar buat dia berasa sedih. Sudahlah dia terpaksa menyesuaikan diri dengan dunia baharu, kini dia keseorangan menghadapinya. Dahulu Zarul pernah berjanji hendak mengharungi keadaan itu bersama. Tetapi kini, dia dibiarkan keseorangan menghadapi cabaran yang begitu asing.
“Bee... boleh tak aku minta sesuatu daripada engkau?” tanya Ayrin setelah berfikir seketika
“Apa dia? Kalau boleh aku beri, aku beri.” Jawab Rubiah dengan ikhlas.
Hmmm... nak tak kalau aku lantik engkau jadi pengiring utama aku?”
Bulat mata Rubiah mendengar tawaran yang jarang-jarang diberikan kepada orang luar terutamanya yang bukan berdarah raja.
“Engkau main-main ke... serius ni?”
“Aku serius. Aku rasa aku lebih selesa dengan engkau berbanding sepupu-sepupu yang baru aku kenal tu.”
“Aku setuju!” jerit Rubiah dengan gembira. Melonjak-lonjak dia kegembiraan.
Ayrin juga turut menjerit bersama dengan Rubiah, ibarat pasukan sorak yang baharu menyelesaikan rutin mereka.
“Tapi...” Tiba-tiba kegembiraan Rubiah terhenti. Dia baru terjaga daripada mimpi yang indah.
“Bagaimana dengan keluarga aku? Aku tak sanggup nak tinggalkan mereka.” Wajah Rubiah muram. Antara tawaran Ayrin dengan keluarganya, kalau boleh dia tidak mahu kehilangan kedua-duanya. Betapa tamaknya dia!
Ayrin tersenyum. Lantas dia menggenggam jari-jemari Rubiah yang tembam.
“Aku buat tawaran ni bukan sebab aku pentingkan diri sendiri semata-mata. Aku dah fikirkan masak-masak supaya kita sama-sama untung. Kontrak ayah engkau dengan Petronas tamat tak lama lagi, kan? Apa kata kalau ayah engkau terima tawaran Petrodhiya? Sebenarnya... ayah aku dah setuju memandangkan mereka memang menghargai kepakaran bidang kejuruteraan biokimia.
Rubiah tersenyum lebar. Kembang kempis hidungnya menahan perasaan teruja.
“Engkau memang layak jadi Puteri Dhiyapura. Muda lagi dah pandai berunding. Aku setuju.” Rubiah menghulurkan tangannya. Dan tangannya itu disambut oleh Ayrin dengan hati yang lapang.
“Kita akan jadi sahabat sehingga ke akhir hayat!” Rubiah berjanji dengan semangat yang berkobar-kobar.
Ayrin hanya tersengih mendengar pujian itu. Sebenarnya idea itu datang daripada buah fikiran Sultan Iskandar. Dia hanya melontarkan masalahnya supaya diselesaikan dan Sultan Iskandar telah memberikan jawapan itu. Lembu punya susu, sapi dapat nama. Semakin lebar senyuman Ayrin.
  
MAJLIS yang meriah itu tamat menjelang tengah malam. Setelah kesemua tetamu mengundurkan diri, barulah Anne naik ke biliknya. Keindahan cahaya bulan yang terang, memasuki ruang biliknya melalui dinding kaca. Begitu mempesonakan. Tidak jadi Anne hendak memetik suis lampu. Cahaya terang rembulan yang keemasan itu sudah cukup menerangi ruang kamar yang luas itu. Perlahan-lahan dia mengatur langkah menghampiri dinding kaca.
Anne terpegun memandang taman istana yang berseri disimbah oleh cahaya rembulan. Buat seketika dia terpaku di situ seperti yang pernah berlaku terhadapnya tujuh belas tahun yang lalu. Keindahan ini masih seperti dahulu tetapi malam itu keindahannya begitu ketara dan bermakna. Tiada lagi keresahan yang melanda jiwanya sewaktu menatap nikmat ciptaan Tuhan itu. Segala-galanya sudah selamat.
Perlahan-lahan Tengku Iskandar merapatkan pintu di belakangnya apabila menyedari yang Anne sedang asyik melihat keindahan cahaya bulan. Dia tidak mahu mengganggu ketenangan yang dinikmati oleh isterinya.
Dengan hati-hati dia menanggalkan jaket biru diraja dan menyidainya di atas kerusi Queen Anne sebelum melangkah menghampiri Anne. Tengku Iskandar berdiri betul-betul di belakang isterinya. Dia turut menumpang keindahan yang ditatap oleh Anne.
Tiba-tiba Anne berpaling. Dia bertembung dengan suaminya. Anne hampir terjatuh, namun Tengku Iskandar  segera memaut pinggangnya.
“Iskandar... maaf!”
“Masih tak bosan melihat cahaya bulan saban malam?” tegur Tengku Iskandar sambil mengeratkan pelukannya ke pinggang isterinya.
“Malam ni cahayanya lain. Lebih cerah berbanding malam-malam sebelumnya. Seolah-olah menggambarkan harapan yang gemilang,” sahut Anne. Oleh sebab jarak di antara mereka terlalu rapat, Anne terpaksa mendongak memandang suaminya.
Lama Tengku Iskandar membisu menatap wajah isterinya berpandukan cahaya gemilang ratu malam. Hingga membuatkan Anne rasa hairan.
“Kenapa?”
“Terima kasih sekali lagi kerana beri saya peluang kedua menikmati kebahagiaan bersama awak dan Ayrin.”
Dahi Anne dikucup mesra.
“Sekali ni saja, tau. Lepas ni tak ada lagi.” Anne mengusik. Bibirnya tersenyum nakal.
“Peluang ni takkan disia-siakan. Awak harus berikan sepenuh kepercayaan kepada saya.” Tengku Iskandar berjanji.
“Iskandar... jangan berjanji kalau awak tak pasti boleh tunaikannya.”
“Kali ni saya yakin akan dapat tunaikannya. Awak masih sangsi?”
Tengku Iskandar membalas renungan Anne. Dia sudah nekad mahu mengotakan janjinya dan dia mahu Anne tahu dan meyakininya.
“Kita takkan tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Sebab tu kita hanya mampu merancang dan mengharapkan yang terbaik.”
Tengku Iskandar tersenyum. Kesangsian Anne ada benarnya. Mungkin hari ini dia boleh menabur janji yang bermacam-macam. Mana tahu keadaan berubah dan memaksanya membuang janji-janji tersebut. Tetapi tidak salah kalau berazam mahu mengotakan janji.
“Saya mahu berusaha buat yang terbaik,” lafaz Tengku Iskandar dengan yakin.
“Kita sama-sama usahakan yang terbaik,” ujar Anne. Dia berharap supaya segala-galanya menjadi seperti yang diharapkan. Dia sudah puas hidup menderita. Tengku Iskandar juga begitu.
Anne mahu mencipta kebahagiaan yang selama ini gagal diperolehnya. Yang paling penting ialah kebahagiaan Ayrin. Dia tidak mahu Ayrin berasa kekurangan lagi. 

ZARUL termenung panjang di balkoni biliknya yang berhadapan dengan padang rumput yang luas. Hingga ke hari ini, walaupun dia sudah mencuba sedaya upaya, namun bayangan Ayrin begitu kuat melekap di fikirannya. Dia tidak boleh membiarkannya berterusan begitu. Dia harus lakukan sesuatu.

Oleh itu, dia sudah mengambil keputusan. Esok dia akan pulang ke Malaysia. Perkara itu tidak boleh ditangguhkan lagi. Walaupun dia boleh belajar di Dhiyapura sebelum menduduki peperiksaan di Malaysia, berada begitu hampir dengan Ayrin bukanlah kemahuannya. Dia perlu segera beredar dari situ supaya jiwanya tenang. Ketenangan amat berharga buatnya ketika ini, lebih daripada segala-galanya.

No comments:

Post a Comment